Oleh: Wawa Najwa
PEMINAT lagu-lagu Bollywood pasti tidak sabar untuk menonton konsert “A Lovely Night with Udit Narayan” di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 November 2024.
Siapa yang tak nak tengok Udit Narayan, penyanyi latar filem Hindi yang terkenal itu beraksi di depan mata mendendangkan lagu-lagu hit yang menghiasi beberapa filem terkenal.
Selain penonton yang tidak sabar menunggu tarikh tersebut, penyanyi Nadia Farshah yang sering menyanyikan lagu-lagu Hindi di platform media sosial atau pentas, adalah salah seorang daripadanya.
Nadia Fharshah Mohamad Jamlos, yang sebelum ini bergerak atas nama Dilhanariz bersama dua lagi anggota kini lebih selesa bergerak solo dengan nama DNadya.
Setiap persembahan DNadya pasti ditemani oleh suami, ARWanz yang bertindak sebagai pemain keyboard dan pasangan duetnya.
DNadya yang pernah menyertai program realiti Dil Hai Hindustani di Mumbai, melahirkan rasa syukur kerana berpeluang berada di pentas yang sama dengan penyanyi idolanya.
“Alhamdulillah, setelah beberapa saringan daripada pihak penganjur Filloz International, saya dan suami terpilih untuk muncul sebagai penyanyi pembuka tirai untuk konsert Udit Narayan di Singapura dan Pulau Pinang.
“Ternyata usaha pihak pengurusan kami, HMA Entertainment untuk menempatkan kami di pentas yang sama dengan penyanyi tersohor itu tidak sia-sia.
“Perbincangan pihak HMA Entertainment dengan wakil Udit Narayan membuahkan hasil. Syukur sangat kerana label telah menunaikan impian kami untuk membuat persembahan sepentas dengan legenda yang sangat disanjungi di India dan seluruh dunia iaitu Udit Narayan,” katanya teruja.
Tambah DNadya, beliau sangat terhutang budi kepada Ketua Pegawai Eksekutif HMA Entertaiment, Hilwah Brown dan Bobby Abdul Karim yang sudi memberikan peluang yang sangat berharga kepadanya dan suami.
“Sebelum ini saya dan suami bergerak bebas tapi bila bertemu dengan orang kuat HMA Entertainment ini, kami terbuka untuk bekerjasama dengan mereka.
“Kami bersetuju untuk bernaung di bawah syarikat ini adalah kerana visi dan misi syarikat ini yang ingin membawa kami lebih jauh dalam industri seni terutamanya ke tahap antarabangsa. Alhamdulillah.. Allah pertemukan kami dengan orang yang baik-baik… syukur sangat-sangat,” akuinya.
DNadya yang bertugas sebagai jururawat klinik kesihatan itu berkata, beliau suka dengan lagu-lagu dendangan Udit terutamanya dari filem “Mann” dan “Mohabbatein”.
“Sebenarnya, banyak lagu Udit yang menjadi kesukaan saya antaranya lagu “Khusyiaan Aur Gham” daripada filem “Mann” yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu. Lagi satu lagu “Humko Humise Chura Lo” yang hit disebabkan pelakon utamanya, Shah Rukh Khan yang mengguakan suara Udit.
“Eh! banyaklah lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Udit menjadi kesukaan saya. Untuk konsert itu nanti, saya dan ArWanz akan mendendangkan dua buah lagu untuk pembukaan di Star Theatre, Singapura (23 Oktober) dan Pulau Pinang,” ujarnya.
Setakat ini kata DNadya, beliau belum mendapat pengesahan jika pada konsert berkenaan, berpeluang untuk berduet dengan penyanyi tersohor itu.
“Setakat ini, pihak pengurusan belum lagi memberitahu pada saya tentang duet bersama Udit Narayan, tapi kalau dapat berduet bersamanya, alangkah bertuahnya saya.
“Momen itu pasti akan menjadi satu kenangan yang indah dalam hidup saya. Harap rezeki menyebelahi saya,” katanya sambil ketawa.
DNadya yang dikatakan mempunyai suara mirip Lata Mageshkar itu bakal tampil dengan lagu Hindi dan lagu Hindi yang didendangkan dalam bahasa Melayu.
“Alhamdulillah, saya dan ArWanz sedang membuat beberapa buah lagu Hindi dalam bahasa Hindi dan beberapa buah lagu Hindi dalam bahasa Melayu.
“Selain itu saya juga ada dapat undangan daripada seorang komposer dari India yang menawarkan lagu baharu untuk berduet dengan seorang lagi legenda dari India iaitu Kumar Sanu, tapi masih dalam perancangan. Doakan semoga berjalan lancar,” katanya yang banyak mendapat undangan di seluruh Malaysia dan Singapura.
Selain itu DNadya yang aktif di TikTok juga melahirkan rasa gembira kerana setiap kali live, ada saya pengikut baharu. Setiap kali bersiaran langsung di platform media sosial, selain lagu Hindi, DNadya juga akan menyanyikan lagu-lagu klasik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.