Image by jcomp on Freepik

Oleh Nury Kadir

Baru-baru ini katanya nilai Ringgit naik, tapi besarkah kesannya kepada rakyat biasa? Bagi yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, turun naik nilai ringgit bukan soal yang harus difikirkan, asalkan harga barang turun pun sudah memadai.

Sekarang, kebanyakan orang hidup dalam kesempitan yang sempit segala-galanya. Kadang-kadang kita lihat orang lain senang bagai tiada apa berlaku namun hakikatnya hanya Allah dan tuan punya badan sahaja yang tahu. Dipandang pula ke satu sudut yang lain, ada orang yang nampak betul-betul susah tapi tidak pernah mengeluh, hidup perlu diteruskan. Kepada Allah semuanya disandarkan.

Apabila kita mengeluh harga barang naik memang akan menyebabkan stres. Jika stres melanda mulalah terfikir macam-macam tindakan buruk yang hendak diambil. Bukankah semasa harga barang turun, Allah juga yang memberi rezeki. Begitu juga semasa harga barang naik, Allah juga yang memberikan rezeki. Jadi, mengharaplah hanya kepada Allah.

Mungkin ada yang berkata, “cakap senanglah, tak kena batang hidung kau.” Memang betul cakap senang, tapi percayalah semua orang pernah merasa susah ketika berada dalam suasana ekonomi seperti hari ini. Bukan anda sahaja tapi satu dunia merasai kesan ekonomi selepas covid.

Pegang satu sahaja dalam hidup ini…percaya pada Allah, percaya pada Allah dan percaya pada Allah. Percaya bukan pada lidah…”aku dah percaya tapi tidak ada pun hasilnya.” Percaya dan yakin sepenuh hati. Rezeki kita dari Allah tetap ada dalam bentuk yang berbeza bagi setiap orang.

Mari ikuti sedikit kisah Hatim al-Asham dan gurunya Syaqiq al-Balkhi yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’Ulum al-Din. Ia sebuah kisah yang panjang tetapi dipetik hanya pada bahagian rezeki sahaja iaitu pada masalah yang ketujuh.

Kata Hatim, “Aku memperhatikan manusia dan aku dapati masing-masing menghinakan diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan ada di antara mereka yang sampai berani melanggar sesuatu yang tidak halal.
“Kemudian aku melihat firman Allah SWT: Maksudnya: Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya. (Surah Hud, 6)

“Maka aku yakin bahawa sesungguhnya aku merupakan salah satu daripada dawwab (makhluk hidup) ini yang ditanggung rezekinya oleh Allah. Maka aku sibukkan diriku dengan apa yang menjadi hak Allah SWT atas diriku, dan aku menyerahkan apa yang menjadi hakku di sisi-Nya.”

Image by jcomp on Freepik

Moral ceritanya, mencari rezeki itu dituntut tapi jangan sampai menghina diri dalam mencari rezeki. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh kerana itu bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Riwayat Ibnu Majah)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Allah telah mencatat takdir setiap makhluk 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.” (Riwayat Muslim)
Ibn al-Qayyim berkata: “Fokuskanlah fikiranmu untuk memikirkan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah kepadamu. Jangan menyibukkannya dengan rezeki yang sudah dijamin untukmu. Kerana rezeki dan ajal adalah dua perkara yang sudah dijamin. Selagi masih ada baki ajal, rezeki pasti datang. Jika Allah dengan hikmah-Nya berkehendak menutup salah satu jalan rezekimu, Dia pasti dengan rahmat-Nya membuka jalan lain yang lebih bermanfaat bagimu.” (dipetik dari www.muftiwp.gov.my)

Ada yang merasakan kehidupannya sentiasa dalam kesusahan, kesempitan dan duit sentiasa tidak cukup. Bukan tidak berusaha jauh sekali bermalas-malasan, asal ada ruang untuk menambah pendapatan dengan tekun akan diusahakan. Hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Apakah lagi cara terbaik untuk menjalani kehidupan ini?

