Oleh: Wawa Najwa
TATKALA Fadhilah Intan melancarkan lagu “Dawai”, karya dendangannya itu menjadi tular bukan setakat di Indonesia malah di Malaysia pun mendapat perhatian ramai.
Ramai yang berlumba-lumba membuat cover version lagu “Dawai”, baik lelaki mahupun perempuan. Namun dalam ramai yang menyanyikan semula lagu tersebut, dendangan Amsyar Leee atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 25, antara yang mendapat perhatian umum.
Ini kerana Amsyar, mempunyai keunikan pelbagai karakter suara yang sering dilagukan olehnya. Kebolehan penyanyi ini meniru pelbagai suara artis popular sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepadanya untuk lebih dikenali umum.
Terkini beliau hadir dengan single berjudul “Alkisah Jiwa” yang dilancarkan pada 11 Oktober lalu. Jika sebelum ini Amsyar berduet dengan Bunga untuk lagu “Belai’, single pertamanya yang dihasilkan pada 2022 dan kemudian berduet dengan Ezad Lazim untuk lagu “Mengintai Dari Tirai Kamar.”
Kali ini menerusi lagu “Alkisah Jiwa” Amysar berduet dengan penyanyi dari Indonesia iaitu Fadhilah Intan yang melonjak namanya dengan lagu “Dawai’ itu. Kebanyakan komen daripada peminat yang mendengar lagu “Alkisah Jiwa’ ini berkata, mereka tidak dapat membezakan mana satu suara penyanyi lelaki dan wanita.
Jelas Amsyar, kolaborasi bersama Fadhilah begitu istimewa di matanya memandangkan penyanyi berkenaan pandai menyesuaikan emosi dengan patah-patah lirik yang terkandung di dalam “Alkisah Jiwa”.
“Saya melihat dia sebagai antara penyanyi berbakat besar dan mampu memberikan emosi kepada setiap naskhah yang dibawakan. Fadhilah bukan sahaja mempunyai suara yang baik tetapi ada banyak lagi kelebihan yang ada padanya.
“Dia mampu memberikan ‘nyawa’ kepada “Alkisah Jiwa” dan seterusnya menghidupkan lagu ini dengan baik sehingga memikat hati pendengar,” kata Amsyar.
Lagu “Alkisah Jiwa” merupakan ciptaan Hendro Djasmoro dan Albert Juwono, manakala lirik pula adalah hasil tulisan Hendro Djasmoro. Lagu ini juga merupakan kerjasama antara Warner Music Malaysia dan Resonate Music Indonesia.
Kisah yang ditulis juga begitu dekat di hati dan Amsyar mengakui sudah jatuh cinta dengan melodi lagu ini saat kali pertama diperdengarkan kepadanya. Ia digarap dengan penuh makna dan perlu disampaikan dengan sepenuh jiwa.
“Lagu “Alkisah Jiwa” sebenarnya berkisar tentang perjalanan hati dan perasaan. Tidak mudah sebenarnya untuk menempuh liku-liku hidup memandangkan banyak halangan yang perlu dilalui.
“Namun dalam setiap langkah, akan ada cinta dan harapan yang menanti. Apa yang paling penting setiap insan perlu ada kekuatan jiwa untuk terus kuat. Percayalah ada keindahan yang akan menanti di hadapan,” tambah penyanyi tersebut.
Mengulas mengenai pengalaman kolaborasi kali ini, Amysar mengakui yang beliau begitu teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Fadhilah ketika mereka merakamkan lagu berkenaan.
Bagi Amysar, Fadhilah mudah didekati, mesra dan tidak lokek berkongsi pengalaman saat proses rakaman berlangsung di Jakarta beberapa bulan yang lalu.
“Walaupun ini merupakan kerjasama pertama kami, Fadhilah banyak memberikan maklum balas saat beberapa cabaran kecil dihadapi ketika rakaman berlangsung terutama untuk menyatukan harmoni dan melaraskan suara.
“Segala-galanya dapat diatasi dengan baik memandangkan masing-masing sudah berpengalaman seraya mengharapkan maklum balas positif daripada peminat dari Malaysia mahupun Indonesia,” ujar Amysar.
Tambah menarik, pembikinan video muzik video juga dilakukan di Jakarta bagi memberikan kesegaran dan kelainan kepada karya terbaharu Amsyar ini.
“Ini merupakan pengalaman baharu saya dapat bekerjasama dengan produksi di sana. Pihak produksi begitu teliti mencipta momen bagi memastikan mood setiap babak kena dengan lirik yang disampaikan.
“Hasilnya begitu indah dan saya mengharapkan maklum balas positif daripada peminat,” katanya yang sudah merancang untuk mengeluarkan beberapa karya lagi dalam beberapa projek yang sedang dirancang.
“Alkisah Jiwa” dilancarkan secara rasmi sejak 11 Oktober lalu di kesemua pelantar digital dan muzik video boleh ditonton melalui YouTube Fadhilah Intan.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.