Image by jcomp on Freepik

Oleh : Nury Kadir

Doa Sudah, Usaha tidak Putus Tapi Rezeki Jauh. Semua nasihat sudah dipatuhi sepenuhnya dengan istiqamah namun rezekinya masih tidak kunjung tiba. Usaha sepenuh tenaga ditumpukan demi mencari sesuap nasi dan menambah pendapatan. Namun, hasil yang diperolehi sekadar cukup-cukup makan. Rasa macam hendak berputus asa. Apa yang perlu dilakukan? Adakah ini balasan dosa-dosa yang lalu?

Ini jawapan yang diberikan oleh Mufti, menerusi www.muftiwp.gov.my. Adapun jika kita sudah bertaubat tetapi masih berasa sempit daripada sudut rezeki, maka kita perlu faham tidak semestinya ia diakibatkan oleh musibat dosa. Mungkin kita tidak faham konsep rezeki itu sendiri. Rezeki terbahagi kepada dua:

PERTAMA: Rezeki Yang Sudah Ditetapkan Tanpa Perlu Dicari

Ada rezeki yang sudah ditetapkan Allah SWT tanpa perlu dicari. Ada orang yang usaha hanya sedikit tetapi memperolehi rezeki yang banyak. Kadang-kadang, rezeki datang bergolek tanpa perlu diusahakan.
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’: 36)

Justeru, ada mereka yang dilahirkan dalam keluarga kaya dan ada yang dilahirkan dalam keluarga miskin juga sederhana. Bagi yang kaya, harta yang banyak adalah ujian bagi mereka supaya bersyukur. Sebab itu, Allah mengkritik orang kaya yang tidak bersyukur dan bakhil.

Firman Allah, maksudnya: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?” (Surah al-Nahl: 71)

Bagi orang miskin, Allah juga mengkritik orang yang mendapat rezeki yang kurang tetapi kecewa dengan hidupnya dan menyalahkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Faqr ayat 16, maksudnya: “Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”

Maka cukuplah ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa soal rezeki itu, ada yang sudah ditetapkan Allah yang kita tidak mampu mengubahnya. Kadang-kadang golongan yang kaya memerlukan orang yang miskin untuk bekerja dan sebaliknya.

Firman Allah dalam Surah al-Zukhruf: 32, maksudnya: “(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.”

Bahkan, jika semua orang menjadi kaya sama rata, maka keadaan akan menjadi melampau dan tidak stabil. Firman Allah Taala, maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura: 27)

KEDUA: Rezeki Yang Perlu Dicari

Selain daripada rezeki yang sudah ditetap oleh Allah SWT kepada kita tanpa usaha, ada rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya.

Menerusi Firman Allah Taala, maksudnya: “Dan Dia-lah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl: 14)

Boleh jadi kita berasa rezeki disekat tapa memikirkan mungkin usaha yang dilakukan belum cukup dan strateginya tidak tepat. Lihatlah maksud ayat di atas, “supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya”.

Pertama yang perlu fikirkan adalah mencari rezeki yang halal. Kedua, mempelbagaikan kaedah memperolehinya. Barangkali rezeki kita dipermudahkan bukan untuk bekerja di bawah orang tetapi bekerja sendiri. Mungkin juga sebaliknya. Yang penting kita perlu usaha dan ada strategi yang tepat termasuklah berbincang dan mengambil pengalaman daripada orang lain, kemudian berazam dan bertawakal kepada Allah Taala. Firman Allah, maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran: 159)

Diakhiri artikel ini dengan doa yang kita baca setiap hari di dalam solat subuh iaitu doa qunut.
اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي
وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ ، وَإِنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ
Maksudnya, “Ya Allah tunjukkanlah kami sebagaimana orang yang Engkau berikan petunjuk. Dan sejahterakanlah kami sebagaimana orang yang Engkau sejahterakan. Pimpinlah kami sebagaimana orang yang telah Engkau pimpin. Dan berkatilah hendaknya untuk kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkanlah dari kami sebarang kejahatan / takdir buruk yang Engkau tentukan (untuk hari ini). Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan dan tidak sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi.”

Previous articleSetelah 13 Tahun Tanpa Album, Zee Avi Muncul “Oyasumi Na Sayang”
Next articleRugi Tidak Datang KBBM 2024 bersama MBDA sempena ‘My Gaya Month’!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here