Berikut adalah beberapa tip yang dititipkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my):

1. Takwa
Bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya seperti solat, ibadat-ibadat wajib dan sunat yang lain. Ini adalah jalan penyelesaian terbaik kerana Allah SWT berfirman:
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Talaq: 2-3)

Menurut Ibn Kathir, ayat tersebut membawa maksud sesiapa yang bertakwa kepada Allah dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Iaitu dari arah yang tidak pernah terlintas dalam hatinya.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda, maksudnya: “Wahai manusia! Bertakwalah kepada Allah dan berusahalah dengan cara yang baik! Sesungguhnya satu jiwa itu tidak akan mati sehingga rezekinya diberikan secara sempurna, walaupun lambat. Oleh kerana itu bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan berusahalah dengan cara yang baik! Ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Riwayat Ibnu Majah)

2. Menjaga hubungan silaturrahim.
Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini di dalam kitab Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim berkata: “Yang dimaksudkan dengan ‘أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ’ adalah diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta.”

Image by freepik

3. Bersedekah
Jangan tunggu banyak duit baru hendak bersedekah. Melazimi bersedekah walaupun sedikit lebih baik daripada tidak ada langsung. Terdapat sebuah hadis yang menyebut berkenaan doa malaikat kepada orang yang pemurah dan yang bakhil.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا
Maksudnya: Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah gantian kepada orang yang melakukan infaq dan sedekah.” Manakala Malaikat yang satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kehilangan kepada yang bakhil.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari menjelaskan hadis ini: “Pengganti itu lebih aula disamarkan agar mencakupi pengganti dalam bentuk harta dan pahala serta selainnya. Ini kerana berapa ramai orang yang berinfaq dan dia meninggal sebelum memperoleh balasan berupa harta di dunia, maka penggantinya adalah berupa pahala di akhirat, atau dia dilindungi dari keburukan.”

Manakala Imam Badruddin al-‘Aini menyebut dalam kitab Umdah al-Qari, “Padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”

4. Istighfar
Perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah SWT kerana ia adalah penyelesai kepada isu yang dibangkitkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, Allah SWT menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh kesah itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad, al-Tabarani dalam al-Ausat dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra)

Firman Allah SWT, maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh: 10-12)
Cuba renungkan kata-kata ulama ini, semoga ia menjadi pengubat hati yang sedang lara. Kata-kata Hamzah al-‘Abdi daripada Murrah bin Syarahil yang dicatatkan di dalam kitab Hilyah al-Auliya’, “Kami datang mengunjungi Murrah bin Syarahil lalu dia berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak menulis ke atas hamba-Nya sebarang bala, kecuali pasti berlaku sekalipun seorang hamba mentaati-Nya. Dan, Allah tidak menulis bagi seorang hamba sebarang rezeki kecuali pasti ditunaikannya sekalipun seorang itu menderhakai-Nya.”

Satu lagi mutiara kata yang boleh dibuat renungan ialah daripada Ubaidullah bin Muhammad bin Yazid yang merakamkan percakapan Abu Hazim apabila ditanya mengenai harga barang melambung. Katanya, “Aku mendengar ayahku menyebut bahawa mereka telah mengunjungi Abu Hazim lalu berkata: “Wahai Abu Hazim, tidakkah kamu melihat harga barang sekarang ini mahal?” Lantas dijawabnya: “Apakah yang merunsingkan kamu demikian itu? Sesungguhnya Yang memberi rezeki pada kita pada masa barang murah, Dia-lah juga yang memberi rezeki pada kita pada masa barang mahal.” (Hilyah al-Auliya’)

Jangan susah hati rezeki kita tetap ada, janji usaha dengan bersungguh-sungguh dan tawakal. Ada satu hadis Nabi SAW yang menyebut tentang tawakal sesuai untuk jadi renungan. Hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A, Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim).

Menurut Imam al-Munawi, bahawa tawakal itu tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Begitu halnya dengan burung yang memperolehi rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki.
Imam al-Suyuti menukilkan bahawa Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman berkata: “Hadis ini bukanlah dalil untuk duduk bersantai-santai dan enggan melakukan usaha untuk memperoleh rezeki. Sebaliknya hadis ini merupakan dalil yang memerintahkan untuk mencari rezeki kerana burung tersebut pergi pada pagi hari untuk mencari rezeki.

Imam al-Ghazali menyatakan, tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah. Allah-lah yang nanti akan menentukan hasilnya.

*Ikuti sambungan pada artikel akan datang mengenai seseorang yang sudah berusaha dan berdoa , namun rezekinya masih jauh lagi. Mengapa ia terjadi?.

Previous articleCara penyediaan Spaghetti Creamy Carbonara Mushroom yang lazat di Restoran Rasa Rosz!
Next articleLegenda Pop Yeh Yeh Bakal Gegarkan Miri!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here