Anggota Cherry On Top berasal dari keluarga seni.

Oleh: Wawa Najwa

Nama Cherry On Top, mungkin baru dalam bidang seni tanah air. Namun anggota band rock progresif ini bukan tampil kosong kerana masing-masing ada ilmu dalam bidang muzik.

Empat daripada enam anggota Cherry On Top adalah pelajar dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), sementara pemain gitarnya, Didi, 22, adalah pelajar jurusan automotif di sebuah kolej tempatan dan pemain bass, Bobo, 18, yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia dan bakal meneruskan pengajian asasinya di ASWARA.

Bermula dengan nama Rock Ages kemudian ditukar kepada Cherry On Top.

Lain-lain anggota Cherry On Top ialah Kuzan atau Raja Hifzhan Shah Raja Mohd Sham, 22, selaku pemain keyboard dan penyanyi, Osama, 23, (gitar), Ayen Tommy, 25, (dram) dan Holy, 23, (vokalis utama).

Kuzan yang juga programmer dan mengetuai kumpulan yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, kesemua mereka mempunyai minat yang sama dan sebab itulah tertubuhnya Cherry On Top.

Sebagai permulaan, kumpulan ini tampil dengan EP keluaran syarikat rakaman One Scream Studio yang memuatkan lima lagu, iaitu ‘Mengintai Rahsia’, ‘Menunggu’, ‘Resolusi’, ‘Ketagih’ dan ‘Ketagih (Extended Version)’.

Kuzan adalah pemain keyboard untuk Cherry On Top.

Single pertama Cherry On Top adalah ‘Ketagih’, yang dicipta oleh Kusham dan lirik oleh Datuk Syafinaz Selamat. Kesediaan Syafinas untuk berkolaborasi dengan Cherry On Top adalah di luar jangkaan mereka.

Menurut Kuzan, Cherry On Top tak sangka penyanyi popular itu mahu berkolaborasi dengan mereka yang masih setahun jagung dalam bidang muzik.

Holy, vokalis utama dan satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan Cherry On Top.

“Siapalah kami ini berbanding beliau, Datuk Syafinaz Selamat?” Kesudiannya itu membakar semangat kami untuk memberikan yang terbaik bagi album ini.

“Setiap daripada kami mempunyai pilihan genre muzik yang berbeza. Ada yang suka pop, fusion, rhythm & blues sebelum sama-sama sepakat untuk menjadikan irama rock progresif sebagai titik permulaan kami dalam bidang ini,” katanya yang merupakan anak kepada Pengarah Muzik terkenal yang juga seorang gitaris, komposer, penyusun dan programmer muzik, selain menjadi Pemuzik Kanan, Orkestra RTM iaitu Raja Sham.

Ayen adalah anak Black, pemain dram kumpulan Wings.

Selain mewaris bakat seni daripada bapanya, Kuzan juga memperoleh bakat tersebut daripada ibunya, Zaira Aziz seorang guru vokal dan sering mengiringi persembahan penyanyi terkenal, selain mahir bermain flute dan turut menghasilkan lirik lagu.

“Sebenarnya, ada baik dan buruknya apabila ada orang tua terkenal ini. Sebagai tarikan, ya. Tapi tinggi jugalah jangkaan, adakah anak-anak sehebat orang tuanya. Kena usahalah dan jadi sebaik mungkin.

Bersama kumpulan Cherry On Top, Osama lebih senang sebagai pemain gitar.

“Sewaktu penubuhan band ini kami beri nama Rock Ages tapi bila difikir kami rasa nama itu tidak begitu komersial untuk dibawa menerobosi pasaran.

“Tatkala masih tercari-cari nama yang sedap didengar,
sesuai dengan prinsip, divisualkan pula dengan kehadiran Holy sebagai vokalis dan satu-satunya wanita dalam kalangan kami, lelaki, maka lahirlah Cherry On Top,” kata Kuzan.

Bobo adalah anggota paling muda dalam kumpulan Cherry On Top.

Sementara itu, Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael berkata, peluang untuk berkerjasama dengan Syafinaz amat bermakna buat dirinya.

“Semasa kecil, saya begitu mengagumi Datuk Syafinaz, terutama apabila beliau membuat ulasan dalam perjurian. Saya berangan alangkah seronoknya kalau dapat berjumpa.

“Rezeki saya, bukan setakat dapat berjumpa tapi dapat menyanyi dan rakam lagu bersama. Saya hilang kata-kata. Peluang ini adalah penghormatan terbesar buat band ini, memandangkan kami semua bukannya siapa-siapa pun,” kata gadis kelahiran Papar, Sabah yang dibesarkan dalam keluarga yang terlibat dengan muzik.

Didi merupakan penuntut jurusan automotif di sebuah kolej tempatan.

Bagi Osama atau nama penuhnya, Osama Yamani Jamal Ubaidillah, mengakui bapanya, Dato’ Jamal Abdillah yang membuka ruang kepadanya dalam seni.

“Cuma setakat itulah, selebihnya kata ayah, pandai-pandailah. Ertinya, band ini berdiri bukan sebab kami mempunyai ibu bapa yang terlibat dalam seni tapi kerana minat dan perjuangan mempertemukan kami semua,” katanya.

Bagi Ayen Tommy atau nama sebenarnya, Muhammad Khairin Azmi bakat bermain dram diinspirasi daripada bapanya iaitu Black pemain dram kumpulan Wings.

Cherry On Top mempertaruhkan single ‘Ketagih’ kolaborasi bersama Syafinaz Selamat.

Manakala Didi atau Muhammad Danish Danial dan Bobo terlibat dalam seni kerana penglibatan bapa mereka dalam industri rock, termasuk menguruskan band seperti Def-Gab-C dulu.

Kesemua anggota band Cherry On Top tidak bergantung kepada kelebihan ibu bapa masing-masing kerana mereka sepakat untuk mencipta populariti atas usaha sendiri.

Previous articleKonsert “Journey” Awie yang terakhir
Next articleAwas! “Polis Peronda” sedang beroperasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here