Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Abby Abadi/Koleksi Syed Wafa
DI awal kemunculan, Abby Abadi atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan lebih dikenali sebagai salah seorang anggota kumpulan penyanyi wanita iaitu Elite yang ditubuhkan oleh KRU Records.
Sebelum menyertai Elite, Abby, 46, terlebih dahulu menganggotai kumpulan Alpha pada usia 15 tahun sebelum kumpulan itu dibubarkan.
Selain Abby, kumpulan Elite juga dianggotai oleh Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali. Pada 9 September 1996, Elite telah mengeluarkan single pertama mereka, berjudul “G.I.G”, berserta album single yang mengandungi beberapa remix, lagu “La Diva”. Manakala album sulung Elite, “Catwalk”, dilancarkan pada 27 Oktober 1996.
Selepas album studio kedua, “Tamparan”, dikeluarkan dan terjual sebanyak 25,000 unit sepanjang dua bulan di pasaran, kumpulan Elite dilanda masalah disiplin hingga menyebabkan keahlian Abby digantung dan mengundurkan diri pada 1997.
Kemudian Linda juga menurut langkah Abby mengundurkan diri daripada Elite selepas mendirikan rumah tangga dan digantikan dengan Fiza Halim.
Namun, pada tahun 2002, Elite bersatu semula untuk merakam lagu “Mengerti”, yang diterbit dan dinyanyikan oleh KRU pada tahun 1993 menerusi album kedua mereka, “ReKRUed”.
Populariti Abby sebagai anggota Elite, secara tak langsung membuka ruang kepadanya untuk menjadi pengacara “Roda Impian” bersama Halim Othman selama dua musim.
Kerjaya lakonannya yang pertama bermula dengan memegang watak DSP Aleeza dalam drama bersiri “Gerak Khas”, terbitan Skop Productions. Manakala filem pertama lakonannya adalah sebagai Fiza dalam filem “Pasrah” yang dikeluarkan pada 2000.
Bagaimanapun sehingga hari ini wataknya sebagai Inspektor Aleeza dalam filem “Gerak Khas The Movie” (2001) dan “Gerak Khas The Movie II” (2002) masih melekat dalam pemikiran peminat-peminatnya.
“Lepas daripada “Gerak Khas”, saya tinggalkan industri seketika dan bila orang jarang nampak saya di kaca TV, jadi tawaran pun kuranglah. Alhamdulillah, sekarang ini tawaran kembali mendatang.
“Saya kurus ni bukan sebab nak berlakon, sebaliknya orang yang tawar saya berlakon sebab saya dah kurus tak lagi gemuk-gemuk manja macam dulu. Sekarang ini berat saya di bawah 80 kilogram (kg).
“Alhamdulillah, sekarang ini saya sedang shooting drama “Anak-Anak Mafia” untuk Zeel Production, siaran TV3. Bukan sebab saya kurus untuk berlakon seperti orang kata. Kebetulan, bila kita dah kurus dan bila orang nampak itu adalah rezeki.
“Eh! Macam Inspektor Aleeza dulu, itu yang mereka panggil. Membuka rezeki saya dan bila dah mula berlakon, ada saja tawaran. Dalam “Anak-Anak Mafia” saya sebagai Inspektor Azura tapi orang tetap nampak Inspektor Aleeza juga,” cerita Abby tentang drama baharu lakonannya itu.
Meskipun berperanan sebagai anggota polis, untuk drama arahan Eoon Shuhaini ini, penampilan Abby tidak mengenakan uniform seperti dalam drama atau filem “Gerak Khas”.
“Untuk drama ini saya berpakaian preman tak pakai uniform sebab bukan PDRM (Polis Diraja Malaysia). Sekarang ini kalau nak buat cerita polis kena cipta unit sendiri dan tak boleh libatkan PDRM supaya ia tak merosakkan imej polis itu.
