Oleh: Wawa Najwa
APABILA lagu “Kita Bikin Romantis” ciptaan sepenuhnya oleh Widi Puradiredja yang didendangkan oleh Maliq & D’Essentials, hati mesti berbunga-bunga.
Bagaimana kalau anda dapat mendengar lagu itu dinyanyikan secara langsung oleh Angga Puradiredja vokalis utama kumpulan tersebut di hadapan mata sendiri, pasti seronokkan!
Untuk mendengar dendangan Angga dan Indah (vokal) serta persembahan Ilman (keyboard dan piano), Jawa (bass), Lale (gitar) dan Widi (dram), jangan lupa untuk hadir ke konsert Maliq & D’Essentials yang digelar ‘Can Machines Fall In Loe? Album Tour’.
Konsert yang dibawa oleh Kharisma Music itu akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, pada 29 Disember 2024.
Band yang mula ditubuhkan pada 15 Mei 2002 ini buat pertama kalinya mengadakan konsert secara besar-besaran di Indonesia dan Malaysia dalam siri jelajah mempromosikan album terbaharu mereka berjudul “Can Machines Fall In Love?” (CMFIL?) yang dilancarkan pada Mei lalu.
Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, pihaknya telah terbang ke Jakarta bagi mendapatkan hak eksklusif untuk mengadakan konsert Maliq & D’Essentials di Kuala Lumpur buat peminatnya di Malaysia.
“Konsert ini bukan sekadar untuk mereka menyanyikan lagu-lagu viral seperti “Kita Bikin Romantis”, ‘Aduh’ atau “Begini Begitu”, bahkan lebih daripada itu.
“Sempena dengan konsert ini Maliq & D’Essentials dapat berinteraksi secara langsung dengan peminat-peminat mereka untuk meraikan pencapaian dalam berkarya dua dekad lamanya.
“Semoga pembeli tiket dapat merasai sendiri malam penuh romantis dengan alunan lagu-lagu mereka yang membuai perasaan serta mengembalikan nostalgia masa lalu,” kata Ahmad Jerfny.
Sementara itu, anggota Maliq & D’Essentials mengakui mereka teruja untuk mengadakan konsert di beberapa wilayah di Indonesia dan yang terakhir di Malaysia.
“Ini adalah siri jelajah pertama kami setelah lebih dari 20 tahun berkarya sejak ditubuhkan. Peminat di Malaysia boleh menjangkakan persembahan selama dua jam lebih dengan membawakan lebih daripada 20 buah lagu kesemuanya.
“Ada di antara lagu itu telah dibuat gubahan muzik istimewa dan dilengkapi dengan kemasan audio visual serta penataan cahaya yang menarik. Apa yang pasti, konsepnya berlainan daripada apa yang pernah kami tampilkan sebelum ini,” kata Widi.
Tambah Widi, walaupun lagu-lagu yang terkandung dalam album “CMFIL?” iaitu album keluaran kesembilan mereka akan dinyanyikan ketika konsert, lagu-lagu daripada album-album sebelumnya tidak akan dilupakan.
“Hal ini dilakukan agar konsert berjalan lancar, kerana belum tentu kesemua penonton tahu dan hafal akan lagu baharu Maliq & D’Essentials,” ujarnya yang dapat menyelami fikiran penonton itu.
Tiket-tiket untuk ke konsert ‘Can Machines Fall In Love? Album Tour’ yang berharga RM188 (Begitu – Berdiri), RM288 (Begini – Berdiri), RM338 (Kita Bikin Romantis – Duduk), RM258 (Aduh -Duduk) dan RM298 (Meet & Greet – Add On) boleh dibeli di laman web www.ticket2u.com/maliq&d’essentials
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.