Oleh: Wawa Najwa
SEORANG lagi pendatang baharu dalam bidang muzik yang mempertaruhkan bakatnya ialah Evanatie Sannie, 23, yang berasal dari Kota Marudu, Sabah.
Evantie yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik atau Unduk Ngadau Sabah pada 2022 dan menduduki tempat kelima itu bukan saja boleh menyanyi, malah beliau juga mampu bermain dram dengan begitu baik sekali.
Jelas Evantie, selepas menyertai pertandingan ratu cantik itu, beliau mendapat keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai.
“Saya sangat teruja dengan langkah baharu ini dalam kerjaya saya. Selepas menyertai Unduk Ngadau, saya belajar banyak mengenai keyakinan diri dan bagaimana untuk menonjolkan personaliti di hadapan umum.
“Kini, saya mahu meneruskan perjalanan itu dalam bidang muzik, dan saya harap lagu “Pendam Rasa” dapat diterima baik oleh peminat,” katanya yang bersyukur mendapat peluang untuk merakamkan single sulung itu.
“Pendam Rasa” adalah sebuah lagu berentak balada yang mengisahkan mengenai perasaan cinta yang terpendam dan tidak terluah. Kata Evanatie, lagu tersebut sangat dekat di hatinya dan berharap ia dapat memberi inspirasi serta menyentuh perasaan mereka yang mendengar.
“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi karya ini dengan peminat muzik. Lagu “Pendam Rasa” ini sangat dekat dengan hati saya. Perasaan itu bukan hanya sekadar sebati pada rentak melodi, tetapi meresap lebih mendalam hingga ke jiwa yang paling terpendam. Inilah yang membuat lagu ini istimewa.
“Sebagai penyanyi baharu, setiap langkah dalam proses penciptaan lagu ini begitu bermakna. Dari melodi yang dipilih hingga lirik yang dicatat, setiap unsur adalah satu ungkapan rasa syukur yang mendalam. Ia seperti sebuah pengalaman pujian dan kesyukuran yang kian membesar dalam diri setiap kali lagu ini berkumandang di udara.
“Maka, apabila ditanya mengenai perasaan, saya sangat berterima kasih atas setiap detik yang mengubah mimpi menjadi realiti. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi karya ini dengan peminat muzik.
“Dengan penuh rasa syukur, saya membayangkan setiap telinga yang ingin meresapi setiap lirik, setiap mata yang ingin memahami cerita di sebalik melodi yang dilafazkan. Seperti membiarkan jiwa betapa dalamnya ia bersyukur atas rahmat yang diberikan,” katanya yang bernaung di bawah syarikat rakamann AR United Music.
Single “Pendam Rasa” kini boleh didapati di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.