Wanita yang gigih berusaha tanpa mengenal erti penat.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Didie Alias/Koleksi Syed Wafa

Siapa sangka pelawak, pelakon, pengacara dan penyanyi wanita Didie Alias yang terpaksa merahsiakan segala aktiviti seni daripada bapanya akhirnya berjaya menempa nama dalam persada seni sehingga ke hari ini.

Dalam meniti usia 50-an, Didie Alias begitu berani tampil dengan pelbagai gaya fesyen rambut dan fesyen baju. Keberaniannya ini membuatkan ramai yang kagum dengan Didie yang juga cukup berani bersuara bila mempertahankan sesuatu kebenaran.

Didie Alias yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan mummy berkata, diam tak diam rupanya dah 40 tahun dia berada dalam industri ini.

Didie Alias finalis Dewi Remaja 1990/1991 menjadi penghias wajah majalah Remaja.

“Alhamdulillah, akhirnya bapa mummy akur dengan kehendak anaknya. Mummy faham kalau boleh seorang bapa itu mahu anaknya berjaya dalam pelajaran. Tapi apa boleh buat, dah bidang ini yang mummy minati. Mummy pun tak sangka, diam tak diam rupanya dah 40 tahun mummy mengabadikan diri dalam bidang seni ini, bertemu jodoh dan macam-macam lagi.

“Bidang ini jugalah yang mematangkan mummy dan menjadi punca untuk membesarkan anak-anak hingga berjaya seperti sekarang ini. Apa yang mummy impikan sekarang hanyalah melihat anak-anak berjaya dalam hidup masing-masing dan bahagia dengan pasangan mereka.

Berlakon dalam filem “Kanta Serigala” 1991.

“Harapan mummy agar terus menyerlah dalam bidang yang mummy ceburi ini. Inilah dunia mummy. Jadi harap semuanya membantu dan memberi sokongan kepada mummy.”

Menyentuh mengenai bidang seni, tambah Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd. @ Ali, dia sedih dengan keadaan industri sekarang ini.

“Mummy masih aktif berlakon dan syukur alhamdulillah, mummy masih dipanggil berlakon. Cuma kadang tu mummy kecewa dengan bayaran oleh sesetengah produksi. Bayaran bagi pelakon lama macam mummy ni sekarang dah macam tak berbaloi. Mereka ibarat tak menghargai bakat kami berbanding pendatang baru. Itu sebabnya mummy lebih senang menjadi pengacara majlis, hos program atau membuat kerja lain selain berlakon.

Antara babak Didie Alias dalam filem “Kanta Serigala” 1991.

“Kerja pun senang dan bayaran pun lumayan. Buat apa nak pergi berlakon kalau buat kita rasa sakit hati saja. Lebih baik mummy buat kerja lain. Kita tak stress bila memikir dan juga happy dengan apa yang mummy buat,”

Didie Alias, 52, anak kelahiran Durian Tunggal, Melaka ini dicungkil bakatnya menerusi pencarian Dewi Remaja edisi ketiga pada tahun 1990/1991. Selepas tamat pengajian, Didie turut mengikuti kursus jangka bidang perhubungan awam di Kolej Kasturi, Kuala Lumpur.

Didie Alias bersama trofi yang dimenanginya bagi kategori Pelawak Wanita Paling Popular Anugerah Lawak Warna

Penglibatan Didie dalam dunia lakonan bermula selepas beliau menempa nama dalam bidang modeling dan komersial selepas memenangi tempat kedua Dewi Remaja anjuran Majalah Remaja pada tahun 1990. Wajah Didie yang mirip Pan-Asian nyata berjaya menarik perhatian hingga dia ditawarkan untuk berlakon filem Boss diikuti Kanta Serigala.

Sejak itu Didie mula meniti populariti sebagai seorang artis yang cenderung berlakon filem-filem aksi. Ketika popularitinya mula meningkat, Didie mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pelakon Ridzuan Hashim pada tahun 1992 dan bercerai pada 2002.

Didie Alias (baju keemasan) bekas finalis Dewi Remaja 1990 menyampaikan hadiah kepada pemenang ketiga Dewi Remaja 2022.

Pasangan ini dikurniakan lima orang cahayamata iaitu Nur Dhaniyah (31), Muhammad Dhanial (30), Nurdinie (28), Nur Dayini Ahza (26) dan Nur Diana (25) dan empat orang cucu. Mungkin sudah jodoh, perkahwinan keduanya dengan bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail pada 8 Mei 2009. Melalui perkahwinan ini Didie dikurniakan seorang cahayamata lelaki.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia lakonan, Didie pernah memenangi tempat ketiga program Sehati Berdansa Musim ke 3 bersama suaminya. Didie juga pernah menerima anugerah Artis Komedi Wanita Popular (ABPBH)- Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, Artis Komedi Wanita Popular (ABPBH) – Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012, Artis Lawak Wanita Paling Popular – Anugerah Lawak Warna 2013 dan Artis Komedi Wanita Popular (ABPBH) – Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014.

