Oleh: Wawa Najwa
RUPANYA sudah lama anggota kumpulan Govinda menyimpan impian untuk mengadakan persembahan di Malaysia. Akhirnya rezeki berpihak kepada mereka selepas lagu popular mereka “Hal Hebat” yang diterbitkan pada 2020, dinyanyikan semula oleh Ernie Zakri turut mendapat perhatian di sini.
Bukan setakat Ernie yang nyanyikan semula lagu itu, malah sejak dimuat naik di YouTube, lagu ciptaan Ade Govinda itu banyak dinyanyikan ulang oleh beberapa penyanyi lainnya dan sudah ditonton sebanyak 20 juta kali.
Govinda yang dianggotai oleh Ifan Hadari (vokal), Ade Nurulianto (gitar), Yosafat Luki Marendra (bass) dan Ritchie “Jeje” Ismail (drum) bakal beraksi untuk peminat di Malaysia untuk ‘Konsert Govind Hal Hebat @ Kuala Lumpur’ di Zepp pada jam 8.30 malam, 31 Oktober ini.
Menariknya, konsert Govinda yang dibawa khas oleh Adimusiqa itu bukan sekadar menggabung muzik sahaja, malah turut menampilkan kualiti para pemuzik serta penyanyi dari Malaysia dan Indonesia.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam lebih itu akan diserikan juga dengan penampilan istimewa dari Fadly Padi, Ernie Zakri, Aina Abdul dan Elica Paujin.
Dan malam tersebut akan diisi dengan hal-hal hebat oleh barisan penghibur khas yang pernah menjalin kolaborasi karya bersama pemain gitar utama Govinda, Ade Govinda buat peminat yang sudah lama menanti kehadiran serta persembahan mereka.
Vokalisnya Muhammad Irfan Hadari berkata, penerimaan positif peminat tempatan terhadap lagu-lagu dendangan mereka seperti “Hal Hebat” dan “Masing-Masing” menjadi pendorong utama kumpulan itu untuk mengadakan konsert eksklusif itu.
“Kami sudah lama memasang impian untuk membuat konsert di sini (Malaysia), lebih-lebih lagi selepas mendapat maklum balas positif peminat ketika muncul di Konsert Aku Cinta Syamel Ernie Zakri, dua tahun lepas,” katanya dalam sidang media konsert tersebut, baru-baru ini.
Tambahnya, mengenai pembabitan Ernie dan Aina dalam konsert tersebut, Muhammad Irfan menegaskan tidak ada istilah menumpang nama kedua-dua penyanyi popular tempatan itu, sebaliknya menghargai hubungan serta sokongan sesama mereka dalam dunia seni.
“Sewaktu Ernie berkunjung ke Indonesia, kami dan media Indonesia menyambutnya dengan sangat baik…kami bangga mempromosikan Ernie.. tidak ada sedikit pun, kami kata Ernie menumpang nama Govinda di Indonesia kerana Ernie juga luar biasa dan layak memperluaskan kerjayanya di Indonesia.
“Begitu juga di Malaysia, tak ada istilah kami menumpang nama mana-mana penyanyi kerana masing-masing sudah mencipta nama dan memiliki populariti sendiri,” katanya yang bakal mendendangkan kira-kira 18 lagu hits, antaranya, “Episode Bahagia”, “Tanpa Batas Waktu”, “Masing-Masing”, “Hal Hebat” dan “Siapa Yang Pantas”.
Sementara itu, pemain gitar Govinda, Ade Nurulianto berkata, kejayaan lagu “Masing-Masing”, mendorong mereka untuk merancang kolaborasi dengan Ernie lagi pada tahun depan. Lagu hasil ciptaan Ade itu, bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada peminat, tetapi turut melonjakkan nama Ernie di Indonesia.
“Insya-Allah, Ernie akan menyanyi lagu baharu ciptaan kami. Lagu sudah siap proses rakaman dan hanya tunggu masa untuk dilancarkan.
“Setakat ini persiapan untuk konsert sudah 80 peratus siap dan kami berjanji akan ada kejutan dan kelainan terutamanya pada susunan muzik yang kami fikir ini akan menjadi pencapaian tertinggi buat Govinda,” katanya.

Sementara itu, Fadly Padi yang diterbangkan khas untuk memperdengarkan lagu “Tanpa Batas Waktu” karya yang telah menjulang sukses dengan jumlah tontonan lebih 30 juta di YouTube.
Menurut Fadly atau nama sebenarnya Andi Fadly Arifuddin, konsert ‘Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur’ membawa dia keluar sebentar dari tanggungjawab sebagai vokalis Padi Reborn untuk mempersembahkan projek khas solonya bersama Ade Govinda menerusi lagu yang diterbitkan pada 2020 itu.
“Tanpa Batas Waktu” adalah sebuah kolaborasi solo saya bersama Ade Govinda bergenre pop yang sempat diangkat sebagai runut bunyi sinetron “Ikatan Cinta”.
“Mungkin ini pertama kali “Tanpa Batas Waktu” didendangkan secara langsung di Malaysia. Jadi jangan sampai terlepas hadir sama ke ‘Konsert Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur’ bukan hanya untuk mendukung saya tapi rakan penyanyi dan pemuzik lain yang terlibat sama,” kata Fadly.
Bagi Ernie pula, pelawaan Govinda untuk terlibat dalam konsert mereka adalah satu bonus kerana pada acara itu akan menjadi ruang pertama dan eksklusif penampilannya bersama kumpulan tersebut mengalunkan indahnya “Hal Hebat”.
Tidak hanya Hal Hebat, Ernie juga dengan bangga bakal mengalunkan “Masing-Masing” yang dihasilkan bersama Ade Govinda itu.
“Apabila mendapat tahu tercetus idea projek ‘Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur’ saya sangat teruja dan berdoa ia menjadi kenyataan kerana ada banyak karya bukan sahaja milik atau nyanyian saya tetapi rakan artis lain yang pernah mendapat sentuhan emas Ade Govinda perlu diperdengar dan dipersembahkan secara langsung di hadapan peminat,” kata Ernie.
Konsert itu kelak bukan hanya menyentuh tentang sebuah kumpulan dan memperdengarkan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Govinda tetapi menjadi medan berhimpun para penyanyi yang karya mereka mendapat sentuhan emas Ade Govinda.
Kata Maryam Ellysha Zulkeflee dari Adimusiqa, atas alasan tersebutlah pihaknya membawakan ‘Konsert Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur’ yang turut disertai oleh penyanyi-penyanyi yang telah mempopularkan karya Ade termasuk Ernie Zakri dan Aina Abdul.
Tiket-tiket dengan kategori EPISODE BAHAGIA (RM238), TANPA BATAS WAKTU (RM288), SIAPA YANG PANTAS (RM328), HAL HEBAT VVIP BOX (RM7,000) boleh dibeli menerusi laman sesawang WWW.TICKET2U.COM.MY/GOVINDA atau hubungi talian Hotline tiket di 012 653 0700 (WhatsApp).

Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.