Oleh: Wawa Najwa
LAKONANNYA dalam drama The Doctors (2016), Weightlifting Fairy Kim Bok-joo (2016), Dr. Romantic 2 (2020), Shooting Stars (2022) dan Dr. Romantic (musim 2–3, 2020–2023) tidak dapat dinafikan memang hebat.
Itulah kelebihan dan bakat semula jadi yang dimiliki oleh pelakon dan penyanyi Lee Sung Kyung, 34, lepasan Dongduk Women’s University itu.
Dikenali sebagai pelakon berbakat yang serba boleh dalam industri hiburan Korea Selatan, Lee telah memenangi hati ramai peminat dengan personalitinya yang unik dan juga bakat seni yang tinggi.
Dari lakonan yang mengagumkan, nyanyian yang memikat hinggalah ke penampilan bergaya dalam persembahan nyanyiannya, Lee sentiasa mempamerkan kelebihan luar biasa disertai dedikasi yang tinggi.
Selain bakatnya dalam bidang lakonan dan muzik, Lee Sung Kyung juga mempunyai kemahiran pengacaraannya yang luar biasa. Beliau memperoleh pengalaman yang meluas dalam mengacara pelbagai program, menambah aura dan lenggok gayanya yang ramah serta bijak berseloroh.
Daya tarikan ini menarik perhatian iQIYI International untuk memberinya tanggungjawab sebagai pengacara untuk menyerlahkan program terbitan mereka iaitu Starlight Boys, sebuah rancangan variasi inspirasi remaja.
Starlight Boys bakal memaparkan kisah 100 peserta yang akan mengambil bahagian untuk debut dalam kumpulan lelaki yang dianggotai oleh sembilan ahli.
Sejak pengambilan peserta yang bermula pada bulan April lalu, Starlight Boys telah menarik minat bakat muda yang bercita-cita tinggi dari seluruh dunia dengan visi pentasnya.
Starlight Boys bertujuan untuk mencari dan membimbing generasi idola pelapis, memberikan para peserta peluang berharga untuk mempersembahkan bakat dan sekali gus mencapai impian mereka.
Penghasilan berkualiti tinggi serta kepelbagaian pengisian dalam program ini telah mendapat pujian yang tinggi daripada pelbagai pihak. Malah, penglibatan Lee Sung Kyung dalam Starlight Boys menyuntik tenaga baharu dan merancakkan lagi rancangan ini.
Selain kerjaya lakonannya, Lee Sung Kyoung juga cemerlang dalam bidang muzik. Mula belajar piano seawal usia tujuh tahun, dia mempunyai pengetahuan mendalam dan pandangan unik yang tersendiri terhadap muzik.
Beliau telah muncul dalam pelbagai program muzik dan mengeluarkan beberapa lagu yang memikat serta mempamerkan kebolehannya dalam nyanyian. Suara yang lunak, digabungkan dengan aura pentasnya yang memukau, telah memenangi hati ramai peminat dalam program muzik popular seperti ‘King of Mask Singer’.
Selain itu, kolaborasinya dengan artis terkenal seperti Loco, Eddy Kim, Lee Chan-hyuk dari AKMU, Seulong dari 2AM, dan lain-lain, menonjolkan dan menaikkan lagi namanya dalam bidang muzik.
Lebih mengejutkan lagi, artis jelita ini juga berbakat dalam tarian. Ini dipamerkan melalui persembahan di saluran YouTubenya dan juga semasa sesi bertemu peminat. Untuk menzahirkan rasa terima kasih terhadap sokongan peminatnya, dia dengan gigih belajar menari lagu-lagu hit Blackpink seperti “Ddu-Du Ddu-Du” dan “Solo” oleh Jennie, yang membuatkan para peminatnya terpegun.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.