Oleh : Nafsiah Jani
Rasulullah SAW bersabda:“Wanita, apabila ia solat lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, menutup aurat, memelihara kehormatannya serta taat pada suaminya, maka masuklah ia dari mana saja pintu syurga yang ia kehendaki.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Thabrani dan Anas bin Malik).
Jadi dapatlah kita andaikan betapa mulianya kaum wanita pada pandangan Rasulullah SAW sehingga mengangkat tinggi martabat mereka. Begitu mudah untuk seseorang wanita itu memasuki syurga jika hanya mengikuti wasiat yang telah Rasulullah SAW gariskan kepada mereka.
Sebenarnya begitu banyak wasiat yang telah Rasulullah SAW tinggalkan untuk kaum wanita bagi mencegah mereka melakukan perkara yang dilarang dan sebaliknya melakukan perkara yang di suruh. Perkara ini jika diikuti, begitu mudah untuk seorang wanita terutamanya seorang isteri untuk memasuki syurga berbanding suami.
Mentaati suami adalah kewajipan isteri kerana suami adalah ketua keluarga dan dialah yang akan bertanggungjawab atas semua perkara yang berlaku dalam keluarganya. Kebijaksanaan Allah SWT menentukan bahawa segala sesuatu itu pasti ada yang memimpin dan yang dipimpin.
Disebutkan dalam Kitab Riyadhus Shalihin karya Imam an-Nawawi, Rasulullah SAW berpesan agar memberikan nasihat dengan baik kepada kaum wanita. Dari Abu Hurairah RA, dia mengatakan, Rasulullah SAW bersabda,”Berikanlah nasihat dengan baik kepada kaum wanita, kerana wanita diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok ada pada bahagian atasnya. Kerana itu, jika engkau meluruskannya dengan paksa, tulang itu akan patah. Jika engkau biarkan, dia akan terus membengkok. Karena itu, bicaralah dengan baik kepada kaum wanita.” (HR Muttafaq Alaih)
Wasiat Nabi Muhammad SAW kepada wanita, “Dunia seisinya adalah perhiasan. Dan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah. (HR. Muslim)
Untuk menjadi wanita solehah, tentunya tidak mudah. Namun jika seseorang wanita itu memahami, mempelajari, dan mengamalkan perintah yang harus dilaksanakan, juga larangan yang harus dihindari oleh wanita sepertimana wasiat Nabi Muhammad SAW, sudah pasti mereka dapat menjadi seperti wanita yang digambarkan Rasulullah SAW.
Sebaik-baik bagi wanita ialah yang tinggal di rumah, tidak keluar kecuali untuk urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesongkan oleh iblis. Sabda Rasulullah SAW: “Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandangnya.” (Riwayat Tarmizi)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta dengan tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tiada izin suaminya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya ialah golongan miskin, manakala orang-orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain dari itu ahli Neraka diperintahkan masuk ke dalam Neraka dan aku telah berdiri di atas pintu Neraka, aku lihat kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya ialah wanita.” (Riwayat Imam Bukhari dan Usamah bin Lad r.a)
Realitinya, Rasulullah SAW sendiri telah mengangkat martabat wanita ke darjat paling mulia sejak dahulu hingga kini. Lihatlah, bagaimana akhlak Aisyah r.a, Khadijah r.a, Fatimah r.a dan lain-lain wanita di bawah jagaan baginda.
Sepertimana pesan Rasulullah SAW, layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Di antara wasiat Rasulullah SAW lainnya yang berkenaan dengan kaum wanita adalah tidak boleh berbuat kejam terhadap wanita dan memenuhi apa yang menjadi haknya. Hal ini diriwayatkan Imam At-Tirmidzi dari Amr bin Ahwash Al-Jusyami RA, dia mendengar Nabi SAW menyampaikan khutbah pada haji Wada’. Setelah menyampaikan pujian kepada Allah SWT dan selesai memberi peringatan dan nasihat, beliau bersabda:
“Ingatlah, berilah nasihat yang baik kepada isteri-isteri kalian. Sungguh, mereka memerlukan perlindungan kalian. Sedikit pun kalian tidak boleh berbuat kejam terhadap mereka, kecuali mereka melakukan perbuatan keji yang nyata maka jangan kalian temani mereka di tempat tidur dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Jika mereka taat, jangan kalian berlaku keras terhadap mereka.
“Ingat, sungguh kalian mempunyai hak atas isterimu, dan isterimu juga mempunyai hak atas kalian. Hak kalian atas mereka iaitu tidak boleh memasukkan orang yang kalian sukai ke kamar dan tidak mengizinkan orang yang kalian tidak sukai ke dalam rumah. Ingat, hak mereka atas kalian ialah kalian harus mempergauli mereka dengan cara yang baik, terutama dalam memberi pakaian dan makanan.” (HR At-Tirmidzi. Al-Albani men-shahihkannya dalam Shahih Ibni Majah)
Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (yang halal nikah) kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual-beli. Diriwayatkan, ketika Rasulullah bersama- sama isterinya (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum), Rasulullah menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam.
Bertanya Ummu Salamah, ‘Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Bukankah kamu dapat melihatnya?” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Wasiat Rasulullah SAW Kepada Wanita:
Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya:“Kebanyakan wanita itu adalah isi Neraka dan kayu apinya.” Sayidatina Aisyah bertanya, “Mengapa, wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW: Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan ujian seperti kesakitan waktu melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja di rumah.” (Riwayat Imam Bukhari)
Imam Thabrani menceritakan bahawa seorang isteri tidak dianggap menjalankan kewajipannya kepada Allah sehingga ia menjalankan kewajipannya kepada suaminya. Seandainya suaminya memintanya (untuk digauli) walaupun (dia) sedang berada di belakang unta maka ia tidak boleh menolaknya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Empat golongan wanita yang berada di syurga ialah:
a) Perempuan yang menjaga dirinya dari berbuat haram lagi berbakti kepada Allah dan suaminya.
b) Perempuan yang banyak keturunannya lagi penyabar serta menerima dengan senang hati keadaan serba kurang (dalam kehidupannya) bersama suaminya.
c) Perempuan yang bersifat pemalu dan jika suaminya datang maka ia mengunci mulutnya dari perkataan yang tidak layak kepadanya.
d) Perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurus anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik kepada mereka dan tidak bersedia menikah kerana risaukan nasib anak-anaknya akan terabai.
Dan empat golongan wanita yang berada dalam Neraka ialah:
a) Wanita yang jelek (kotor) mulutnya terhadap suaminya. Jika suaminya pergi, ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya datang ia memakinya (memarahinya),
b) Wanita yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang dia tidak mampu.
c) Wanita yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki-lelaki dan keluar rumah dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki-lelaki).
d) Wanita yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia tidak sanggup berbakti kepada Allah dan tidak sanggup berbakti kepada Rasul-Nya dan tidak sanggup berbakti kepada suaminya.”
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.