Delimawati masih aktif berlakon demi meneruskan kehidupan.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Delimawati/Koleksi Syed Wafa.

Bermula dari drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel arahan Mamat Khalid pada tahun 1998, nama pelakon veteran Delimawati Ismail, 66, yang nama wataknya Cik Kiah terus meniti dibibir peminat.

Menyedari karakter Delimawati yang tersendiri, Mamat Khalid sekali lagi menawarkan watak hantu kepadanya untuk membintangi filem seram komedi, Hantu Kak Limah. Nampaknya tanggapan Mamat Khalid tidak salah dan watak hantu tersebut terus mempopularkan nama Delimawati yang juga dikenali sebagai Hantu Kak Limah.

Watak Delimawati dalam “Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel” menjadikan beliau semakin terkenal.

“Ini semua jasa Mamat Khalid, kalau beliau tak ambil aunty berlakon mungkin hingga sekarang orang tak kenal aunty, walaupun dah lebih 30 tahun saya berada dalam industri. Siapa sangka, pada usia 53 tahun aunty masih jadi bintang utama, hanya sekadar watak hantu. Penampilan sekejap-kejap sahaja, namun populariti watak itu mengalahkan pelakon heroin pula.

“Sejak itu dari nama Cik Kiah peminat mula memanggil aunty Kak Limah pula berbanding nama yang sebenarnya. Mula tu memang aunty kekok tapi lama –kelamaan, aunty sedar bahawa lakonan dan nama watak itu sudah melekat dihati penonton,’’ kata Delimawati yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan aunty.

Delimawati dalam salah satu adegan “Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel”.

Diam-tak diam rupanya sudah lebih 21 buah filem yang dibintangi Delimawati berbanding artis seangkatannya yang kurang mendapat tawaran filem berbanding drama. Lakonan mantap dan bersahajanya membuatkan Delimawati telah membintangi lebih lebih 50 buah drama.

Antara filem lakonan Delimawati ialah Perempuan, Isteri & …..? (1993), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Cuti-Cuti Cinta, Ngangkung, Bini-Biniku Gangster, Misteri Jalan Lama, Ombak Rindu, Jalan Kembali : Bohsia 2, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, Rumah Sewa RM50, Zombie Kilang Biskut, Sniper, Awak Nak Kahwin Dengan Saya?, Nasi Tangas, Abang Long Fadil 2, Hantu Kak Limah, Takut Ke Tak, Jangan Takut: Kau Takut Aku Pun Takut, Nasi Lemak 1.0, Kampung Latah The Mummy, Klepet dan Din Sardin.

Watak utama dalam drama “Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya”.

Bercakap mengenai watak hantu Kak Limah, menurut Delimawati anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini, dia tidak mungkin akan membawakan watak sebegitu lagi di masa-masa akan datang.

“Kesan dari watak hantu tersebut, aunty bukan saja dikenali dikalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga mengenali aunty. Malah ada juga beberapa tawaran untuk watak hantu tapi aunty menolaknya kerana cukuplah watak eksklusif hantu itu untuk filem Hantu Kak Limah sahaja,”ujar Delimawati lagi.

Delimawati turut selaku watak utama dalam drama “Rombongan Cik Kiah ke AJL” yang mendapat sambutan penonton.

Menurut Delimawati, Mungkin orang tengok senang saja nak bawa watak hantu, tapi orang tak tahu cabaran yang terpaksa dilalui untuk menjayakan watak tersebut.

“Orang ingat bawa watak hantu ini senang…sekadar muncul dan menakutkan orang. Orang tak tahu persiapannya yang mengambil masa yang lama nak kusutkan rambut, nak mekap dan pastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Watak pertama sebagai hantu dalam filem “Hantu Kak Limah Balik Rumah” lakonan Delimawati pada tahun 2010.

“Watak hantu pada waktu malam, nak dapat feel dan shoot yang terbaik kami tidak tidur malam kerana itu cara Mamat Khalid bekerja. Dia suka berkarya pada waktu malam dan penggambaran Hantu Kak Limah pula banyak dilakukan ketika orang lain sedang enak diulit mimpi.

“Kami bekerja dari petang hingga pagi esoknya. Jadi, bila masa nak tidur? Tetapi, itu cara Mamat bekerja dan kami sebagai pelakon ikut saja kerana dia tahu apa yang terbaik untuk filem komedi seram ini. Yang pasti filem itu melepasi target kutipan yang diharapkan.”

