Oleh : Nury Kadir
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Bersyukur kepada manusia membawa pengertian melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas pertolongan yang diberikan. Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya.
Imam al-Khattabi berkata, hadis ini ditafsirkan dengan dua makna:
Pertama: Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya.
Kedua: Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka.
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” (Riwayat al-Nasa’ie dan al-Tirmizi).
Menurut Imam al-Munawi, maksud ucapan Nabi SAW: “فقد أبلغ في الثناء” (maka sungguh ia telah melebihkan di dalam pujian) adalah dia telah meninggikan di dalam pujian itu dan telah mengerahkan usahanya di dalam membalasnya dengan menyebutkannya dengan kebaikan dan permintaan untuknya dari Allah SWT pahala yang besar, dan jika digabungkan hal itu dengan jenis apa yang telah dia lakukan kepadanya, nescaya ini akan lebih sempurna apa yang disebutkan oleh riwayat ini, tetapi disebutkan di akhir hadis, yang menjelaskan bahawa mencukupkan dengan doa, maka sesungguhnya ini adalah ketika tidak sanggup untuk membalas seperti apa yang telah dia lakukan kebaikan kepadanya.
Begitu juga sabda Rasulullah SAW, maksudnya:“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” (Riwayat Abu Daud).
Di dalam hadis yang lain juga disebutkan hal membalas kebaikan dengan kebaikan dan pujian sebagai tanda bersyukur. Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang diberi pemberian maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memuji, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat).” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).

Perintah untuk berbuat baik yang paling utama sebagai tanda syukur adalah kepada ibu bapa. Hal tersebut terakam dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Isra’ ayat 23, maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Dr Wahbah al-Zuhaili berkata, “Kedua-dua orang tua merupakan sebab yang zahir (tampak) bagi keberadaan anak-anak dan bagi pengasuhan mereka dalam suasana yang penuh dengan kelembutan, kebaikan, belas kasihan dan sikap lebih mendahulukan orang lain”.
Makna ayat di atas adalah Allah memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua orang tua atau Allah memerintahkan agar kamu berbuat baik dan berbakti kepada kedua orang tua kamu. Hal ini seperti firman Allah SWT dalam ayat lain, maksudnya: (dengan yang demikian) “Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: 14).
Perintah untuk berbakti kepada kedua orang tua kerana kasih sayang, pemberian serta pengorbanan mereka yang sangat besar dalam mendidik dan menjaga kita hingga dewasa. Hal itu merupakan sebuah kesetiaan dan harga diri untuk membalas kebaikan dan jasa mereka, iaitu dengan bersikap baik dan berakhlak terpuji kepada mereka. Atau dengan memberi apa yang mereka perlukan jika si-anak berkemampuan. Oleh kerana itu, Allah SWT menjelaskan beberapa bentuk kebaikan untuk kedua orang tua.
Tegas Mufti, sewajarnya kita menjadi manusia yang pandai bersyukur dan berterima kasih kepada orang lain yang telah banyak melakukan pelbagai kebaikan kepada kita terutamanya ibu bapa, guru atau sesiapa sahaja yang berbuat baik kepada kita.
Memang benar, pemberi nikmat yang hakiki adalah Allah SWT manakala seseorang yang melakukan kebaikan adalah perantara untuk sampainya kebaikan tersebut. Seseorang yang sukar untuk berterima kasih pada manusia yang telah melakukan kebaikan padanya, maka dia juga sukar untuk bersyukur kepada Allah SWT.
Namanya pun manusia yang lemah walaupun sekadar untuk mengucapkan syukur pun perlu minta kepada Allah. Bercakap bersyukurlah itu mudah tapi untuk menjaga hati sentiasa bersyukur itu sukar. Kerana kesukaran itulah maka artikel ini diakhiri denga dua doa.
Pertama doa yang sering dibaca oleh Nabi Allah Sulaiman AS supaya sentiasa ilhamkan rasa syukur di dalam hati.
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh”. (Surah al-Naml:19).
Kedua, doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Mud’az bin Jabal iaitu doa bersyukur yang dibaca sebelum salam setiap solat.
اللَّهُمَّ أَعِنى عَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Allahumma a’innii ‘alaa dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibaadatik.
Maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk senantiasa mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud).

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.