Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA
ZALEHA Hamid dan lagu dangdut memang tidak boleh dipisahkan. Malah lagu-lagu irama ini yang mula dinyanyikan sejak 1980-an telah meletakkan beliau sebagai Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut Singapura paling berjaya.
Bermula dengan lagu “Dangdut Raggae,” para peminat menganggap gelaran ‘Ratu Dangdut’ yang diberikan kepada penyanyi dan penghibur yang terkenal di Malaysia dan Singapura, Zaleha Hamid amat sukar dirampas!
Bersama lagu-lagu dangdut popularnya seperti “Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Segan Segan, Pria Idaman, Jangan Kau Tangiskan, Kekasih Di Tangan Orang, Keluar Masuk, Jagung Bakar, Sakit Tapi Asyik, Takut Tapi Mengasyikan, Zaleha Hamid terus kekal ‘ditahta’ miliknya sebagai ‘Ratu Dangdut!’
Bagaimanapun bersama album “Dankdut Bang” yang dilancarkan pada tahun 1993 dan mengabadikan lagu-lagu yang mempunyai lirik dua makna (lucah) iaitu “Keluar Masuk dan Jagung Bakar” berduet dengan Salih Yaccob bukan sahaja telah menimbulkan kontroversi malah ia dikatakan semakin mengukuhkan populariti Zaleha Hamid si Ratu Dangdut!
Namun kontroversi lagu dengan lirik ‘dua makna’ tidak terhenti setakat itu apabila pihak penerbit album menyedari ia mampu memberi publisiti yang meluas kepada Zaleha Hamid disamping menaikkan penjualan album.
Dengan itu pada tahun 1995, Zaleha Hamid muncul dengan album “Dankdut Bang Vol. 2’ yang mengabadikan lagu “Sakit Tapi Asyik” (berduet dengan Salih Yaacob), “Takut Tapi Mengasyikkan” dan “Sana Enak Sini Enak.”
Meskipun kontroversi dengan lagu dangdut lirik dua makna apa yang nyata ia mengukuhkan kedudukan Zaleha Hamid sebagai Ratu Dangdut!
Mungkin ramai yang tertanya-tanya dari mana gelaran ‘Ratu Dangdut’ itu dimiliki penyanyi hitam manis perintis awal kepada irama muzik dangdut di Malaysia ini.
Orang yang bertanggungjawab memberi gelaran itu adalah penulis lirik terkenal Allahyarham Haron Abdul Majid!
Walaupun kini terdapat penyanyi dangdut baru namun tidak ada seorang pun yang mampu merampas gelaran ‘Ratu Dangdut’ milik Zaleha Hamid!
Begitulah hebatnya Zaleha Hamid yang dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957 dalam sebuah keluarga berjiwa seni. Ibu beliau merupakan seorang pelakon bangsawan sementara ayahnya seorang pemain biola yang terkenal.
Zaleha Hamid berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz dan mempunyai dua orang anak iaitu Ungku Chik dan Ungku Nor Mohammad Danial. Beliau dan keluarganya menetap di Johor Bahru.
Zaleha Hamid mula menceburi bidang nyanyian pada usia muda sebagai penyanyi utama kugiran Orkes Zindegi pada era 1960-an sehingga 1970-an.
Beliau mencatat banyak rekod bersama Orkes Zindegi dan menjadikan kugiran ini sebagai salah satu kugiran paling popular ketika itu.
Pada tahun 1980-an, Zaleha Hamid mula bergerak sebagai penyanyi solo dengan menyanyikan lagu-lagu berirama pop tradisional dan dangdut yang mana telah menyerlahkan kemampuan vokalnya dan berjaya mencipta nama sebagai penyanyi dangdut yang mana akhirnya digelar Ratu Dangdut!
Sepanjang bergelar penyanyi dan Ratu Dangdut, Zaleha Hamid memiliki lebih daripada lebih 20 album antaranya “Curahan Rasa”(1982), “Kenangan”(1983), “Asmara”(1986), “Impian Sebuah Cinta”(1987), “Ombak Derita”(1989), “Dankdut Bang”(1993), “Dankdut Bang Vol.2 (1995).
Album kompilasi antaranya “Melayu Deli”(1982), “Melayu Deli ll”(1983), “Deli Aidilfitri”(1984), “16 Lagu-Lagu Terbaik Zaleha Hamid”(1986),”Memori Hit: Zaleha Hamid”(2008), “Koleksi Memori Pilihan Melayu Deli”(2009), “Siri Bintang Pujaan: Zaleha Hamid”(2014).
Zaleha Hamid dengan iringan Orkes Zindegi mempunyai album 12 EP (mengandungi empat lagu) antaranya “Pantun Seloka: Bersama Jasni, “Pujaan Hati, dan solo “Pandangan Menggoda, Perasaan Rindu, Aku Dan Cinta, Gadis Jelita, Usah Ditanya Usah Dicari.”
Pada tahun 1992, Zaleha Hamid berjaya ke Separuh Akhir Muzik Muzik 8 dengan lagu “Teruna Idaman.”
Pada tahun 2006, beliau menerima ‘Anugerah Artis Sepanjang Zaman: Penyanyi Lagu Dangdut’ (Anugerah Kecapi PAPITA).
Zaleha Hamid dianugerahkan ‘Anugerah Bintang Seni Tanahair: Dangdut (Anugerah LIFE Records Singapura) pada tahun 2007.
Bagaimanapun pada tahun 2019, Zaleha Hamid diserang angin ahmar sehingga koma selepas terjatuh di bilik air di rumahnya pada 23 Disember 2019.
Pada 14 April 2023, kesihatan Ratu Dangdut itu yang terlantar akibat angin ahmar menunjukkan perkembangan positif.
Menurut suami Zaleha Hamid, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, isterinya sudah boleh bertutur dan daya ingatannya semakin baik.
Beliau memberitahu, kesihatan isterinya sudah 30 peratus pulih.
Zaleha Hamid dikatakan sudah boleh bercakap, makan dan minum tidak perlu menggunakan tiub.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Zaleha Hamid bersama keluarga sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.