Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Sazali Samad/ Koleksi Syed Wafa
Sazali Samad merupakan nama besar dalam arena bina badan negara. Di gelar legenda bina badan negara kerana beliau satu-satunya atlet bina badan dunia yang merangkul gelaran 10 kali Juara Dunia, Mr. Universe dan memenangi banyak gelaran dan anugerah dalam setiap pertandingan bagi kategori Bantamweight dan lightweight yang disertainya.
Gelaran Juara Dunia, Mr.Universe yang dimenanginya bermula di Melaka pada 2000, Moscow, Russia (2004), Ostrava, Republik Czech (2006), Jeju, Korea Selatan (2007), Dubai (2009), Varanasi, India (2010), Melaka (2011), Bangkok, Thailand (2012), Budaors, Hungary (2013) dan Mumbai, India (2014).
Menyentuh kembali penglibatan awalnya, kata Sazali, 57, anak kelahiran Batu Pahat sebelum itu dia begitu meminati sukan sepak takraw dan pernah mewakili sekolah dan daerah kelahirannya dalam sukan tersebut.
“Minat saya berubah kepada sukan bina badan setelah melihat kejayaan Datuk Malek Noor mengungguli peringkat Asia. Sejak itu saya berazam nak jadi jaguh bina badan pula. Saya juga turut menyimpan keratan akhbar kejayaannya bagi dijadikan motivasi untuk merealisasikan impian saya.”
Menurut Sazali dia bersyukur kerana dapat membuat semula comeback. “Alhamdulillah kini segalanya sudah berakhir. Perkara-perkara yang lepas, banyak memberi pengajaran kepada saya. Selepas ini saya akan terus mengambil bahagian dalam kejohanan bina badan. Saya mahu bangkit menjadi antara pencabar utama sukan bina badan dunia.
“Saya belum bersedia untuk bersara lagi kerana inilah bidang yang saya sukai. Seperti biasa setiap hari saya masih teruskan rutin fizikal bagi mengekalkan kecergasan. Saya jaga diet, pemakanan saya dan teruskan latihan di gym seperti biasa. Sekarang dah ada sasaran apa yang nak dibuat, lebih mudah untuk saya bersedia. InsyaAllah dan doakan agar saya berjaya dan dapat mengharumkan nama Malaysia lagi,” jelas pesara Sub Inspektor Sazali Samad atau lebih dikenali dengan jolokan Orang Besi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini.
Sazali aktif dengan sukan bina badan ketika bekerja di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Lumpur pada tahun 1987 dan kemudiannya mendaftar di Pusat Latihan Bina Badan, Bukit Aman. Bakatnya mula dikesan pengelola bina badan PDRM pada ketika itu, Allahyarham Deputi Superintendan Polis (DSP) Roslan Ahmad.
Dibawah bimbingan DSP Roslan, Sazali memenangi gelaran Mr. Kuala Lumpur dalam kategori Bantamweight (65 kg) dan gelaran Mr. Malaysia 1991 yang melayakkannya mewakili negara ke Pertandingan Bina Badan Amatur Asia di Korea Selatan. Selepas itu, Sazali turut ditawarkan untuk menjadi seorang anggota polis dan atlet bina badan dibawah Majlis Sukan PDRM.
Bagi memastikan otot badannya cantik dan berkualiti, Sazali cukup mementingkan disiplin diet dari segi penjagaan makanan. Selalunya sebelum mengambil sarapan beliau akan menimbang berat badannya terlebih dahulu. Selepas itu barulah rutin sarapannya dimulakan dengan makan telur separuh masak sebanyak 8 biji dan 8 biji lagi pada waktu petang.
Diikuti beberapa biji kapsul suplemen, vitamin bagi penjagaan dalaman badan, instant oatmeal dan minuman protin. Semakin dekat pertandingan yang akan disertai, beliau akan mengelak daripada mengambil makanan berkabohidrat, bergula dan berminyak. Sebaliknya makanan berebus yang menjadi pilhannya sepanjang masa tersebut.
Sazali bertuah kerana anak keduanya, Muhammad Hazim, 24, turut mengikut jejak langkahnya dalam sukan bina badan ini. Baru-baru ini, Sazali dan anaknya sama-sama menaiki podium dimana Sazali bergelar juara kategori terbuka dan master manakala anaknya pula memperoleh tempat pertama bagi kelas ‘newbie’ di kejohanan Pro Am Asia Pasific di Singapura.
“Saya pun tak sangka anak keempat saya, Nur Sabrina Hani, 18, juga ada minat yang sama macam ayahnya juga… tapi sukan angkat berat. Sabrina akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti bagi mewakili Selangor dalam sukan angkat berat,’’ jelas Sazali lagi.
Selain 10 kali bergelar Juara Dunia, Mr. Universe, Sazali yang telah lebih 35 tahun berkecimpung dalam sukan bina badan juga berjaya meraih gelaran Mr. Asia sebanyak ( 9 kali), Mr. Malaysia (12 kali), Sukan Sea (Emas -2 kali), Olahragawan Negara (4 kali), Mr. SEA (3 kali ) dan Olahragawan PDRM (12 kali) serta Anugerah Malaysia Book Of Records 2014; ‘Outstanding Individual Award Category’.
Kejayaannya mengharumkan nama negara, Sazali turut dikurniakan beberapa darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara (A.M.N -2001), Bentara Pasukan Polis (B.P.P – 2004), Kesatria Mangku Negara (K.M.N -2006), Bintang Cemerlang Melaka (2011) dan Johan Mangku Wilayah (2013).
Sazali kini bahagia bersama isterinya, Hashrine Hashim,54, dan lima anaknya dimana tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
Sazali rancang nak buka studio gym
Selepas bersara daripada PDRM pada 2016, Sazali telah menubuhkan Akademi Sazali Samad terletak di i-Tech Tower, Shaftsbury, Cyberjaya. Akademi ini ditubuhkan bagi mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia sukan bina badan dan telah dirasmikan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Kata Sazali Samad lagi,“Dulu saya buka akademi ini bagi melahirkan lebih ramai bakat generasi muda dalam sukan bina badan ini. Nampaknya hajat saya tak kesampaian. Setahun beroperasi akademi ini terpaksa ditutup kerana kami tidak mempunyai gym. Nak sediakan peralatan gym bukannya murah kerana kebanyakan fasiliti datangnya dari luar negara.
Bercakap mengenai harapannya lagi, menurut Sazali,”Ada rezeki saya nak ada dan buka gym sendiri…walaupun studio gym. Kalau boleh lokasinya saya suka di kawasan Taman Melawati. Bila ada studio sendiri, bolehlah saya buat galeri dan letak semua piala-piala kemenangan saya sebagai hiasan. Dapatlah mereka yang datang ke gym saya bergambar atau lihat piala-piala tersebut.
“InsyaAllah, bila ada studio gym ini bolehlah saya buat pelbagai aktiviti dan membantu mereka yang memerlukan khidmat saya sebagai jurulatih. Untuk berjaya dalam sukan ini, paling utama kena jaga disiplin. Itulah kriteria yang perlu ada bagi seorang atlet bina badan. Tanpa disiplin mereka tidak akan ke mana.
“Saya juga berharap anak-anak saya berjaya dalam sukan yang mereka ceburi. Mana tau…satu hari nanti dengan izin Allah, mereka boleh jadi Juara Dunia macam ayah mereka juga.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.