Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan Datuk Habsah Hassan/Koleksi Syed Wafa.
KEINDAHAN sesebuah lagu tidak mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada jiwa para pendengarnya tanpa lirik yang puitis yang bisa membuai perasaan siapa sahaja yang mendengarnya.
Sebab itu tidak hairanlah lagu yang disulami dengan lirik yang puitis bukan sahaja sentiasa segar di jiwa para peminatnya malah ia menzahirkan sebuah karya indah yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dipanas.
Apabila menyentuh mengenai lirik yang puitis yang mampu membuai perasaan para pendengarnya, tidak boleh tidak pasti akan mengingatkan kita kepada penulis lirik tersohor yang prolifik, Datuk Habsah Hassan.
Betapa tidak lirik-lirik puitis yang dizahirkan wanita yang lembut bicaranya ini bukan sahaja telah didendangkan ramai penyanyi popular tanahair malah ia juga mampu menenangkan jiwa seorang insan ‘bernama wanita’ larut dalam bait-bait liriknya yang puitis yang menyentuh hati para pendengar.
Menjejaki dan menghayati lirik-lirik karyanya yang bertahan sehingga hari ini, tidak dinafikan ia antara sebab mengapa beliau menjadi pilihan ramai penyanyi untuk mendapatkan lirik ciptaannya.
Habsah Hassan yang lebih mesra disapa Kak Chah memulakan ‘kerjayanya’ sebagai penulis lirik sejak tahun 1974 apabila diberi peluang bekerjasama dengan komposer Datuk Oii Eow Jin dan Din Osman yang ditemui ketika bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Walaupun tidak mempunyai latar belakang yang formal sebagai penulis lirik namun kesediaannya menyahut cabaran akhirnya berjaya menulis lirik lagu pertama “Terkenang” yang dirakamkan oleh Juara Bintang RTM 1975, Zulkiflee Ahmad.
Bersandarkan daripada peluang itu, Kak Chah telah menulis lirik keduanya berjudul “Teriring Doa” dan “Suratku Yang Ini” untuk album pertama Allahyarham Datuk Sudirman selepas beliau menjuarai Bintang RTM 1976.
Sejak itu beliau telah menulis lebih 1,000 lirik untuk para penyanyi antaranya Sudirman Haji Arshad, Noorkumalasari, Zaiton Sameon, Francissca, Jamal Abdillah, Rahim Maarof, Kenny, Remy & Martin, Jay Jay, Erra Fazira dan Siti Nurhaliza.
Lagu-lagu seperti “Merisik Khabar” (Sudirman), “Menaruh Harapan” (Zaiton Sameon), “Cinta Beralih Arah,” (Aishah), “Ceritera Cinta”(Jaclyn Victor dan Rio Febian), “Ku Percaya Ada Cinta”(Siti Nurhaliza) dan “Pulangkan” (Misha Omar) adalah lagu malar segar yang masih diminati dan masih dimainkan di radio.
Adalah difahamkan diantara penyanyi berkenaan Sudirman Haji Arshad telah merakamkan lebih daripada 20 lagu dengan lirik oleh Habsah Hassan.
Bersandarkan lirik-lirik yang dihasilkan, Kak Chah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi penulis lirik pertama memenangi Anugerah Cakera Emas dari WEA Recording Company (yang kemudiannya dikenali Warner Music) kerana paling banyak menulis lirik.
Itulah Habsah Hassan, penulis lirik yang dilahirkan di Singapura pada 28 Ogos 1949. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan suami tercinta, Mohamad Jusoh dan dikurniakan empat orang anak perempuan.
Bukan itu sahaja, malah beliau juga merupakan wanita pertama mencatatkan sejarah tersendiri apabila dua kali memenangi kategori Lirik Terbaik dalam Pertandingan Juara Lagu 1987 dengan lagu “Menaruh Harapan” nyanyian Zaiton Sameon diikuti lagu “Cinta Beralih Arah” (Aishah)
Bersandarkan pencapaian dan kehebatannya dalam melahirkan lebih 1,000 lirik Kak Chah telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Sepanjang Hayat pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH34) pada 13 November 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Bagi Kak Chah sesebuah lagu boleh menjadi malar segar jika liriknya berkualiti dengan merangkumi jalan cerita, unsur puitis dan kosa kata yang tepat.
“Jika sesebuah lirik mengandungi ciri-ciri ini tidak mustahil ia akan meninggalkan kesan mendalam kepada para pendengar.
“Bagi saya, menulis lirik seperti menulis cerpen yang mana mesti ada tema, jalan cerita awal, pertengahan dan pengakhiran demi memastikan lirik/lagu itu akan bertahan lama dan kekal sebagai lagu malar segar.
“Bukan itu sahaja, malah lagu yang mempunyai lirik dan komposisi berkualiti boleh menjadi talian hayat kepada penulis lirik dan penyanyi pada masa depan menerusi bayaran royalti yang diterima setiap kali lagu mereka diputarkan kepada umum.
“Malah jika kita pergi ke majlis perkahwinan lagu-lagu malar segar yang menjadi pilihan dan ini akan memberi royalti kepada penciptanya bergantung pada kekerapan lagu itu dimainkan di radio, televisyen dan khalayak ramai,” kata Kak Chah.
Walaupun lagu “Teriring Doa” adalah yang pertama dirakamkan oleh Sudirman. Bagaimanapun lagu “Salam Terakhir” banyak meninggalkan kenangan buat Kak Chah.
Adalah difahamkan walaupun Kak Chah telah menulis lebih 1,000 lirik tetapi “Salam Terakhir” nyanyian Sudirman meninggalkan kesan mendalam sepanjang lima dekad penglibatannya sebagai penulis lirik.
“Saya masih ingat lagi perbualan kami setelah saya siap menulis lirik lagu Salam Terakhir apabila tiba-tiba Sudir kata dia tak akan hidup lama.
“Saya marah apabila mendengar kata-katanya itu dan takdir menentukan setelah lima tahun lagu itu dirakamkan Sudirman meninggal dunia dan tiba-tiba lagu itu popular kembali,” cerita Kak Chah dalam nada sebak.
Sudirman Haji Arshad meninggal dunia ketika berusia 37 tahun pada 22 Februari 1992.
Kak Chah juga merupakan seoramg penerbit filem terkenal dan utamkan mutu, pernah menerbitkan filem “ Soal Hati” (2000), “Soalnya Siapa” (2002) dan “Qaisy & Laila” (2005) terbitan syarikat miliknya, Serangkai Holdings dan “Hati Bukan Kristal” (1990) terbitan Director’s Team Sdn. Bhd. milik bersama Rahimah Rahim dan Habsah Hassan.
Kini pada usianya 75 tahun, Kak Chah masih aktif menulis lirik lagu untuk penyanyi terkenal tanah air antaranya Zaiton Sameon, Datuk Jamal Abdillah serta pendatang baru dalam dunia seni.
Disamping menulis lirik, Kak Chah juga masih meneruskan Restoran Puteri Pencala miliknya yang mula beroperasi sejak tahun 2006.
Restoran Puteri Pencala bukan sahaja terkenal dengan menu hidangan yang menepati selera anda malah setiap bulan puasa ia menjadi pilihan kaum keluarga berbuka bersama anak-anak kerana hidangannya yang melebihi 30 menu dengan harga yang mesra pelanggan.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Kak Chah sentiasa dirahmati oleh Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.