Dari kiri, Man Khan, Eddie Hamid dan Aris Kapilla bersatu dalam lagu "Poligami".

Oleh: Wawa Najwa

PERKATAAN poligami sangat sensitif kepada kaum wanita tapi bagi golongan lelaki, ia umpama bonus. Memang tak salah untuk berpoligami namun tidak ramai kaum lelaki yang berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Bagi komposer dan penyanyi Eddie Hamid yang bertindak sebagai penyanyi dan penerbit lagu “Poligami”, beliau memilih judul itu kerana ada mesej yang mahu diketengahkan dalam lagu yang berentak ‘pop dance’ itu. Lirik lagu tersebut pula dihasilkan oleh Man Khan, Mama Anna, Te Ha dan Jaju.

“Ada mesej yang ingin disampaiikan dan jangan pula hanya kerana judulnya, “Poligami” sudah dipangkah lebih awal. Apapun, saya mohon maaf kepada sesiapa yang berasa kurang selesa dengan lagu ini nanti.

“Saya tahu perkataan poligami cukup sensitif di kalangan sebilangan besar wanita. Inikan pula lagunya yang bercerita mengenai berkahwin lebih daripada satu. Timbul idea untuk saya hasilkan lagu “Poligami” dalam dialek Kelantan ini berdasarkan situasi semasa yang ada banyak kes ‘penyondol’ (perampas).

“Selak saja akhbar atau di media sosial, ada saja kisah poligami dan wanita ‘penyondol’ di sana sini. Lagu saya pula mengisahkan tentang poligami. Jadi, tak tahulah macam mana penerimaan pendengar wanita nanti.

Lagu “Poligami” bercerita tentang tanggungjawab lelaki bila berpoligami.

“Bukan saya nak menggalakkan poligami tapi saya ingin tekankan bahawa untuk berpoligami, seorang lelaki itu perlu memikul tanggungjawab yang berat dan jangan ingat nak senangkan hati sendiri saja,” katanya menjelaskan maksud di sebalik pembikinan lagu tersebut.

Menariknya lagu itu menampilkan Eddie Hamid berduet bersama dengan Man Khan, Aris Kapilla dan penampilan istimewa pelakon Kamarool Haji Yusoff yang sinonim dengan watak Cik Man MC dari filem ‘Rock Oo’.

“Saya sudah biasa bekerjasama dengan Man Khan dan Aris Kapilla kerana sudah beberapa lagu kami berduet bersama tapi dengan Kamarool ini kali pertama.

“Kehadiran Kamarool ini adalah untuk tampak kelainan kerana dia menyanyi untuk bahagian rap. Saya tak ada masalah dengan pembabitan dia. Walaupun pertama kali terlibat dalam rakaman lagu, Kamarool amat profesional dan mudah bekerjasama dengan dia,” jelas Eddie mengenai pemilihan Kamarool dalam lagu “Poligami” yang menjalani proses rakaman di Nar Studio dan MR Sound Lab.

Eddie berkata, beliau memilih untuk menghasilkan lagu “Poligami” dalam dialek Kelantan kerana melihat kepada sambutan yang diberikan oleh orang ramai.

“Saya melihat lagu dialek Kelantan semakin diterima ramai, malah dengan kewujudan pelbagai media sosial lagu sedemikian semakin popular walaupun pendengarnya bukanlah orang Kelantan sendiri.

“Insya-Allah, lagu ini mungkin akan mendapat sambutan seperti lagu “Cinta Setandan Pisang” (dialek Kelantan) dendangan Eda Ezrin dan Den Manjo yang cukup popular kini. Apa yang penting, mesej yang tersirat dalam lagu tersebut,” katanya.

Sementara itu, Aris Kapilla atau nama penuhnya, Abdul Arif Ariffin, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, beliau tidak akan menolak jika Eddie mempelawanya untuk terbabit dalam sesuatu projek.

“Siapa yang tak kenal komposer Eddie Hamid yang tersohor di Malaysia. Bukan saya saja orang lain pun kalau dengar Eddie Hamid nak buat lagu, memang tak akan menolak sebab karya dan lagunya memang mendayu dan mendapat sambutan ramai.

“Lagu “Poligami” bukanlah lagu pertama saya berduet dengan Eddie dan Man. Saya pertama kali berduet dengan mereka menerusi lagu “Kelik La Wei” ciptaan Eddie. Lepas tu, kami tampil dengan lagu “Jange Kelik Laa Weii” dan lagu itu mendapat sambutan baik semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu.

