Rashid Sidek Wira Negara yang sentiasa dikenang.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Rashid Sidek/Koleksi Syed Wafa

Jasa dan pengorbanan Datuk Rashid Sidek terhadap arena sukan badminton cukup besar kepada negara. Meskipun sudah bersara daripada sukan berkenaan namun khidmat dan kepakarannya masih diperlukan pasukan badminton negara. Sekaligus diberi tanggungjawab menjadi jurulatih skuad badminton kebangsaan sampai sekarang.

Hasil dorongan dan bimbingan daripada arwah ayahnya, Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar maka lahirlah anak-anak Sidek seperti Datuk Rashid Sidek dan abang-abangnya Datuk Misbun, Datuk Razif, Datuk Jalani dan Rahman yang pernah mencetuskan sensasi dalam dunia arena badminton.

Kenangan bersama keluarga tercinta semasa kecil.
Rashid bersama arwah bapanya, datuk dan abang- abangnya yang juga jaguh sukan badminton.

Bintang Rashid atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Mohd Sidek bersinar seawal usia 12 tahun apabila muncul pemain termuda menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Kebangsaan, pada 1980. Kemenangan Rashid telah membuktikan bahawa dialah bakal bergelar juara dan jaguh badminton negara.

Ini dibuktikan dengan kehadirannya bersama pasukan badminton negara telah berjaya membawa pulang Piala Thomas pada tahun 1992. Selepas itu kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 selepas menewaskan pemain Indonesia yang juga juara dunia, Heryanto Arbi merupakan detik paling manis dalam kariernya.

Kebanggaan Malaysia…Anak- anak Sidek..(dari kiri ) Misbun, Rahman, Razif, Rashid dan Jailani.

“Saya mahu melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh badminton tanah air sehingga bertaraf juara dunia. Semua pengalaman yang saya ada, saya akan curahkan kepada pemain-pemain dibawah bimbingan saya kerana inilah masanya untuk saya berikan pada generasi terkini. Tidak guna saya simpan pengalaman yang ada dan harap ianya dapat dimanfaatkan semua pemain bagi mengharumkan nama Malaysia.

“Untuk berjaya, pemain perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana itu adalah perkara utama dalam sukan badminton yang sangat kompetitif masa kini. Bukan itu saja, pemain juga perlu mempunyai disiplin yang tinggi, semangat untuk terus maju, dedikasi dan fokus untuk bergelar juara

Smash cantik pemain perseorangan negara, Rashid Sidek membolehkan Malaysia bergelar juara Piala Thomas 1992.

“Saya percaya kita akan ‘lahirkan’ juara dunia dalam tempoh lima tahun dengan BAM sudah mempunyai pemain yang bagus seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong serta pemain beregu dan saya yakin dengan kemampuan BAM dalam perkara ini,” kata Rashid lagi.

Menurut Rashid lagi,“Melihat pada bakat-bakat pemain sekarang ini saya rasa mereka semua adalah pemain muda yang sedang meningkat naik. Untuk berjaya, mereka perlukan lebih banyak pendedahan dan pengalaman bermain bagi memberi keyakinan dan memantapkan lagi permainan mereka.”

Rashid Sidek menjulang Piala Thomas yang dimenanginya pada 1992.

Ketangkasannya menghayun raket sewaktu beraksi permainan jaring, smash yang padu dan kencang juga membolehkan Rashid diiktiraf antara perseorangan lelaki terbaik pernah dilahirkan di negara ini.

Selepas bergelar pemain nombor satu dunia pada 1997, Rashid mula memberi laluan kepada pemain baru untuk mengambil tempatnya. Akhirnya pada 2000 Rashid bersara daripada arena sukan badminton. Sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang serta reputasi hebatnya, Rashid turut dilantik sebagai Ketua Jurulatih Badminton dan telah `melahirkan’ juara dunia Datuk Lee Chong Wei.

Rashid (tengah) menunjukkan piala kemenangannya kepada arwah bapa tercinta, Haji Sidek ( kiri sekali).

Rashid anak kelahiran Kanchong Darat, Banting ini yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan Piala Thomas 1992 juga percaya dengan perancangan BAM untuk terus menghasilkan pemain yang boleh menjulang nama negara di peringkat antarabangsa.

Mengenai kekalahan pasukan Malaysia menjulang kembali Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, baru-baru ini, menurut Rashid atau manja dengan gelaran Adul,”Saya tak pernah terfikir yang kita akan hadapi kesukaran nak dapatkan semula serta menjulang Piala Thomas, saya fikir mungkin dalam masa 10 atau 20 tahun kita boleh menang balik, tetapi ini sudah 32 tahun.