“Kalau orang masih ingat saya sebagai Inspektor Aleeza, saya okey saja tak ada masalah pun. Tak ada benda buruk dan itulah kenangan manis sepanjang saya berlakon. Waktu tawaran Inspektor Azura ini datang saya tengok watak itu tak ada benda pelik yang perlu saya buat, jadi saya terima saja,” katanya tanpa berselindung.
Ujar ibu kepada Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim, anak-anak hasil perkahwinannya dengan pelakon Norman Hakim sebelum bercerai pada 2009, selain watak anggota polis, ada juga watak lain yang ditawarkan kepadanya.
“Selain watak pegawai penguatkuasa, ada juga tawaran jadi isteri orang. Bagi saya apa yang ditawar adalah rezeki dan jika bersesuaian saya terima. Saya tidak meletakkan sebarang syarat sebelum bersetuju terima tawaran berkenaan.
“Dalam industri ini tak boleh nak letak syarat sembarangan nanti orang tak suka. Bila dapat skrip, saya akan tanya apa watak dan komitmen saya. Kalau saya perlu berdukung-dukung saya tak ambil la. Bila watak polis tak ada sentuhan apa.
“Kalau watak isteri orang pun saya rasa sekarang semua boleh bincang. Pengarah tahu saya tak nak disentuh, dia akan tukar adegan itu macam drama yang sedang saya berlakon sekarang. Bagusnya pengarah itu dan produksi memahami apa yang kita rasa selesa dan tak.
“Itu yang saya pelik bila ada pelakon pakai tudung kata dia dapat tawaran suruh buka tudung. Saya tak rasa itu ada dalam industri kita, macam rekaan saja sedangkan dia ada pilihan. Kalau produksi tu nak artis tak bertudung ramai saja dan begitu juga yang bertudung ada saja.
“Sekarang ini banyak sangat perubahan yang saya nampak sewaktu di set. Ada break untuk solat dan seronok berada dalam industri sebab ada perubahan yang baik,” kata isteri kepada Jai Ezzany atau nama sebenarnya, Muhammad Faizal Zakaria sejak 14 Ogos 2015 dan ibu angkat kepada Muhammad Dayyan Fayyad, Maisara Dayana Fathiah dan Maira Darda Farisa.
Tatkala ditanya tentang perkembangan terkini kumpulan Elite, Abby berkata mereka masih lagi aktif menjayakan persembahan pentas walaupun masing-masing sibuk dengan keluarga.
“Masing-masing sudah ada komitmen dan keluarga, kadang-kadang jumpa. Ada juga yang panggil show, kalau ada kita pergi la. Baru lepas show di Singapura.
“Apa yang saya perhati, dalam zaman sekarang orang suka panggil artis lama sebab masih ingat lagu-lagu daripada drama lama macam zaman saya, Erra dan Dato Awie. Benda itu kalau diulang balik orang seronok nak tahu dan masih ingat,” katanya.
Terima dugaan dengan hati terbuka
Abby yang baru-baru ini menjadi bualan hangat kerana perihal keluarga yang melibatkan anaknya, Marissa Dania Hakim bagaimanapun menganggap itu sebagai dugaan seorang ibu dalam menangani perangai anak-anak.
Anak keduanya itu telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Pasangan tersebut dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.
Biarpun tindakan anaknya itu di luar jangkaan, sebagai ibu Abby reda dengan pilihan yang dibuat Marissa sekali gus bergelar isteri kedua kepada lelaki itu. Bagaimanapun Abby bertegas mahu pasangan itu segera mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.
Bagi pihak Marissa pula mengakui pernikahannya mendapat tentangan daripada keluarga. Sedar, tiada ibu bapa yang bersetuju dengan pilihan seperti ini, lebih-lebih lagi usianya yang masih muda.
Marissa yang dilahirkan pada 2005 dalam kereta sewaktu Abby dalam perjalanan untuk ke hospital menjelaskan bahawa itu adalah jalan dipilihnya iaitu hidup berpoligami.
