Oleh: Wawa Najwa
PENYANYI Hael Husaini baru saja mempersembahkan single ketiganya, “Kejora” yang dipetik dari album “Antonim Part 1”. Lagu “Kejora” adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi.
Lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan dalam cinta, dengan melodi yang merdu dan lirik yang mendalam.
Dalam video muzik ini, Hael bergandingan dengan Qasrina Karim, yang juga merupakan pasangannya dalam drama popular “My Famous Ex-Boyfriend”.
Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dan penggambaran dilakukan di sekitar Shah Alam dalam masa sehari. Proses penggambaran yang intensif ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan penuh emosi di samping menggambarkan jalan cerita yang menyentuh hati.
Apa yang membezakan video muzik “Kejora” adalah konsep dan arahan kreatif yang memaparkan Qasrina dalam sisi berbeza. Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahirannya menari yang jarang dilihat oleh peminat.
Koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina dalam tarian, sekali gus menambahkan dimensi baharu kepada lakonannya.
Hael pula memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina menggambarkan watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya.
Kisah cinta yang digambarkan dalam video muzik ini adalah refleksi kepada lirik dan melodi lagu “Kejora”, yang menceritakan tentang kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.
Hael yang terkenal dengan kebolehan vokalnya yang luar biasa, sekali lagi membuktikan kepakarannya dalam menghasilkan karya muzik yang berkualiti tinggi.
Malah album “Antonim Part 1” yang dilancarkan Januari lalu itu mendapat sambutan yang luar biasa, dengan lebih daripada tiga juta penstriman di Spotify setakat ini. Video muzik eksklusif ini juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.
Setiap lagu dalam album ini mencerminkan kepelbagaian emosi dan pengalaman hidup, menjadikannya sebuah karya seni yang lengkap dan memuaskan.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.