Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Anne Abdullah/Koleksi Syed Wafa
Bagi pengemar drama Melayu, pasti sinonim dengan nama Mak Andak dalam drama 7 Hari Mencintaiku berbanding nama sebenar tuanpunya badan iaitu pelakon, penyanyi dan penerbit Anne Abdullah.
Menurut Anne atau nama sebenarnya, Noraini Abdullah,“Sebenarnya sebelum ini saya pun pernah dipanggil dengan watak Kak Ton dalam drama Ezora, Pesan Pada Hati sebagai Jamilah dan Mak Andak dalam 7 Hari Mencintaiku. Mungkin 7 Hari Mencintaiku hingga tiga musim itu sebab ramai peminat yang panggil Mak Andak bila berada diluar lokasi.

“Sebenarnya saya bila dah habis shooting akan `buang’ semua karakter lakonan hingga terlupa nama itu bila peminat panggil. Tapi sebagai pelakon, saya kena `alert’ bila peminat panggil nama watak tersebut. Itu maknanya watak lakonan saya menjadi dan tinggalkan kesan dihati peminat. Sebagai pelakon, saya buat yang terbaik,’’ kata Anne yang sudah mula berlakon sejak usianya 15 tahun.
Sepanjang 35 tahun penglibatannya dalam bidang seni, namun Anne tidak pernah menerima sebarang anugerah. Namun ini tidak menghalang Anne untuk terus berbakti dalam bidang seni yang dicintainya ini.

“Semua orang ada impian nak dapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pebantu Wanita Terbaik dan macam-macam lagi. Tapi bagi saya dapat tercalon dalam Top 5 pun sudah memadai… sekurang-kurang peminat nampak bakat saya dan saya pernah dicalonkan. Itu pun dah cukup membanggakan saya kerana orang nampak yang saya memang serius dalam industri.
“Saya berlakon ini bukanlah nak mengejar anugerah sangat…berlakon ini sebab saya minat dan memang suka berlakon. Jadi tak adalah terlintas nak dapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik ke…atau apa-apa anugerah tak pernah terlintas pun…saya berlakon saja. Tapi kalau dapat itu kira satu bonus (sambil ketawa).

“Syukur alhamdulillah hingga kini tak henti-henti tawaran berlakon yang saya dapat. Bila dapat tawaran saya akan berlakon dan buat yang terbaik untuk sesebuah drama tersebut supaya orang ingat lakonan saya,” kata Anne anak kedua daripada tiga adik-beradik.
Anne anak campuran Pakistan, Cina dan India, ini baru selesai menjalani penggambaran filem Game Of Life arahan Shafiq Yusuf. Kini Anne sedang sibuk dilokasi penggambaran drama Dzikir, 30 episod untuk Astro.

Diam-diam rupanya sudah 10 tahun, Anne Abdullah anak kelahiran Kuala Lumpur ini, bergelar produser dengan menubuhkan production housenya sendiri iaitu RD Pictures Sdn. Bhd.
“Syarikat saya kurang menerbitkan drama kerana kami lebih fokus dalam menerbitkan program berbentuk majalah dan dokumentari. Buat masa ini saya banyak buat untuk RTM kerana senang dan bayaran juga dijamin dapat (secure payment).

“Kadang tu takut nak buat drama kerana modal produksi yang besar. Takut bila selesai shooting, tiba-tiba stesyen tak nak bayar. Masalah untuk saya juga kerana menanggung kos yang besar. Itu sebabnya saya kena cari stesyen yang betul-betul selamat.
“Begitu juga dengan filem…tak terfikir nak buat filem sebab bajetnya besar dan satu ‘perjudian’ bila saya membuatnya. Takut dah keluar bajet yang besar dan berjuta, filem pula tak laku. Jalan selamat buat masa ini biarlah penerbitan filem itu dilupakan buat seketika. InsyaAllah kalau ada skrip filem yang bagus, tak ada masalah untuk saya buat filem pula,’’ kata Anne yang lebih seronok jadi penerbit berbanding pengarah.

Anne menambah, sekiranya mendapat dana Finas untuk membuat sesebuah penerbitan dia lebih suka mengambil ibu dan bapa tunggal sebagai pelakonnya.
“Saya banyak ambil mereka kerana saya faham bagaimana sukarnya hidup ibu tunggal dan bapa tunggal mencari rezeki untuk anak-anak. Saya buat begini sebab saya nak bantu mereka. Saya pun ibu tunggal dan saya tahu peritnya jadi ibu tunggal…mana nak cari rezeki, nak besarkan anak dan macam-macam lagi.”

Anne kini bahagia bersama aanak perempuan tunggalnya, Nasha dan menantunya, Amirul serta dua orang cucu Ryan Darwish,12, dan Rania Darwisha, 11.
Selain pernah membintangi lebih 80 buah drama, Anne juga turut berlakon filem. Antara filem lakonannya Cinta Rosevilla (1995), Amelia (1996), Bilut (2006), Susuk (2008), Penanggal, Redha, Kerja Kahwin, Jerangkung Dalam Almari, Kampung Latah The Mummy dan Saka Perawan.

Anne sibuk dengan GTAS
Dalam kesibukkannya berlakon, Anne juga kini merupakan presiden Pertubuhan Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang ditubuhkannya sejak 2014. Pertubuhan ini ditubuhkan bagi membantu artis-artis untuk menceburi bidang perniagaan.
“GTAS merupakan NGO usahawan selebriti dan buat masa ini sudah lebih 100 orang menjadi ahli kami. Syukur alhamdulillah, sehingga kini saya sudah dapat membantu artis-artis untuk menjana pendapatan sampingan selain daripada berlakon dan menyanyi.


“Ahli-ahli kami bukan setakat meniaga di Malaysia sahaja, kami sudah kembangkan sayap hingga ke peringkat luar termasuk Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.
“Kebanyakan ahli kami bermula dengan tanpa sebarang pengetahuan bisnes dan sejak bersama GTAS, banyak ilmu perniagaan yang kami berikan, baru mereka tahu…meniaga ni macam ini dan begini. Bila mereka sudah berjaya dan jika mereka nak bergerak sendiri tidak jadi masalah kepada saya,’’kata Anne lagi.

Anne menambah, artis yang membuka booth bersama GTAS akan diberikan token oleh pihak penganjur.
“Syukurlah kini ramai yang nak join GTAS. Kini ahli GTAS sedang sibuk dengan Karnival UDA yang berlangsung di seluruh negara pada setiap bulan. Sebagai presiden pertubuhan tugas saya mencari booth percuma untuk artis meniaga dan dalam waktu yang sama mereka mendapat token RM2,000 bagi setiap penyertaan luar daripada Kuala Lumpur. Pilihan artis yang meniaga juga bergantung pada pilihan pihak penganjur.


“Sedikit daripada token itu akan kami ambil untuk mengisi tabung dan duit itulah yang membolehkan kami untuk terus bergerak bagi membantu artis yang susah. Sekurang-kurangnya kalau bisnes mereka tak laku, duit token itu dapatlah menampung kerugian mereka.”

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.