Pastinya peminat akan sentiasa merindui suara emas Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini.

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA

SEMALAM 5 Julai genaplah 10 tahun Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggalkan kita semua. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada tarikh berkenaan tahun 2014 pada 1.26 pagi kerana komplikasi fibrosis paru-paru (pulmonary fibrosis) pada usia 61 tahun di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya.

Berita pemergian beliau pada hening pagi Sabtu itu bukan sahaja mengejutkan para peminatnya kerana beliau merahsiakan sakitnya daripada pengetahuan umum malah merenggut hati beberapa sahabat baiknya dan beberapa wartawan hiburan yang rapat dengannya.

GAMBAR kenangan Sharifah Aini sewaktu kecil di pangkuan ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas bersama ayahnya, Syed Jaafar.
Comelnya Kak Pah semasa kecil.

Walau mungkin ada yang menganggapnya sebagai mimpi tetapi apa yang pasti apabila sudah sampai ajal seseorang itu, ia tidak cepat atau lambat walaupun sesaat.

Begitulah lumrah dan perjalanan hidup setiap manusia di dunia ini yang telah ditentukan-Nya.

Berita pemergian beliau yang tersebar begitu cepat telah membuatkan setiap ruang di pusat pakar perubatan itu dipenuhi dengan para artis, sahabat dan para wartawan yang mengenali insan bersuara emas dan lunak ini yang telah mewarnai dunia seni tempatan dan diminati semua peminat di rantau Asia sejak lima dekad.

Seorang anak yang pandai mengaji Al-Quran.

Dalam ratusan insan seni yang memenuhi setiap ruang pusat perubatan itu, tidak ketinggalan saya dan sahabat baik saya, Allahyarham Haji Huzzaini Kamaluddin yang mesra dipanggil Huzz yang tidak mampu menahan sebak di jiwa kami semua.

Sebabnya beberapa hari sebelum Sharifah Aini meninggal dunia, beliau mesej saya agar datang bersama Huzz kerana hari Isnin beliau akan ‘admitted’ dan ditakdirkan pagi Sabtu itu beliau telah pergi buat selamanya.

Sejak kecil meminati bidang seni.
Kak Pah yang memulakan langkah dalam bidang seni dengan jaya dan bergaya setelah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada tahun 1968 dengan lagu “Tiga Malam.

Walaupun hati saya digayut rasa sedih tetapi saya bersyukur kerana hajat dan mesej terakhir ‘Kak Pah’ (panggilan mesra kami buat Allahyarham) sebelum pergi buat selamanya dapat saya tunaikan.

Saya pasti di kalangan wartawan hiburan ramai yang tahu bagaimana hubungan baik antara Kak Pah dengan Huzz yang telah terjalin sejak hari pertama beliau bergelar wartawan.

Selepas memenangi tempat pertama, Kak Pah dilamar menjadi artis rakaman EMI pada tahun 1969 dengan album pertamanya berjudul “Seri Dewi Malam”
ANTARA album Inggeris Kak Pah yang begitu mendapat sambutan.

Tetapi entah di mana silapnya pernah beberapa tahun sebelum Kak Pah pergi buat selamanya, hubungan mesra antara Huzz dan beliau yang terjalin sejak sekian lama ‘terputus’ buat seketika.

Saya tidak boleh melupakan perselisihan faham antara Kak Pah dan sahabat saya, Huzz yang telah berlarutan beberapa bulan.

ALLAHYARHAM Biduanita Negara, Puan Sri Saloma memberi ciuman sempena Hari Lahir yang ke-21 Sharifah Aini pada tahun 1974.

Bagaimanapun sebab dan punca hubungan jernih mereka tergugat biarlah ia menjadi rahsia dan akan saya simpan demi sebuah amanah dan persahabatan!

Bagaimanapun Huzz pernah menzahirkan kepada saya beliau terkilan dengan Kak Pah. Disebabkan itu, beliau pernah berhasrat untuk membuang semua koleksi CD Biduanita Negara itu.

RAJA Sehari…Sharifah Aini dan Ali Bakar pada tahun 1981.
PENGHIBUR No: 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad mengucap tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada Sharifah Aini yang melangsungkan perkahwinan dengan Ali Bakar pada tahun 1981.
Dua legenda Kak Pah bersama Anita Sarawak.

Malah Huzz turut memberitahu kepada Kak Pah akan niatnya itu tetapi semua itu hanyalah ‘marah-marah sayang’ kerana realitinya semua koleksi CD tersebut masih elok dalam simpanan beliau.

“Wafa tolonglah pujuk Huzz, Kak Pah tak nak kehilangan dia sebagai seorang sahabat. Kak Pah sayang dia seperti adik Kak Pah,” itulah mesej Kak Pah kepada saya.

