Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA pelakon Indonesia, Irish Bella menerima sebuah masjid sebagai mas kahwin daripada suami, Haldy Sabri seorang usahawan sewaktu majlis pernikahannya pada 19 Oktober lalu, anak Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Nurulhidayah Ahmad Zahid pula menerima sebuah hotel daripada suami tercinta, Dato’ Saiful Nizam Mohd Yusoff sempena hari lahirnya yang ke-46 tahun pada 26 Oktober baru-baru ini.
Jelas, Nurulhidayah atau mesra dengan panggilan Kak Long, hadiah tersebut amat bermakna kerana ia bukan satu hadiah yang boleh dibanggakan malahan, hadiah (hotel) hadir dengan tanggungjawab untuk membayar pinjaman bank, pajakan bulanan dan kos keseluruhan (overhead) tersebut.
Hotel yang terletak di tingkat empat, bangunan Pudu Sentral atau Puduraya, Kuala Lumpur itu diberi nama Hotel Teedo yang menawarkan gabungan ideal lokasi yang strategik, keselesaan dan kebersihan 168 bilik tidur.
Menurutnya, hotel tersebut sesuai untuk pelancong tempatan dan luar negara yang mencari penginapan yang ‘mesra bajet’ di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.
“Sebenarnya jauh sudah perjalanan saya, suami dan Teedo Hospitality untuk sampai ke sini. Idea untuk melahirkan hotel Teedo ini tercetus secara spontan oleh suami saya dua tahun lepas.
“Pembukaan hotel ini adalah rentetan daripada kekecewaan kerana terpaksa menangguhkan pembinaan Teedo Resort Bagan Datuk pada tahun 2018. Angan-angan kami suami isteri tidak terhenti dengan mudah. Apabila suami saya beritahu, ada sebuah bangunan yang berpotensi untuk di lease (pajakan) akibat daripada pemajak yang sebelumnya terpaksa memberhentikan operasi selama dua tahun ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Pada ketika itu, saya agak meragui idea tersebut. Tetapi, suami saya tetap nekad untuk melahirkan nama hotel Teedo sebagai memenuhi impian dan angan-angan saya. Maka terlahirnya hotel Teedo ini dengan kerjasama UDA Holdings dan rakan pembiayaan kami, SME Bank yang banyak membantu dan membimbing kami dalam menzahirkan jenama hotel Teedo ini,” jelas Nurulhidayah sewaktu majlis pra pelancaran hotel tersebut baru-baru ini.
Apa yang membezakan hotel Teedo ini adalah lokasi utamanya di pusat bandar Kuala Lumpur yang amat strategik. Para tetamu hotel Teedo juga, boleh menikmati pemandangan yang menakjubkan iaitu, Menara Merdeka 118 yang ikonik dan kedua tertinggi di dunia dari 84 bilik yang ditawarkan.
Bukan saja dapat melihat pemandangan menarik, malah dari lokasi hotel Teedo dengan jarak 500 meter, tetamu atau pengunjung boleh menerokai tarikan popular seperti pasar Jalan Petaling atau Petaling Street yang meriah dan terkenal dengan syurga makanan, cenderamata dan pengalaman kebudayaan.
Dari hotel Teedo juga, tetamu atau pengunjung boleh berjalan kaki selama 10 minit ke Bukit Bintang dan beberapa tempat yang ikonik di sekitar hotel Teedo.
Dengan kadar yang berpatutan, lokasi yang strategik dan suasana yang meriah di sekitar hotel Teedo, ianya pasti pilihan yang sangat tepat untuk pengembara yang ingin menikmati pengalaman Kuala Lumpur sepenuhnya dengan keselesaan yang ditawarkan di hotel tersebut.
“Semua orang kata harga yang kami tawarkan untuk penginapan di sini murah sangat iaitu bermula dari RM150 hingga RM280 sahaja. Harga murah tapi pemandangan pula boleh dikatakan 5 Bintang kerana dari 84 bilik (penginapan) penghuni dapat lihat Menara Merdeka 118 terutamanya waktu malam, memang cantik.
“Untuk peringkat awal, kami sasarkan jumlah tetamu hotel ini adalah sekitar 60 peratus. Insya-Allah, jumlah tetamu hotel akan meningkat dengan adanya pelbagai promosi yang akan kami laksanakan,” jelasnya yang telah mengeluarkan kos kira-kira RM5 juta untuk pengubahsuaian dan baik pulih hotel tersebut.
Selain daripada keperluan kemudahan penginapan yang selesa, lobi hotel Teedo juga meriah dengan “Fun Corner”, yang menempatkan meja pool dan ruang santai buat tetamu hotel Teedo. Lobi hotel Teedo juga menempatkan satu Kedai Serbaneka, NGAP! AI (Artificial Intelligent) – Unmanned Convenient Store, yang menjual snek, minuman dan keperluan asas harian.
Selain itu, di tingkat 15 hotel Teedo terdapat dewan yang boleh antara 200 sehingga 250 tetamu, menjadikannya hotel Teedo ini ideal untuk persidangan berskala kecil atau mesyuarat bagi syarikat yang mempunyai bajet yang sederhana dan bersesuaian.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.