Salwa yang masih cantik jelita dan awet muda

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datin Salwa Abdul Rahman/Koleksi Syed Wafa

Sejak kemunculannya hingga sekarang ini, penampilan penyanyi dan pelakon Datin Salwa Abdul Rahman, 59, masih kekal seperti sewaktu kemunculannya. Kecantikannya langsung tidak ditelan arus zaman. Dari dulu hingga sekarang kejelitaan dan penampilannya tetap maintain begitu sahaja.

Bertanyakan rahsia awet mudanya, sambil ketawa Salwa menyatakan, sejak dulu lagi dia memang cukup mementingkan kecantikan.

Album disco dut, Salwa Abdul Rahman di awal terlibat dalam dunia seni.

“Tua memang tetap akan tua. Tapi janganlah kita mengejar usia sebelum waktunya. Tambahan pula, Selain kecantikan muka, Salwa juga begitu pentingkan kebersihan diri luaran dan dalaman. Salwa nak orang tengok Salwa sentiasa cantik dan bukannya buruk. Tambahan pula Salwa penyanyi…jadi kenalah cantik selalu. Tabiat itu terbawa-bawa dari muda hinggalah sekarang ini.

“Sekarang dah berusia ini Salwa cukup jaga pemakanan. Banyak pilihan makanan yang Salwa terpaksa kurangkan seperti nasi dari isnin hingga jumaat, makanan yang bergula berlemak dan macam-macam lagi. Salwa juga banyakkan minum air kosong.

Filem Kolej 56 yang menampilkan Salwa sebagai pelakon utama.

“Salwa hanya makan nasi pada hari sabtu dan ahad serta masak lauk yang sedap-sedap. Hari cuti kami nak makan bersama anak-anak, jadi dapatlah makan bersama masakan yang sedap-sedap. Isnin hingga Jumaat, Salwa dah mula kena kurangkan nasi semula. Itulah rutin Salwa bersama suami sekarang ini.”

Datin Salwa Abdul Rahman bergelar datin setelah suaminya, Datuk Subadron Abdul Aziz, 60, dikurniakan gelaran Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan 14 Februari 2022. Subadron merupakan bekas pemain bola sepak Kebangsaan dan Kuala Lumpur.

Gambar-gambar perkahwinan Salwa dan Subadron diabadikan sebagai penghias kulit wajah majalah popular URTV.

Manakala pada hari-hari biasa, Salwa bersama suaminya Bad yang telah lebih 30 tahun mendirikan rumah tangga akan melakukan aktiviti bersama setiap hari.

“Dulu kami jogging, sekarang dah tua-tua ini kami lebihkan berjalan secara santai selama sejam setiap hari. Kami berenang, main badminton dan macam-macam lagi demi untuk sihat.

“Salwa memang suka makan coklat dan aiskrim tapi bila sedar pemakanan ini yang menyebabkan penyakit buat Salwa kurangkan pengambilannya sekarang ini. Nak sihat kita kenalah pandai-pandai jaga kesihatan diri. Buat rutin ke klinik kesihatan untuk mengetahui tahap kesihatan diri.

Salwa tetap cantik dan anggun bergaya dalam usia 59 tahun.

“Salwa juga selalu ke pusat kecantikan untuk buat rawatan wajah, tambah oksigen di muka, makan suplemen dan vitamin yang diperakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Salwa tak berani makan ubat yang viral atau buat rawatan sembarangan,’’ kata Salwa anak kelahiran Johor ini.

Kata Salwa kini dia bahagia dengan kehidupan bersama suami dan dua orang anaknya, Puteri Sulaikha, 26, dan Putera Sufrie, 22. Pembabitannya lebih 35 tahun dalam industri membuatkan Salwa cukup merasa puas dengan pencapaiannya setakat ini.

Masih aktif menerima undangan menyanyi.

“Salwa dah penat bekerja dari dulu hingga sekarang. Apa yang Salwa rancang semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulilhah… semua berjalan dengan baik. Allah dah bagi apa yang Salwa minta dan pandailah kita hargai dan menjaganya.”

Bercakap mengenai perkembangan terbarunya, kata Salwa yang pernah membintangi filem Kolej 56,“Salwa masih lagi menyanyi tapi tidaklah aktif sangat selepas balik mengerjakan haji bersama suami pada tahun lepas. Salwa tak akan berhenti menyanyi sebaliknya akan perlahankan aktiviti seni.

