Oleh: Wawa Najwa
TIAP kali mengadakan konsert di Malaysia jarang sekali penyanyi Andy Lau menghibur peminatnya untuk satu malam sahaja, selalunya pasti lebih.
Sebelum ini, Andy Lau atau nama sebenarnya Lau Fuk Wing hadir ke sini menjayakan konsert My Love Concert World Tour 2019 selama tiga malam di Axiata Arena Bukit Jalil.
Kali ini penyanyi yang digelar Hong Kong Heavenly King Andy Lau, 62, itu kembali untuk menjayakan konsert tour “Today…is the Day” di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24, 25, 26 dan 27 Oktober jam 8 malam.
Pengumuman jelajah baharunya yang dipersembahkan oleh Maybank dan MYEG, anjuran Star Planet itu telah mencetuskan keterujaan yang mendalam di kalangan peminat, yang tidak sabar-sabar menantikan untuk merasai karisma langsung superstar itu sekali lagi.
Selain mengadakan persembahan di Malaysia, Andy Lau juga bakal menemui peminatnya di pelbagai bandar di China, termasuk Hong Kong, Macau dan Singapura. Bagaimanapun, disebabkan jadualnya yang padat, jelajah konsert di Kuala Lumpur amat dihargai.
Pada mereka yang pernah menonton konsert Andy Lau sebelum ini pasti teruja dengan dendangannya dan selain itu persediaan pentas yang diketengahkan juga menarik.
Dengan pencahayaan yang canggih dan visual yang memukau, konsert ini menjanjikan pengalaman audio visual yang tidak dapat dilupakan.
Jangan lepaskan peluang anda untuk melihat Andy Lau secara langsung beraksi, mempersembahkan lagu terbaiknya dalam gabungan seni dan teknologi yang luar biasa.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.