Program I Can See Your Voice musim ketujuh kembali bersiaran.

Oleh: Wawa Najwa

SELAMA enam musim bersiaran, program realiti hiburan , I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) telah mencipta fenomena tersendiri dan menerima sambutan hangat saban tahun dengan capaian sehingga 14 juta tontonan sejak diperkenalkan.

Kini program yang dinanti-nanti oleh peminat setia itu kembali untuk musim ketujuh dengan penampilan penyanyi-penyanyi misteri bersama barisan panel baharu tetap yang terdiri daripada selebriti terkenal tanah air.

Seperti selalu, program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan itu menjanjikan lebih banyak kejutan dan persembahan yang luar biasa untuk penonton di seluruh negara.

Masih mengekalkan Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai pengacara.

I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh (ICSYVMY7) yang memulakan siarannya pada 23 Jun lalu, setiap hari Ahad, jam 9 malam di TV3 itu akan bersiaran selama 11 episod.

Penonton juga boleh strim langsung secara HD menerusi Tonton di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Untuk musim ini juga Izzue Islam dan Shiha Zikir dikekalkan sebagai pengacara kerana gandingan mantap mereka yang serasi dan lucu berjaya membuat peminat dan penonton setia ICSYVMY tidak kering gusi.

Manakala, barisan panel penyiasat tetap baharu yang bakal menyiasat terdiri daripada pelakon, pelawak dan penyanyi hebat tanah air iaitu Naim Daniel, Riena Diana, Bell Ngasri dan Siti Khadijah Halim.

Mampukah Bell Ngasri meneka siapakah penyamar?

Penerbit Eksekutif ICSYVMY7, Jamil Hassan berkata, konsepnya yang unik, menjadikan rancangan ini terus mendapat tempat di hati peminat dengan kombinasi hiburan, drama dan teka-teki yang mencabar.

“I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh menjanjikan banyak elemen-elemen baharu dan menarik. Penonton akan dapat menyaksikan gelagat lucu yang pasti dapat menceriakan malam mereka.

“Kami telah berusaha keras untuk memastikan setiap episod lebih menghiburkan daripada sebelumnya,” katanya yang bergandingan dengan Ikha Arnisya sebagai Penerbit.

Istimewanya musim ini, penonton akan menyaksikan ICSYVMY7 tampil dengan tema pakaian yang berbeza seperti Seram, Bollywood, Rock dan Retro di episod yang tertentu.

Naim Daniel antara barisan panel penyiasat tetap baharu.

Berbeza dari musim yang lalu, musim ini akan menampilkan artis jemputan bukan daripada kalangan penyanyi sahaja, bahkan juga pelakon dan pelawak.

Barisan panel tetap dan panel jemputan diberikan peluang sebanyak empat pusingan bagi membantu artis jemputan untuk memilih penyanyi yang sebenar.

Jika peserta yang berjaya mara ke pusingan akhir ialah seorang penyamar, beliau bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000. Manakala penyanyi sebenar mungkin akan berpeluang menyertai Alternate Records & Talents dan merakamkan single bersama komposer terkenal.

Program muzik misteri ini memerlukan kata sepakat bagi mengenal pasti dan membuat keputusan siapakah penyamar yang perlu disingkirkan.

Pelakon Siti Khadijah juga dipilih sebagai barisan panel penyiasat tetap baharu.

Seperti biasa, artis jemputan akan memperoleh bantuan dari panel penyiasat tetap dan panel penyiasat jemputan untuk mengenal pasti penyamar dan penyanyi sebenar pada setiap episod.

Antara artis jemputan yang akan meriahkan lagi suasana di ICSYVMY musim ketujuh ini adalah Sharif Zero, Chacha Maembong, Amy Mastura, Janna Nick, Khai Bahar, Adira Suhaimi dan ramai lagi.

Manakala, panel penyiasat jemputan pula terdiri daripada Ryan Bakery, Azhan Rani, Anna Jobling, Nadeera, Ernie Zakri, Datuk Yusof Haslam, Marsha dan ramai lagi.

Previous articleAwas! “Polis Peronda” sedang beroperasi
Next articleBiarkan Isteri tanggung nafkah? (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here