KAK Pah sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air.
KENANGAN Kak Pah bersama Sudirman menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air.

Akhirnya saya berjaya memujuk Huzz dan beliau setuju untuk makan malam di banglo mewah milik Kak Pah di Petaling Jaya. Pertemuan malam itu berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni dengan meninggalkan jauh ‘kenangan pahit’ yang mereka lalui buat seketika.

Paling saya tidak lupa, beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir, saya mendapat mesej daripada Kak Pah yang memberitahu beliau tak sihat dan bertanya bila nak datang berjumpa dengan kata-kata yang saya ingat sampai saat ini.

PENULIS, Syed Wafa bersama Sharifah Aini pada 14 Julai 1999, bersahabat lebih dua puluh tahun.
ANTARA album Kak Pah yang begitu mendapat sambutan.

“Mesej beliau, Kak Pah tak sihat. Manalah tahu jika Kak Pah tak ada lagi. Datang jangan bawa kawan, ajak Huzz aje. Isnin ni Kak Pah masuk hospital lagi.”

Dan…takdir menentukan pada Sabtunya beliau pergi buat selamanya.

MERAKAMKAN kenangan…Syed Wafa hadir pada majlis hari lahir Kak Pah.
SHARIFAH Aini dan Syed Wafa merakamkan kenangan bersama penyanyi antarabangsa Macy Gray ketika bersama menjayakan sebuah persembahan di Terengganu pada November 2008 dan beliau begitu kagum dengan suara Kak Pah.

Itulah Biduanita Negara, Sharifah Aini Syed Jaafar yang memulakan langkah dalam bidang seni dengan jaya dan bergaya setelah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Bintang Radio Televisyen Singapura (RTS) pada tahun 1968 dengan lagu “Tiga Malam.”

Selepas kemenangannya itu, beliau dilamar menjadi artis rakaman EMI pada tahun 1969 dengan album pertamanya berjudul “Seri Dewi Malam.”

HUZZ dan Syed Wafa diundang ke pentas menyanyi bersama Sharifah Aini pada “Up Close And Personal With Datuk Sharifah Aini Charity Dinner”pada 17 April 2010.
SAHABAT sejati…Sharifah Aini bersama adik kesayangan yang juga wartawan hiburan legenda Huzzaini dan Syed Wafa ketika membantu menghias bilik tidur Wafa di Taman Selayang Mulia.

Sepanjang bergelar biduanita, Sharifah Aini telah menyanyikan pelbagai genre lagu dan telah muncul dengan 93 album yang mana tujuh daripadanya album lagu-lagu Inggeris.

Beliau merupakan artis Malaysia pertama digelar ‘Superstar’ di zaman kegemilangannya. Bukan itu sahaja, malah Sharifah Aini yang mampu menyanyikan pelbagai rentak lagu seperti Ghazal, Deli, Pop, Evergreen, Rock dan Hip Hop merupakan artis yang banyak menyanyi diiringi orkestra pada skala mega.

TIGA sahabat baik…Sharifah Aini, Huzzaini dan Syed Wafa.

Bukan itu sahaja, Sharifah Aini yang merupakan satu-satu artis yang paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman iaitu EMI Malaysia sehingga syarikat itu menutup operasi.

Sharifah Aini pernah tersenarai dalam ‘Lima Tangga Teratas Artis Paling Popular Asia’ sekitar era 1970-an dan beliau juga antara artis menerima royalti paling tinggi bagi setiap satu penjualan albumnya.

Nama beliau juga diabadikan dalam The Malaysia Book of Records sebagai menghargai jasa dan sumbangannya yang telah membawa nama Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa dan beliau adalah satu-satu penyanyi Melayu yang berjaya muncul dengan album solo baru setiap dekad!

SHARIFAH Aini bersama anaknya, Aliff Omar dan Syed Wafa ketika sanbutan hari jadi beliau.
DARIKU untukmu…hadiah istimewa daripada Kak Pah buat adik angkat Syed Wafa.

Bukan itu sahaja, malah nama Sharifah Aini turut tercatat di dalam ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ‘Artis Malaysia Pertama Paling Lama Bertahan Di Bawah Satu Syarikat Rakaman.’

Beliau juga merupakan artis Malaysia pertama dan Asia yang telah diberi penghormatan untuk mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall pada tahun 2000 yang selama ini dikuasai artis Barat.

Beliau dikatakan pernah membuat 2,518 persembahan amal tanpa bayaran dan pernah dianugerahkan pelbagai gelaran antaranya ‘Biduanita Pujaan Ramai, The Golden Voice dan Queen of Songs.’

