'Terdiam' merupakan single sulung Mawar Rashid.

Oleh: Wawa Najwa

SELEPAS bergelar ibu tunggal sejak November 2023, pelakon Mawar Rashid, 29, tampak rancak mengemudi kerjaya seni yang diceburi sejak 2014.

Ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, Raden Seri Rosabella Cinta dan Raden Seri Roseanna Camilya yang memulakan kerjayanya selepas menjadi salah seorang peserta Dewi Remaja 2014/2015, kini mencuba bakat sebagai penyanyi pula.

Karya Amir Hasan bersama Madebyartin dan lirik oleh Amir itu seolah-olah menggambarkan tentang isi hati Mawar.

Bekas isteri kepada Raden Ahmad Faizal Yaakob itu muncul dengan sebuah karya berjudul “Terdiam”, lagu ini merupakan buah tangan sulungnya dalam arena muzik tempatan.

Lagu ini mencerminkan rasa introspeksi yang mendalam dan perjuangan dengan kekurangan peribadi serta kesakitan emosi. Liriknya menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempertanyakan sama ada ini hanya satu fasa kehidupan.

Mawar menggunakan perkhidmatan pelakon Janna Nick untuk mengarah video klip ‘Terdiam’.

Secara keseluruhannya, lagu ciptaan Amir Hasan bersama Madebyartin dan lirik oleh Amir itu seolah-olah menggambarkan tentang isi hati Mawar yang berusaha mencari ketenangan dan kegembiraan di tengah-tengah dilema peribadi.

Dalam karya ini juga, Mawar merenung kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran.

Pemenang Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 pada 2020 itu mengakui kekurangan dirinya dan berusaha untuk sembuh serta tersenyum lagi, walaupun dia merasa letih dan mungkin memerlukan lebih daripada sekadar rehat.

Anak-anak adalah sumber kekuatan Mawar.

“Saya sudah mengenali Amir dari zaman kolej lagi jadi saya tahu dia mampu berikan apa yang saya mahu selepas saya jelaskan segalanya. Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan Amir bersama-sama Madebyartin berjaya menghasilkan apa yang saya mahu,” jelas Mawar tentang apa yang tersirat di sebalik lagu ‘Terdiam’.

Untuk klip video ‘Terdiam’, Mawar memberi tanggungjawab tersebut kepada pelakon Janna Nick untuk bertindak sebagai pengarah.

“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya mahu.

Mawar tidak mudah goyah dengan pandangan orang lain.

“Saya juga ingin berkongsi, sewaktu penggambaran video muzik lagu ini, saya termuntah di hujung rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam video.

“Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” ujar Mawar tentang pengalamannya sewaktu penggambaran video muzik tersebut.

‘Terdiam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music sejak 6 September lalu.

Previous article‘A Night to Remember’ satukan Ella, Exists dan Kugiran Masdo
Next article‘Angeline Tanya Abang Jawab’ menyantuni golongan mualaf

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here