Allahyarham Tan Sri Elyas Omar (baju biru) yang ketika itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketawa mendengar cerita Jalani (kiri) ketika melihat Piala Thomas sambil diperhatikan Rashid.

“Kadang-kadang saya agak terkilan sebab badminton salah satu sukan yang popular di Malaysia, kita tidak ketandusan pemain, dari segi kemudahan berlatih kini lebih canggih kerana memiliki segala kemudahan serta infrastruktur yang lebih baik berbanding dahulu zaman saya dulu. Tetapi kita masih lagi tak dapat menandingi pemain-pemain negara lain.”

Selepas Sijil Penilaian Menengah (SPM), Rashid diserap ke dalam skuad Projek 1988/1990 bagi meneruskan misi merampas semula Piala Thomas. Rashid membuktikan kejaguhan selaku pemain nombor satu negara dengan menjuarai Terbuka Malaysia tiga kali berturut-turut (1990, 1991, 1992). Malah Rashid turut mencipta sensasi apabila meraih emas Sukan Komanwel 1990 menewaskan Foo Kok Keong di Auckland.

Komik biografi keluarga jaguh badminton negara bertajuk Anak-anak Sidek.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan badminton, Rashid diberi kepercayaan menjadi Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri 1996-2002, Jurulatih Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia 2003-2004, Ketua Jurulatih Junior Persatuan Badminton Malaysia (2005-sekarang), Ketua Jurulatih dan Pengarah Program Latihan Akademi Badminton IOI dan lain-lain lagi.

Rashid dan isteri tercinta iaitu Datin Azehan Abdul Halim mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2003. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ikhwan, Azwin, Eizran dan Irfan.

Turut berlakon dalam filem Cinta 200 Ela.

Populariti adik-beradik ini terus melonjak dan semakin dikenali ramai selepas komik autobiografi jaguh badminton negara iaitu Anak-Anak Sidek diterbitkan. Malah, kisah hidup mereka juga disiarkan dalam siri animasi Anak-Anak Sidek.

Jasa Rashid Sidek dalam dunia badminton turut dihargai apabila beliau dianugerahkan bintang Bentara Setia Diraja (B.S.D – 1988), Pingat Pangkuan Negara (P.P.N – 1990), Kesatria Mangku Negara (K.M.N- 1992) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021.

Kenangan bersama Ella.

Melakar pelbagai kejayaan era 90an, Rashid Sidek juga memenangi pingat emas perseorangan lelaki Sukan Komanwel, Auckland, Juara Perseorangan Piala Asia, Juara Perseorangan Terbuka Malaysia, Juara Perseorangan Terbuka Malaysia (1991) dan 1992 bergelar Juara Perseorangan Terbuka Malaysia, Juara Berpasukan Piala Thomas, Juara Perseorangan Akhir Grand Prix Dunia dan Juara Perseorangan ABC.

Pada tahun1994, Rashid juga memenangi pingat Emas Perseorangan Lelaki Sukan Komanwel, Victoria, Naib Juara Perseorangan Terbuka Malaysia. Tahun 1996 pula Rashid bergelar Juara Perseorangan Piala Asia, Juara Perseorangan Terbuka Jerman, Naib Juara Perseorangan All England, Naib Juara Perseorangan Terbuka Chinese Taipei, Pemegang Pingat Gangsa Perseorangan Sukan Olimpik, Semi Finalis Perseorangan Terbuka USA dan Semi Finalis Perseorangan Terbuka Thailand.

Rashid bersama isteri tercinta Azehan Abdul Halim.
Rashid bersama isteri ketika menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran datuk pada 2021.

1997 Rashid diiktiraf sebagai pemain No. 1 Dunia oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), 1999 Terpilih antara 16 pemain terbaik dalam Akhir Grand Prix Dunia di Brunei dab 2000 Naib Juara Perseorangan Terbuka Korea.

Selepas bersara, Rashid juga meneruskan kerjayanya bersama BAM, Tenaga jurulatih Piala Thomas/Uber Malaysia, Tenaga jurulatih ke Sukan Olimpik, Athen (2004) dan Tenaga jurulatih Ke Kejohanan ABC Junior, Jakarta (Naib Juara Wanita Berpasukan -2005).

Populariti Rashid turut membuatkan Rashid dilamar bagi membintangi filem Cinta 200 Ela 2002 dan dalam filem Olympic Dream  Rashid muncul sebagai `cameo’ menerusi arahan Don Hoe 2021.

Keluarga bahagia Rashid Sidek.
Previous articleRawatan tradisional menghilangkan jeragat
Next articleAmyra Rosli laku bergelar isteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here