“Antara kami bertiga ini sudah ada keserasian. Saya selesa bekerjasama dengan mereka berdua. Bila kita nak rakam lagu, kita akan duduk bersama dan bagi idea. Bila tiga kepala ini, banyak sikit idea. Sama-sama buat lirik dan memang kita selesa bekerjasama,” jelas Aris kenapa beliau tidak menolak pelawaan Eddie.

‘Poligami” bukanlah lagu pertama yang dinyanyikan bersama oleh tiga penyanyi ini.

Bercakap tentang lagu “Poligami” yang bergenre ‘pop dance’, Aris awal-awal mengaku yang lagu tersebut tidak ada kene mengena dengan dirinya.

Kata Aris, apa yang mahu ditonjolkan dalam lagu tersebut adalah pesanan untuk lelaki yang mahu menambah isteri. Jika ada yang terasa dengan lagu ini, anggaplah ia sekadar hiburan semata-mata.

“Lagu ini dirakam berasingan. Kami tidak masuk studio serentak kerana kekangan masa. Selepas Eddie buat muzik di NAR Studio, Kuala Lumpu, bersama Belle Fatah, dia hantar rakaman ini kepada saya dan Man yang berada di Kelantan.

“Saya dan Man buat rakaman vokal di MR Sound Lab, Kota Bharu. Apabila siap proses masuk vokal, rakaman tu dihantar balik ke Kuala Lumpur untuk proses mixing dan sebagainya.

“Saya suka nyanyi lagu berunsur cerita rakyat. Biasanya kita dengar lagu sedih dan cinta tapi “Poligami” ini lagu berunsur rakyat. Saya sebagi anak seni Kelantan sangat berbangga kerana lagu dialek Kelantan seperti lagu “Cinta Setandan Pisang” sudah sohor di Malaysia dan luar negara,” kata Aris yang bekerja di syarikat pemaju perumahan, Marshah Holding Sdn. Bhd.

Bagi Man Khan atau Wan Nukman Wan Hamdan, yang turut terlibat dalam penghasilan lirik, idea untuk menulis bait-bait lirik itu diperolehi selepas berbincang bersama.

“Kami berbincang untuk tentukan penceritaan dalam lagu ini. Bila sudah sepakat, barulah diolah menjadi lirik. Untuk siapkan lirik ini saja kami mengambil masa selama seminggu kerana ada perbezaan pendapat.

“Biarpun berbeza pendapat tapi biasanya lirik akan berubah semasa kita buat rakaman yang mana idea akan datang secara spontan. Mesej lagu ini sebenarnya ialah mengalakkan golongan lelaki yang mampu untuk berpoligami. Sebenarnya, lagu “Poligami” ini sangat dekat dengan kisah masyarakat tempatan,” katanya berterus terang.

Meskipun menyanyikan lagu tersebut dalam dialek Kelantan, Man yang sudah 23 tahun terbabit menyanyikan lagu dialek Kelantan berkata, beliau bangga menyanyikan lagu dalam dialek tersebut.

“Saya tak kisah menyanyikan lagu dialek Kelantan kerana mahu loghat ini terus berkembang. Saya tidak ada masalah berduet dengan Aris kerana kami sudah biasa dan rakaman dibuat di studio saya sendiri. Rakaman kami buat serentak supaya nyanyian lebih serasii dengan karakter vokal masing-masing.

“Saya harap lagu ini trending di mana-mana platform dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Kalau di Kelantan saya tak risau kerana kita sudah mempunyai pengikut tersendiri. Saya lebih suka menyanyikan lagu loghat Kelantan kerana sesuai dengan nama saya yang tercipta dengan lagu loghat Kelantan.

“Sebenarnya, sebelum ini saya pernah juga menyanyikan lagu bahasa Melayu di dalam album saya dulu tapi fokus saya ialah lagu dialek Kelantan kerana lagu Kelantan sudah boleh diterima oleh masyarakat kita di seluruh Malaysia dansya mahu mengangkat industri lagu loghat Kelantan,” katanya.

Lagu “Poligami” terbitan Kijang Music boleh mula distrim di semua pelantar striming muzik digital pada 14 Jun 2024.Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Kijang Music di pautan ini https://youtu.be/69XJ4aACvUQ?si=wsusoC7Jz8zT3ojm

Previous articleFenomena Childfree dalam pasangan muda (Bahagian 1)
Next articleKLP48 penyambung legasi AKB48 di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here