ROSIAH Chik bukan sahaja memiliki suara yang sedap didengar malah wajahnya yang cantik menawan memberinya peluang berlakon dalam filem-filem terbitan Cathay Keris.
Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
APABILA sebut nama Rosiah Abdul Manaf tentu ramai yang tertanya-tanya siapakah empunya nama sehingga ia muncul dalam kolum popular ini.
Tetapi jika ditanya kenalkah anda dengan biduanita dan Seniwati Rosiah Chik atau Mak We, pasti ramai yang cukup kenal akan dirinya kerana beliau sering menyanyi di Radio Malaysia.
BERDIRI dari kiri: Allahyarham Seniwati Rosiah Chik dan Allahyarham Rahmah Rahmat.
DUDUK dari kanan: Herni (Adik Seniwati Normadiah) dan Dani (kakak Hashimah Yon) sebagai penari dalam filem “Belantara.”

Sebabnya beliau yang merupakan penyanyi lagu-lagu irama Melayu antaranya irama ghazal, asli dan zapin bukan sahaja dikenali sejak era 1960-an malah namanya masih teguh sehingga era 1990-an.

Allahyarham bukan setakat memiliki suara merdu dan tidak jemu mendengarnya malah berbakat sebagai penari dan pelakon.
FILEM “Anakku Sazali” bukan sahaja menampilkan para seniman seniwati terkenal antaranya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Nordin Ahmad, Zaiton, Rosnani, Hashimah Yon dan Daeng Idris malah ia turut menampilkan Rosiah Chik sebagai penari hebat
ROSIAH Chik muncul sebagai penari sambil menyanyi dalam filem “Anakku Sazali.”

Itulah istimewanya Rosiah Chik yang dilahirkan pada tahun 1931 dan mula menyanyi pada usia 14 tahun di khemah-khemah perkahwinan.

Nama Rosiah Chik mula dikenali setelah bercerai dengan suaminya dan  berhijrah ke Singapura yang mana akhirnya mencipta nama sebagai penyanyi piring hitam yang pernah muncul dengan dua album solo dan satu daripadanya dengan iringan muzik kumpulan The Family’s.
ROSIAH Chik menyanyikan lagu Melayu Asli “Leila Manja” dengan arahan komposer, Saiful Bahari.
ROSIAH Chik muncul dengan album EP keduanya.

Walaupun hanya muncul dengan dua album solo kerana banyak komitmen menghasilkan album bersama penyanyi lain, Rosiah Chik yang terkenal sebagai ‘Ratu Irama Asli’ banyak menjadi penyanyi undangan dan berduet dengan penyanyi lain juga berbakat menulis lirik lagunya sendiri iaitu “Embun Di Rumput.”

Antara lagu popular beliau dan berduet dengan Allahyarham Tan Sri S.M Salim ialah “Ala Canggung, Dondang Sayang, Dang Anum, Lela Majnun, Zapin Senandung Dua, Mak Dayu dan Inang Anak Dagang.
BERSANDARKAN gelaran yang diberi sebagai “Ratu Irama Asli” lagu-lagu Ghazal memang menjadi ‘makanan’ Rosiah Chik.
SUARA Rosiah Chik digunakan sebagai suara latar untuk filem “Jula Juli Bintang Tujoh.”

Di Singapura, Rosiah Chik yang menyertai Cathay Keris meraih populariti secara mendadak apabila sering dipilih menjadi penyanyi latar untuk filem-filem terbitan syarikat berkenaan.

Dengan suaranya yang gemersik, Rosiah Chik sering ‘meminjamkannya’ untuk para seniwati Cathay Keris antaranya dalam lagu runut bunyi (Original Sound Track) “Tari Olah Olai Puchuk Angsana”  untuk filem “Tun Fatimah” lakonan Seniman Yusof Latiff dan Seniwati Datuk Sri Maria Menado. Filem arahan Salleh Ghani itu diterbitkan pada tahun 1962.
LAGU nyanyian Rosiah Chik dalam filem “Tun Fatimah” diterbitkan oleh Life Record.
ROSIAH Chik menyanyikan lagu ‘Tari Olah Olai Pucok Angsana’ dalam filem Tun Fatimah.
Filem lakonan mantap Datuk Seri Maria Manado dan Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.

Rosiah Chik juga turut ‘meminjamkan’ suaranya untuk OST lagu filem “Puteri Gunong Ledang” iaitu lagu “Puteri Bunga Raya” berduet dengan Allahyarham Biduan R. Ismail.

Filem terbitan tahun 1962 arahan Datuk S. Roomai Noor dilakonkan Seniwati Fatimah Ahmad dan Datuk Mahmud June.
ROSIAH Chik bukan sahaja memiliki suara yang merdua dan sedap didengar malah beliau juga terkenal dengan kecantikan asli.

Selain itu, suara Rosiah Chik turut dipinjamkan untuk OST filem “Ayer Mata Duyong” terbitan tahun 1964. Filem arahan M. Amin dilakonkan Seniman Nordin Ahmad, Suraya Haron dan Malek Selamat.

Beliau juga turut menyanyi dua buah lagu ciptaan Zubir Said iaitu “Saat Demi Saat,” dan berduet dengan Rahman B dalam lagu “Paduan Budi.”
ROSIAH Chik muncul dengan album Melayu Asli.
EP Rosiah Chik diiringi oleh Sri Pelangi dengan lagu-lagu nyanyiannya, Rahsia Hati, Embun Menitik, Muslemah dan Kaseh Terpendam.”

Kedua-dua lagu tersebut menyerikan filem “Hang Jebat” arahan Hussein Haniff diterbitkan pada tahun 1962 dilakonkan oleh Seniwati Fatimah Ahmad, Nordin Ahmad, M. Amin, Roseyatimah, Mahmud June, Ahmad Nisfu, Siti Tanjung Perak , Udo Omar dan Rahmah Ali.

Selain menyanyi, Rosiah Chik juga berbakat sebagai pelakon dan penari dan muncul dalam filem “Anakku Sazali” terbitan tahun 1956 arahan Phani Majmundar.
ROSIAH Chik berpadu suara dengan Ahmad C menyanyikan lagu ‘Menduga Hati’ dalam filem “Isi Neraka.”
ROSIAH Chik turut menyanyi dalam filem “Dang Anom.”

Beliau turut berlakon dalam filem “Mangsa”(1953), Merana”(1954), “Mangsa”dan “Sumpah Orang Minyak” (1958), Tun Fatimah (penari utama – 1962), “Bila Hati Telah Retak”(1983) dan “Sumpahan Mahsuri” (1989).

Apa yang membanggakan pada usianya 64 tahun, Rosiah Chik dengan lagu “Zapin Senandung Dua” berjaya menyertai Anugerah Juara Lagu 1995. Lagu tersebut ciptaan Mohamed Ali (Mat Penang) dengan lirik ditulis Othman Ali.
ROSIAH Chik turut menyanyi dalam filem “Ayer Mata Duyong”

Disamping itu, Rosiah Chik, ibu kepada enam orang anak, empat lelaki dan dua anak perempuan menerima Anugerah Sri Wirama di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun kerana sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Januari 2006.
PENULIS, Syed Wafa ( berdiri dua dari kanan) bergambar kenangan (mengikut pusingan jam) seorang teman, Rosiah Chik, Allahyarham Nozie Nani, Allahyarham Raja Nor Saadah dan pemiliki salon pengantin dikenali dengan nama glamournya, Cat.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuir rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

ROSIAH Chik yang lebih mesra dipanggil Mak We.
Previous articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Serunding Kelapa Daging!
Next articleKisah Muharram dan bubur Asyura (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here