Bukan itu saja, kehebatannya beraksi spontan dan senang didekati membuatkan Didie juga pernah menerima beberapa pencalonan hingga ke peringkat akhir bagi kategori Aktres Pembantu Terbaik- Anugerah Skrin 1995 menerusi drama Masih Ada Harapan dan Anugerah Skrin 1997 menerusi drama MoU dan Aktres Komedi Terbaik- Anugerah Seri Angkasa 2006 menerusi drama Labuna Labuni’.

Didie artis Malaysia yang cukup berani tampil dengan pelbagai fesyen yang unik.

Didie juga turut dicalonkan bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular (ABPBH) – Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, 2010 dan 2013 (Finalis) dan Artis Lawak Wanita Paling Popular – Anugerah Lawak Warna 2014 dan 2015 (Finalis).

Bermula dengan kemunculannya dalam pertandingan Dewi Remaja, bintang Didie semakin menyinar bila dia di panggil untuk membintangi beberapa buah filem dimana filem pertamanya Boss (1991) diikuti filem Kanta Serigala. Pesona Cinta, Ghazal Untuk Rabiah, Aku Bukan Tomboy, Oh Mak Kau!, Bulan dan Pria Terhebat, Mat Bond Malaya dan Kampung Latah Kena Kuarantin.

Manakala lebih 50 buah drama yang telah dijayakannya dimana kebanyakan dramanya begitu mendapat tempat dihati peminat. Antara drama yang pernah dibintanginya ialah Sempadan Kasih, Masih Ada Harapan ,MoU, Labuna Labuni, Aku Anak Artis, Diva-diva Pencen, Geng Raya Zizan ,Namaku Bukan Setsuko, Dalil Cinta, Zamara Tamara, Pak Nil Ibu Kirim Salam, Kum Kum, Pontianak Kampung Batu dan Hantu Susu.

Didie bersama suami tercinta Norisham Ismail.

Biar Mimpi Sampai Ke Bintang Balasan Mak Tiri,Bibik Aku Nak Kahwin,Hantu Telur, Pergilah Air Mata Ramadan, Mak Cik Acapella, Tanah Kubur, Sumpahan Peti Ais, Kelas Kau Maria.

Didie Sibuk dengan syarikat pengurusan acara

Dalam kesibukannya berlakon, Didie juga sering menerima tawaran untuk menjadi pengacara majlis. Disebabkan tawaran yang datang memberi idea kepada Didie dan suaminya untuk menubuhkan membuka syarikat Didie’s Entertainment & Management pada 2003.

Sebagai pengendali dan pengacara majlis, Didie banyak menganjurkan karnival bagi menyediakan platform untuk rakan-rakan artis dan usahawan menjana pendapatan dan secara tidak langsung untuk mendekati peminat mereka.

Walaupun sudah bercerai namun keluarga bahagia Didie Alias dan arwah Ridzuan tetap utuh demi anak- anak.

“Kebanyakan booth yang kami sewakan pada harga mampu milik bagi membantu peniaga-peniaga baharu dan lama yang ingin menyertai karnival yang kami anjurkan. Mummy bertuah kerana ramai rakan-rakan artis yang turut memberi sokongan dengan mempromosikan setiap karnival anjuran mummy dan turut menyertainya juga

“Dah lapan tahun mummy buat Karnival Stylofest ini yang kebanyakannya mummy fokus di Sabah dan Sarawak. Dua bulan sekali ada karnival ini dan sekarang ini mummy dan suami asik ulang alik ke sana.

“Dalam setahun ada tiga karnival Stylofest di Sabah dan tiga karnival Stylofest di Sarawak dimana 250 usahawan terlibat. Pada 25 hingga 27hb Oktober ini kami akan ke Miri pula dan 27 Disember hingga 1 Januari 2025 di Kota Kinabalu pula,’’ katanya yang baru selesai menganjurkan Karnival Stylofest di Tawau.

Didie bersama suami dan anak-anaknya di hari perkahwinan anak lelakinya, Muhammad Dhanial.

Didie pernah menganjurkan karnival Stylofest pada November 2022 di Kota Kinabalu, Sabah dan Stylofest Mega Raya 2023 selama 73 jam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Antara barisan selebriti yang pernah menyertai karnival anjurannya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Shaheizy Sam, Adira, Nad Zainal, Ayda Jebat, Zul Huzaimy, Nubhan Ahmad, Datuk Fizz Fairuz dan Fikry Ibrahim.

Previous articleAC Mizal berjaya sebagai anak seni dan usahawan
Next articleItulah Kemerdekaan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here