Nadeera semakin cantik dan yakin dengan penampilannya

Oleh Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Nadeera Zaini Entertainment

Bukan mudah untuk penyanyi Nadeera Zaini menempatkan diri dalam bidang seni kerana terlalu banyak cabaran dan ranjau yang perlu dilalui sebelum berjaya. Bertahun-tahun Nadeera cuba membina nama, namun hanya tahun lalu bintangnya bersinar selepas bergelar juara program realiti, Big Stage musim kelima.

Nadeera yang memulakan karier seninya sejak tahun 2010 pernah mempunyai sebuah single Hujan bersama Man Kidal. Perjalanan seni Nadeera memang ada naik dan turunnya. Tapi anak kelahiran Mersing, Johor ini tidak pernah mengenal erti jemu, mengalah dan sebaliknya terus berjuang serta berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

Nadeera Zaini dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian Big Stage musim kelima.

Nadeera atau nama sebenarnya, Farah Nadeera Zaini berkata,“Apa pun rintangan saya tetap memilih karier nyanyian sebagai pekerjaan. Walaupun menang beberapa realiti tv serta bergelar juara mungkin belum rezeki saya lagi waktu itu jadi penyanyi yang dikenali. Namun saya tak mahu mengalah atau kecewa, sebaliknya saya memilih untuk terus menyanyi di lounge hotel untuk menyara diri keluarga serta memperbaiki lagi vokal nyanyian agar lebih mantap lagi.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan hasil kerja keras selama ini berbaloi dan saya jadi juara Big Stage. Selepas menang, kini karier nyanyian saya semakin bertambah baik dan saya juga semakin dikenali ramai. Undangan ‘show’ pun sudah banyak berbanding sebelum ini. Sekarang, saya bersyukur, setiap bulan ada saja tawaran mengadakan persembahan. Harapan saya untuk mementaskan bakat saya ke pentas yang lebih besar dan berprestij serta kekal sebagai penyanyi terhebat suatu hari nanti.”

Nadeera bakal muncul dengan album mini tidak lama lagi

Sebenarnya Nadeera, 31, bukan calang-calang orangnya. Selain menyanyikan lagu yang bergenre pop, Nadeera juga berkebolehan menyanyikan lagu-lagu berirama keroncong dan irama asli dengan baiknya.

Sebelum bergelar Juara Big Stage, Nadeera pernah memasuki pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa TV3 dan layak hingga ke peringkat semi final pada usianya 19 tahun. Manakala pada 2014, Nadeera menyertai Mentor Legend dan layak hingga ke peringkat semi final juga dan begitu juga dengan All Together Now ASTRO.

Nadeera yang semakin menyerlah bakatnya

Kekuatan vokalnya yang semakin mantap, akhirnya Nadeera pernah menjuarai pertandingan Lagu Cinta Kita dan Digi Suara Next Level, Suara Next Level 2.0, Pertandingan realiti Lagu Cinta Kita 2, Pertandingan Keroncong Peringkat Negeri Johor dan Bintang Idola.

Kini Nadeera sedang sibuk mempromosikan single terbarunya, Bukan Lagi Kita hasil ciptaan komposer hebat, Hael Husaini dan Iqie Huge.

Nadeera menambah, kini bakatnya semakin dihargai dan ada juga tawaran berlakon yang diterimanya.

Nadeera yang menjadikan Datuk Sri Siti Nurhaliza sebagai idolanya.

“Ada juga tawaran berlakon yang saya terima tapi rasanya sekarang bukan waktunya saya nak terjun jadi pelakon lagi. Sekarang saya ingin fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu. Mungkin kalau dah kukuh dalam industri nyanyian, apa salahnya saya jadi pelakon pula. Berlakon pun bidang seni juga.

“Karier nyanyian ini merupakan impian ibu bapa dan saya yang cukup meminati bidang seni. Saya yakin dengan bakat nyanyian saya. Itu juga salah satu sebab mengapa saya ingin teruskan nasib dalam bidang nyanyian.

“Kalau boleh saya nak capai kejayaan seperti idola saya Tokti (Datuk Siti Nurhaliza). Saya memang kagum dengan bakat Tokti kerana beliau menyanyi dengan penuh perasaan dalam setiap lagu-lagu nyanyiannya. Tambahan pula saya membesar dengan mendengar lagu-lagu beliau. Saya juga nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Tokti kerana selalu memberikan kata-kata positif untuk saya terus melangkah dan berjuang dalam dunia seni,” kata Nadeera yang memulakan karier nyanyiannya sejak berusia 12 tahun.

Nadeera seorang bintang yang kental menghadapi cabaran.

Menurut Nadeera yang sebelum ini pernah mencipta lagu untuk penyanyi Khai Bahar dan Yasmin Azi, jika tiada halangan dia bakal muncul dengan album mininya tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya tak yakin untuk mencipta lagu buat diri sendiri. Masuk tahun ini, saya beranikan diri dan bersyukur kawan sangat membantu dalam proses menyiapkan lagu-lagu tersebut.

“Album mini ini nanti mengandungi lima hingga enam lagu lagu ciptaan saya bersama dua orang rakan. Dalam projek ini, saya bukan utamakan vokal, sebaliknya, memberi tumpuan kepada melodi yang enak untuk didengari. Lagu yang kami hasilkan cukup istimewa kerana menceritakan perjalanan hidup saya sepanjang mengejar cita-cita menjadi penyanyi yang berjaya.”

Nadeera artis berbakat besar.

Nadeera bertuah kerana kini karier seninya dibantu pengurusnya merangkap sahabat baiknya, Acap Salim. Acap merupakan komposer yang pernah muncul dengan lagu popularnya, Raya Raya Raya yang dinyanyikan kumpulan Dolla.

Sebelum mencapai kejayaan seperti hari ini Nadeera pernah menyanyi di Hotel Pullman Putrajaya,The Bee Publika, Geographer Cafe Kuala Lumpur, Cyberview Resorts & Spa Hotel dan Resort World Awana Genting Highland.

Impian perkahwinan Nadeera

Seperti wanita lain, Nadeera juga mempunyai impian sendiri untuk berumahtangga serta mempunyai keluarga. Namun dalam waktu sedang meniti puncak kejayaannya sebagai penyanyi, Nadeera tidak mahu terlalu memikirkannya.

Bersama bapa saudara, Emel Ismai yang juga seorang jurusolek artis, banyak memberi semangat kepada Nadeera untuk terus berjaya.

“Buat masa ini saya memang tak ada boyfriend lagi. Karier saya baru nak bermula dan saya nak bersungguh-sungguh dalam bidang ini untuk tidak menghampakan keluarga terutamanya bapa saya, (Zaini Muda) yang banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk kejayaan saya seperti hari ini.

“Buat masa ini, soal jodoh pun saya belum fikirkan lagi. Saya pun tak ada target apa yang saya perlu ada sebelum berkahwin. Saya serahkan segalanya berkaitan soal jodoh ini di tangan Allah.”

Ditanya mengenai impian perkahwinannya suatu hari nanti, ujar Nadeera lagi,“Buat masa ini saya memang tak pernah terfikirkannya. Dalam kepala saya, hanya fikir nak berjaya sebagai penyanyi sahaja. Kalau ada jodoh pun, mungkin saya pilih untuk bersederhana sahaja. Harapan saya semoga perkahwinan saya dirahmati Allah dan mendapat restu kedua belah pihak ibu bapa.”

Previous articleRahmad Mega sentiasa positif dalam melayari kerjaya
Next articleErti Gagal!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here