Tomok mula menyanyi sejak usia 8 tahun.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Tomok/Koleksi Syed Wafa

KUMPULAN New Boyz baru saja menjayakan Konsert New Boyz 25th Anniversary yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada 13 Jun lalu.

Seperti lagu popular mereka ‘Sejarah Mungkin Berulang’, ternyata populariti New Boyz yang mula menapak dalam industri muzik sejak 1997 itu masih lagi sama seperti di awal kemunculan mereka.

Album sulung New Boyz yang dikeluarkan pada 1999.

New Boyz yang dianggotai oleh Tomok selaku vokalis, Lan (gitar), Zimi (gitar), Afiez (gitar), Zack (bass) dan Ristoe (dram) itu berjaya memukau kira-kira 3,000 penonton yang hadir dengan 28 lagu hit mereka.

Menurut Tomok, penganjuran konsert New Boyz 25th Anniversary ini merupakan sebuah hadiah buat semua peminat yang menjadi tulang belakang sepanjang 25 tahun penubuhan karier New Boyz.

Tomok sering menjadi cover majalah hiburan terkenal ketika di puncak kerjaya sebagai anak seni.

“Memandangkan sambutan yang luar biasa pada konsert tahun lalu yang kami adakan selama dua malam, serta kegembiraan kami dengan semua reaksi positif tentang konsert tersebut, kami teruja untuk mengadakan konsert New Boyz 25th Anniversary Live In Kuala Lumpur, di lokasi yang berkapasiti lebih besar, iaitu di Plenary Hall KLCC,” ujar Tomok.

Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, beliau sebak melihat penonton yang hadir memberi sokongan kepada New Boyz tanpa jemu.

Muncul sebagai juara program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga pada 1 Mei 2009.

“Saya terharu sangat kerana pada saat ini masih lagi mendapat sokongan padu daripada peminat. Buktinya dewan ini penuh. Terima kasih semua kerana telah menyokong New Boyz sejak 25 tahun lalu daripada zaman sekolah, kerja, kahwin dan dah ada anak,” katanya yang kini juga telah memiliki tiga orang cahaya mata itu.

Pemegang Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, beliau dan rakan-rakan New Boyz tidak pernah berhenti berkarya.

Sebagai Azad, tunang kepada Lisa Surihani dalam filem Istanbul Aku Datang.

Walaupun banyak kumpulan baharu yang tampil, New Boyz masih lagi mendapat tempat di hati peminat. Malah untuk tahun ini saja New Boyz, selepas Plenary Hall, kumpulan tersebut akan beraksi di Singapura pada 12 Oktober ini.

“Untuk konsert di Malaysia, ini yang terakhir bagi tahun ini kerana selepas ini kami akan beraksi di Singapura. Kami mahu berehat panjang kerana saya rasa kalau kita buat konsert dalam tempoh dekat, takut orang bosan pula.

Tomok bergandingan dengan Kilafairy dalam drama arahan Eoon Shuhaini.

“Jadi saya rasa terlalu back to back pun tak best juga. Kita kena ada masa untuk berehat supaya peminat tertunggu-tunggu persembahan kita. Bagilah kami berehat setahun atau dua tahun supaya bila buat konsert peminat datang ada perasaan rindu dengan setiap anggota New Boyz.

“Itu yang kami buat keputusan untuk berehat sekejap lepas habis konsert. Kami juga merancang untuk tampil dengan single baharu walaupun pendengar masih setia dengan lagu sedia ada. Sokongan anda amat kami hargai,” kata Tomok yang merupakan suami kepada Siti Rahayu Abas yang dinikahi sejak 1 Julai 2011.

Tomok amat menghargai sokongan peminat yang tidak jemu menyokong New Boyz.

Tomok yang mula menyanyi sejak usia 8 tahun, anak keempat daripada enam beradik itu bagaimanapun tidak begitu menggalakkan anak sulungnya, Arrian Shah Akid untuk mengikut jejak langkahnya dalam waktu terdekat ini.

“Daripada awal lagi Arrian memang nak nyanyi tapi saya kata tunggu dulu. Tahun lepas lagi dia nak minta muncul di pentas sewaktu kami mengadakan persembahan pada Februari 2023 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

“Biarlah dia belajar dulu. Malam ini kita bagi peluang sedikit untuk dia ingat sampai besar. Biarlah dia belajar dulu kerana saya seorang ayah yang mementingkan pelajaran dan kalau dalam bidang muzik pun kena dapat A.

Tomok berduet dengan Siti Nordiana sewaktu konsertnya baru-baru ini.

“Kalau ada ilmu dalam bidang muzik, ruang dan peluangnya lebih besar. Saya tak nak dia terlibat dalam bidang hanya kerana dia anak Tomok. Dia kena berusaha dan saya akan sokong,” katanya yang merupakan ayah kepada dua lagi cahaya mata iaitu Andra Shah Iman dan Siti Khadijah.

Tomok yang merupakan juara program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga pada 1 Mei 2009, telah menghasilkan enam buah album studio bersama anggota New Boyz iaitu New Boyz (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2002), Bermulanya Satu Evolusi (2004) dan Semula Padaku (2007) beserta satu album kompilasi iaitu The Best Of New Boyz (2003).

Selain merakam album bersama New Boyz, beliau juga pernah tampil dengan album solo berjudul Tomok yang memuatkan 12 buah lagu karya komposer ternama seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, Aidit Alfian dan ramai lagi pada Oktober 2010.

Tomok bersama anggota New Boyz sewaktu menjayakan konsert New Boyz 25th Anniversary, di Plenary Hall, KLCC, baru-baru ini.

Bukan itu saja, Tomok juga pernah bergandingan dengan penyanyi lain menerusi lagu duet iaitu bersama Fatin Afeefa menerusi lagu Demi Cinta Ini yang menjadi runut bunyi drama Shakira dan Memori Mungkin Berulang bersama Siti Nordiana.

Selain bergelar sebagai penyanyi, Tomok juga pernah mencuba bakatnya sebagai pelakon. Beliau diberi kepercayaan untuk melakonkan watak hero, Azman dalam filem Mantera arahan Mohammad Aliyar yang ditayangkan pada Mei 2012.

Kemudian Tomok muncul pula dalam filem Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly bersama pelakon Datin Lisa Surihani dan Beto Khusyairi. Lakonan Tomok sebagai orang baharu dalam industri perfileman dianggap berjaya menerusi watak Azad.

Bersama isteri dan anak-anak tersayang.

Bersama kumpulan Newboyz, Tomok muncul dalam telefilem Pulau Inspirasi dan Meraung, selain pernah berlakon untuk beberapa buah drama sebagai penampilan istimewa.

Bagi Tomok, menyanyi baik secara solo atau berkumpulan semuanya dilakukan dengan ikhlas kerana itulah kelebihannya. Selagi ada permintaan, beliau tidak akan menolak untuk menghibur orang ramai.

Previous articlePertemuan sulung Lee Joon-gi bersama peminat di Mega Star Arena
Next articleJuliza Adlizan bahagia dengan caranya sendiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here