“Alhamdulillah, sebenarnya saya kenal anak-anak. Biasanya dalam keluarga ada turun naik tapi kasih sayang kuat sebab dari kecil anak-anak dengan saya. Bila ada benda yang berlaku, saya yakin tak lama dan biasanya on-off gitu saja.
“Demi Allah tak ada pun niat nak buat konten (perihal masalah keluarga) atau apa pun. Benda itu berlaku dengan sendiri, saya pun tak pasti. Orang luar hanya buat andaian sahaja.
“Apa yang saya muat naik kat media sosial itu pun saya hanya masukkan lagu dan juga petikan ayat sahaja. Orang yang menjangkakan benda lain. Setiap keluarga ada masalah tersendiri, cuma disebabkan saya public figure itu yang menjadi sasaran.
“Biar apapun dugaan yang mendatang, saya tetap bersyukur kerana anak-anak masih menghormati saya walaupun terdapat pelbagai masalah yang dihadapi,” katanya.
Anak jadi jurulatih untuk kurus
Ramai yang terpegun melihat Abby Abadi sudah kurus dan timbul pandangan jahat mengatakan beliau tampak langsing kerana melakukan pembedahan bariatrik.
Sewaktu acara Zumba Bersama Abby Abadi yang diadakan oleh Inayah Beauty Sdn. Bhd., baru-baru ini, pelakon itu mengakui yang beliau tampak kurus kerana mengamalkan minum produk jenama BerryFull keluaran syarikat tersebut.
“Pada awal permulaan saya dipaksa untuk kurus. Bos Inayah tetapkan saya mesti kurus baru boleh bekerjasama. Bila kita nak apa yang dihajati, kita kena buatlah. Itu yang saya buat latihan selalu.
“Saya beruntung kerana jurulatih saya adalah Danish. Bila dia suruh buat saya buat tapi kalau mama dia tak boleh, dia tukar cara lain. Paling tidak pun, dua atau tiga kali seminggu latihan dengan Danish, senang la sebab anak sendiri yang ajar.
“Selain latihan, saya kena jaga juga bab makan bila dah usia macam ni kerana metabolisme sudah rendah. Perkara pertama yang saya buat bila ada niat nak kurus, adalah kurangkan minum air manis. Berat badan mudah turun kalau kita buang manis, saya tak minum air manis.
“Sebelum ini, kalau tak ada teh o ais atau nescafe ais bukan sayalah tu. Tapi saya buang semua itu sebab nak kurus dan tak makan nasi sangat memang menjadi,” kata Abby terus terang.
Tambah Abby, sebelum mengamalkan minum BerryFull Honey Lemon, beliau memang pernah melakukan pembedahan bariatrik pada 2019 tapi berat badannya tidak sekurus sekarang.
“Memang saya pernah buat bariatrik tapi saya salah kefahaman tentang bariatrik. Saya buat pada 2019 sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Pada saya kalau buat tu tentu kurus. Jadi bila saya buat, saya biarkan saja. Mula-mula memang turun 7 hingga 8 kg sebab berat waktu itu 80 kg, lepas tu tak turun-turun sebab saya tak jaga.
“Rupanya bila buat bariatrik, kita kena jadi orang lain iaitu kena buat latihan dan jaga makan, sama saja. Dalam masa empat tahun berat saya 70 lebih, bawah 80 kg tu maintain gitu saja. Saya tak pernah kurus macam ni.
“Berat sekarang, sebab saya diet. Kalau buat bariatrik tapi tak jaga memang tak menjadi. Apa benda yang kita buat pun kena jadi orang lain. Macam sekarang ini saya komit dengan detox ini sebab saya punya badan jenis yang tak detox saya tak boleh membuang.
“Kalau seminggu saya tak guna ini, seminggu tu saya tak membuang. Benda-benda begini tak patut berlaku kerana tak bagus untuk badan. Memang kena jaga makan, kalau nak cepat kurus, buang manisan dan buat latihan. Dengan bantuan BerryFull ini, insya-Allah, dapatlah bentuk badan idaman,” katanya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.