Watak hantu yang berjaya menaikkan nama pelakon Delimawati.

Bercerita mengenai kenangan manis pula, jelas Delimawati lagi, dalam meniti usia emas, dia tidak menyangka terpilih sebagai Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 pada 2019.

“Walaupun tak menang namun aunty bangga kerana dalam banyak-banyak pelakon, nama aunty turut tersenarai. Malah aunty bersaing pula dengan nama-nama besar seperti Erra Fazira, Mira Filzah, Hannah Delisha dan Uqasha Senrose.”

Poster yang menonjolkan watak ‘hantu’ Kak Limah hingga Delimawati tercalon sebagai Top 5, Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH ke 32.

Dalam meniti perjalanan hidupnya, Delimawati juga turut diuji dengan kehilangan insan tersayang iaitu kematian mengejut anak-anaknya. 30 April 2022, anak lelakinya, Zulfazli Jaafar meninggal dunia di Hospital Banting, Selangor. Manakala ketika sedang mengerjakan umrah di Mekah, anaknya, Sarah Jaafar, 43, yang menaja pemergiannya menunaikan umrah meninggal dunia pada Mei 2023.

Selain filem Hantu Kak Limah, Delimawati yang mula menceburi lakonan pada 1987 juga popular dengan karya lain arahan Mamat Khalid seperti Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan Pinang Durian.

Watak ‘hantu’ lakonan Delimawati dalam filem Hantu Kak Limah yang berjaya mendapat kutipan hampir 40 juta.

KEJUTAN ANDY LAU BUAT PELAKON HANTU KAK LIMAH

Pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau selaku salah seorang pengasas Infinitus Entertainment Group – syarikat gergasi yang menerbitkan Hantu Kak Limah dengan kerjasama Astro Shaw turut membuat kejutan dengan hadir bagi meraikan pelakon-pelakon dan krew diatas kejayaan filem terbitannya. Filem tersebut berjaya mendapat kutipan hampir mencecah RM40 juta (S$13.3 juta) dalam masa 18 hari tayangan di pawagam.

Hantu Kak Limah (awalnya dikenali sebagai Hantu Kak Limah 3) merupakan sebuah filem komedi seram Malaysia 2018 merupakan kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Kampung (2010) dan Husin, Mon, dan Jin Pakai Toncit (2013).

Pelakon dan penyanyi terkenal Hong Kong , Andy Lau selaku penerbit filem “Hantu Kak Limah” kagum dengan lakonan hebat sebagai watak hantu oleh Delimawati.

“Tak sangka dia juga amat menyukai watak hantu yang aunty bawa itu. Sempatlah kami bergambar kenangan. Kalau dah pelakon Hong Kong yang terkenal puji lakonan aunty, apa lagi gembira tak terkata hati aunty yang menerima ucapan tahniah daripadanya,’’ ujar Delimawati teringat kenangan sewaktu bersama Andy Lau.

Kata Delimawati yang tinggal bersama anak perempuan bongsunya di Puchong, dia bersyukur dalam usia sebegini masih banyak lagi tawaran berlakon yang diterimanya.

“Kadang sedih juga tengok nasib kami pelakon-pelakon lama ni. Tak banyak tawaran yang mereka dapat kerana sekarang pengarah dan produser lebih suka mengambil pelakon pertengahan usia dan menyolek mereka menjadi tua. Jadi secara tak langsung makin kuranglah tawaran untuk pelakon veteran.

Delimawati harap artis veteran sentiasa dihargai pengorbanan mereka dalam dunia seni tanah air.

“Sekarang ini mereka bukan pandang bakat sebaliknya nak kejar rating. Habis pelakon veteran macam kami ini nak bawa watak apa pula. Takkan setakat jadi nenek dan hantu saja?. Aunty harap produser dan pengarah bagi kami peluang untuk sama-sama mencari rezeki.

“Nak ikut dalam usia sebegini aunty dah patut duduk rumah. Tapi dah biasa berlakon, rasa tak best pula kalau duduk rumah tanpa buat apa kerja. Kalau pergi berlakon, dapat juga berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan,’’ kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Previous articleEddie Hamid syukur lagu dialek Kelantan ciptaannya ‘mendunia’
Next articleItulah Perjuangan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here