Oleh: Wawa Najwa
MUNGKIN ada juga di kalangan peminat muzik tempatan akan bertanya siapa Raisa jika diaju soalan kepada mereka mengenai penyanyi lagu “Serba Salah’ itu.
Meskipun nama Raisa Andriana, 34, tidak gah seperti Dato Seri Rossa, Melly Goeslaw, Judika atau Afgan bagi peminat tempatan, namun beliau tetap mempunyai kelompok penyokong tersendiri di Malaysia.
Bagi Raisa sendiri, Malaysia amat dekat di hati kerana setiap kali berkunjung di sini, ibu kepada Zalina Raine Wyllie itu pasti mencari nasi kandar sebagai hidangan. Selain itu sokongan peminat Malaysia yang telus juga adalah antara sebab isteri kepada Hamish Daud suka bertandang ke sini.
Pada 3 November ini Raisa sekali lagi akan menghibur peminatnya menerusi konsert ‘Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur’ di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada jam 8 malam yang dibawa khas oleh Kharisma Music.
Memandangkan sudah dua kali menjayakan konsert di Malaysia untuk penampilan ketiganya, Raisa berjanji akan memberikan yang terbaik dan lain daripada apa yang pernah ditonjolkan sebelum ini.
Konsert kali ini adalah sebahagian daripada jelajah muzik Raisa yang sangat dinanti-nantikan, di mana beliau akan mempersembahkan lagu-lagu hit seperti ‘Kali Kedua”, “Jatuh Hati” dan “Mantan Terindah”.
“Sudah pasti saya akan tonjolkan kelainan berbanding konsert sebelum ini dan yang pasti ia akan tampak segar. Walaupun ada yang sudah pernah nonton dua persembahan saya sebelum ini dan kalau datang ke konsert ini, pasti anda akan rasa pengalaman baharu.
“Untuk persembahan kali ini, saya ada artis jemputan dari Malaysia. Kami belum pernah berkolaborasi. Lagu yang dibawakan juga belum dinyanyikan di hadapan peminat di sini. Saya percaya ia akan jadi momen sangat istimewa, selain bersama teman duet yang berbakat luar biasa iaitu Ernie Zakri.
“Antara lagu yang kami akan bawakan termasuklah “Anganku Anganmu”, kerana itu lagu duet saya bersama Isyana Sarasvati dan belum pernah dibawakan dalam dua konsert sebelum ini. Lagu ini mendapat sambutan di Malaysia dan banyak terima permintaan peminat,” katanya.
Bagi memastikan konsert ketiganya itu bakal meninggalkan momen indah kepada yang hadir, Raisa berkata yang beliau akan membawa pemuzik dan produksi lengkap yang diterbangkan dari Indonesia untuk mengiringi persembahannya nanti.
Ujar Raisa, beliau bersedia membawa seluruh pasukan produksi sendiri, kerana terinspirasi dengan keterujaan dan semangat yang ditonjolkan oleh peminat Malaysia yang mendukung kerjaya seninya.
“Bagi saya semangat penonton di sini sangat luar biasa. Jadi, saya ingin memberikan penampilan yang seimbang dengan semangat mereka. Misalkan kita tak disokong dengan pasukan produksi lengkap, walaupun gembira, namun pasti ada rasa tidak puas.
“Pasti pengalaman akan lebih menarik kalau dapat bawakan seluruh produksi lengkap. Di Malaysia, peminat belum merasakan pengalaman penuh untuk konsert saya. Jadi, saya ingin datang membawakan pengalaman ini buat mereka,” ujarnya.
Penonton akan disajikan dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, termasuk persembahan melebihi 20 buah lagu dan kerjasama dengan iringan pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Konsert ini dijadualkan berlangsung lebih dari dua jam, lengkap dengan reka bentuk pentas yang menarik serta kesan audio visual yang ‘teristimewa’. Pembeli tiket VVIP dan VIP juga akan berpeluang untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’.
Ini adalah peluang luar biasa bagi semua peminat Raisa untuk menyaksikan sendiri persembahan ‘teristimewa’ yang pasti akan mencipta memori indah yang tidak terlupakan, serta dapatkan tiket-tiket konsert di laman web ticket2u.com.my/raisa
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.