“Umur Salwa bukan muda lagi. Kini Salwa banyak habiskan masa bersama keluarga. Kalau ada tawaran menyanyi pun Salwa akan tengok dulu yang sesuai dengan umur dan tempat persembahan, barulah Salwa akan pergi.”

Salwa bersama teman rapat artis Zur Eda.

Popular pada era 1980¬an, Salwa dikenali dengan lagu seperti Cubit¬ Cubit Sayang, Satu Dua Kau, Rindu Merindu dan Bohong Ah Bohong. Salwa juga pernah merakamkan dua lagu yang ditujukan kepada suaminya iaitu Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang.

Salwa masuk hospital terkenangkan arwah Datuk Nassier Wahab

Dalam sekelip mata, beberapa tahun kebelakangan ini penyanyi Salwa sudah merasakan kehilangan kawan-kawan baik seangkatan yang sama-sama mencari rezeki dengan menyanyi

Salwa bersama rakan- rakan seperjuangannya dalam industri hiburan.

“Bila Salwa ingat semula, rasa sedih sangat sebab dah ramai rakan seangkatan yang sudah tiada, yang rapat dengan Salwa (meninggal dunia). Kalau bercerita mengenainya memang Salwa akan sedih sebab setiap hari Salwa akan ingat kenangan terindah bersama kawan-kawan.

“Bayangkanlah Kak Ana (arwah Rohana Jalil) pun dah tak ada, arwah Nassier Wahab dah tak ada, Maya Matahari, Abang Jaafar, Ibnor Reza, Khairil Khamis dan lain-lain lagi. Mana Salwa tak sedih mereka ni semua kawan-kawan yang sama-sama cari duit, cari show dengan menyanyi. Walaupun kami datang dari lain-lain negeri tapi semuanya berkumpul di Kuala Lumpur mencari rezeki.

Gambar kenangan Salwa dan Ramlah Ram bersama arwah Nassier Wahab (duduk paling kiri) bersama sahabat mereka.

“Salwa memang sedih, sebab Salwa sayangkan kawan-kawan (sambil teresak). Masa mula-mula menapak di Kuala Lumpur kami sama-sama susah. Bila dah `kehilangan’ mereka, Salwa amat terasa. Lepas beberapa minggu Nassier meninggal…Salwa masuk hospital sebab banyak memikir dan murung seketika kerana kami dah macam adik-beradik,’’kata Salwa yang bersyukur kerana suaminya, Bad banyak menasihatinya agar tidak terlalu banyak berfikir atau bersedih sebab mereka juga akan pergi satu hari nanti.

Menurut Salwa, bila sendirian di rumah dia banyak habiskan masa mengemas rumah sambil mendengar radio.

“Dah berumur ini, sambil kemas rumah, Salwa suka dengar lagu siaran Radio Klasik. Bila dengar lagu nyanyian kawan-kawan, Salwa akan terdiam sebentar…teringat kenangan bersama kawan-kawan masa menjayakan program televisyen terbitan RTM iaitu Mekar Sejambak.

Keluarga bahagia Salwa Abdul Rahman bersama anak dan suami tercinta.

“Setiap hari selepas sholat, Salwa tidak pernah lupa dan sentiasa mendoakan untuk sahabat-sahabat yang telah pergi dengan doa dan bacaan yasin. Salwa juga nak ucapkan terima kasih pada semua waratwan tak kira dari mana penerbitan yang selama ini banyak membantu kerjaya Salwa.

“Tanpa pertolongan semua, tak mungkin Salwa dapat capai cita-cita nak jadi penyanyi…penyanyi yang boleh hidup dengan hasil nyanyian dan semuanya hasil pertolongan kawan-kawan. Nak berjaya Salwa terpaksa melalui banyak dugaan dan cubaan,’’ ujar Salwa mengenai pengakhirannya yang kini bahagia bersama keluarganya.

Sebelum mengakhiri bicara, Salwa sempat menitipkan pesan,“Hargailah kawan-kawan semasa ada…bila tak ada, hanya tinggal kenangan yang cukup menyedihkan kerana mereka yang dah `pergi’ tak akan kembali lagi.”

 

Previous articleKebaikan dan manfaat buah Markisa
Next articleBorak Dalam Galley Zarul Umbrella dapat sambutan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here