MENGABADIKAN kenangan di ruang makan banglo milik Sharifah Aini bersama Zaiton Sameon, Huzzaini dan Syed Wafa.
MESEJ terakhir Kak Pah kepada Wafa (Penulis)

Sharifah Aini turut dianugerahkan gelaran ‘Permata Negara’ oleh Menteri Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Rais Yatim kerana merupakan artis pertama yang diberi penghormatan mengadakan konsert “Muzika Arabia Bersama Datuk Sharifah Aini” yang mempunyai unsur budaya di Timur Tengah selama tiga malam berturut-turut mulai 16 0gos pada 2007 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja malah beliau juga terkenal di Asia antaranya Jepun, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Menjejaki kejayaan Sharifah Aini yang cukup popular dengan lagu “Bunga Tanjung, Seiring dan Sejalan, Hapuslah Air Matamu, Kau Tinggi Di Awan Biru, Terbang Helang selain menyanyi turut berbakat dalam bidang lakonan.

DARI kanan: Syed Wafa bersama Raja Nur Fatimah Mawar dan Zaiton memenuhi permintaan saudara Allahyarham Sharifah Aini agar menemani jenazahnya di Bilik Mayat, Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya.

Pernah membintangi lima filem antaranya “Hapuslah Air Matamu”(1967). Filem pertama lakonanya itu bukan sahaja telah menghadirkan sisi lain Sharifah Aini sebagai penyanyi malah ia juga telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1977.

Sementara filem-filem lakonannya yang lain seperti “Kau Sumber Ilhamku,””Diva Popular” apa yang pasti kehadirannya bukan setakat mencukupkan ‘korum’ para pelakon dalam filem berkenaan namun membuktikan beliau sememangnya berbakat!

Selain dikenali sebagai penyanyi dan penghibur tersohor, Sharifah Aini juga berbakat dalam bidang penulisan.

ALIFF Omar menunaikan wasiat Allahyarham ibunya, Sharifah Aini yang mahukan beliau mengimamkan solat
jenazahnya.
ALIFF mengakat jenazah ibu tercinta ke rumah abadi.

Beliau telah menulis dan menerbitkan novel “55 Reason Why Sharifah Aini Was Not Lying” pada tahun 2005. Novel berkenaan mengisahkan tentang dugaan dan onak duri serta cabaran dan keperitan hidup yang beliau tempuhi selama bergelar anak seni.
Novel tersebut bukan sahaja dipasarkan di Malaysia dan beberapa negara Asia seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Hong Kong dan Jepun.

Selain itu, beberapa novel yang mengabadikan kisah beliau turut diterbitkan antaranya “Biografi Tokoh Wanita Malaysia, The Malaysian Peak dan A Tribute To A Woman In Malaysia”

ALLAHYARHAM Bahyah Mahmood atau lebih dikenali Kak Bam bersama Zaiton Sameon dan Syed Wafa menziarah pusara Sharifah Aini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail.

Menyelami kehidupan peribadinya, Sharifah Aini melalui perkahwinannya dengan Ali Bakar pada tahun 1981 yang bertahan setahun, beliau telah dikurniakan seorang anak yang diberi nama Aliff Omar.

Selepas perceraian itu, Sharifah Aini telah berkahwin dengan seorang ahli korporat bergelar Datuk di luar negara. Bagaimanapun perkahwinan keduanya gagal bertahan dan beliau bercerai pada tahun 1992.

MAJLIS resepsi Aliff Omar dan isteri, Nur Athirah Syed Azmi berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Oktober 2014.
Turut hadir bapa pengantin lelaki, Ali Bakar, Uji Rashid dan Syed Wafa.
SYED WAFA bersama Allahyarham Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, bonda tercinta Kak Pah.

Hari ini ketika para peminat mengingati 10 tahun pemergian Biduanita Negara itu, mereka juga dikejutkan dengan berita banglo milik Sharifah Aini berkeluasan 20,000 kaki persegi itu sudah diratakan dan pemilik tanah itu dalam proses membina bangunan tiga tingkat yang dijangka siap dalam tempuh tiga bulan lagi.

Difahamkan anak tunggal Allahyarham iaitu Aliff Omar Ali, 42, berjaya menjual banglo yang memiliki perpustakaan, dua dapur, sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan dan bilik pembantu rumah yang pernah diiklankan untuk dijual dengan harga RM8 juta pada 2018 didakwa berjaya dijual pada harga RM4 juta.

BANGLO milik Sharifah Aini yang terletak di Petaling Jaya kini hanya tinggal kenangan setelah dirobohkan oleh pembelinya.

Jenazah Allahyarham Sharifah Aini dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

AL-FATIHAH…Wafa akan sentiasa merindui Kak Pah.
Previous articlePes Sup Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Sup Ayam!
Next articleSalam Muharam!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here