Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA
PADA era kegemilangan filem Melayu tahun 1960-an, nama Bat Latiff memang cukup dikenali bukan sahaja kerana perwatakannya yang ‘comel dan menarik’ malah bakatnya dalam bidang lakonan telah mencatatkan sejarah tersendiri bukan sahaja buat dirinya malah sejarah perfileman Melayu apabila dua kali dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di peringkat antarabangsa.
Pertama kali, Bat Latiff menerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke- 5 pada tahun 1960 di Tokyo kerana lakonannya dalam “Lela Manja.”

Bat Latiff buat kali keduanya dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-7 pada tahun 1962 di Taipei kerana lakonannya yang cemerlang dalam filem “Gerhana.” Kedua-dua filem berkenaan diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong.
Kejayaan yang dicapai Bat Latiff membuatkan ada yang menganggap beliau adalah pelakon kanak-kanak yang ‘outstanding’ dan ‘legend’ kerana bukan mudah meraih dua kali kejayaan pada festival filem peringkat antarabangsa.


Begitulah hebatnya bakat lakonan Bat Latiff yang mana sejak kecil sering mengikut ibu dan ibu saudaranya, Seniwati Saadiah ke studio dan terdedah dengan suasana kerja dunia perfileman.
Bukan itu sahaja, disebabkan menetap di Boon Teck Road yang merupakan perkampungan para seniman dan seniwati berhampiran Malay Film Productions membuatkan lakonannya tampak natural dalam setiap filem yang dilakonkannya.


Jika pada mulanya beliau sekadar menemani ibunya, Seniwati Mariam dan ibu saudaranya, Seniwati Datin Saadiah menjalani penggambaran di Malay Film Productions pada sekitar tahun 1960-an, akhirnya membuktikan beliau bukan calang-calang pelakon kanak-kanak!
Siapa sangka, pelakon dengan nama sebenarnya Mohd Ali Abdul Latiff yang dilahirkan pada 10 Jun 1951 di Changi, Singapura yang diberi gelaran ‘Jebat’ oleh Seniman dan Pengarah, AR Tompel kerana kenakalannya kemudian dipanggil ‘Bat Latiff’ mampu membuka mata para juri peringkat antarabangsa.

Realitinya kehadiran beliau bukan sekadar menyerikan filem Melayu tetapi mampu menggoncang pentas dunia!
Bat Latiff mula diperkenalkan dalam bidang lakonan apabila Jamil Sulong yang dalam proses mengarah filem pertamanya “Batu Belah Batu Bertangkup” (1959) sering ternampak kelibatnya di studio MFP (Malay Film Productions).


Suatu hari beliau bertanya Bat Latiff sama ada berminat berlakon atau tidak.
Bat Latiff yang ditanya sekadar menganggukan kepala dan sejak kemunculannya sebagai Pekan dalam “Batu Belah Batu Bertangkup” membuatkan beliau sering menjadi pilihan pengarah untuk watak kanak-kanak dalam filem arahan mereka.



Terbukti, Bat Latiff bukan setakat kanak-kanak yang hanya layak menemankan makciknya menjalani penggambaran malah dia juga berbakat.
Bakat Bat Latiff, anak kepada Seniwati Mariam tidak terhenti setakat filem berkenaan malah sejak itu, satu demi satu tawaran diterima menjadikan beliau pelakon kanak-kanan yang diminati.
Setelah filem itu, pada tahun yang sama, Bat Latiff ditawarkan berlakon filem “Nujum Pa’ Blalang” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Filem ini dikatakan telah membantu mempopularkan Bat Latiff kerana watak yang disantuni sebagai Blalang meninggalkan banyak kenangan di hati para penonton kerana keletahnya.


“Filem berkenaan dinobatkan sebagai Filem Komedi Terbaik dan banyak membantu mempopularkan Bat Latiff dengan wataknya sebagai Blalang anak kepada Pak Belalang.
“Bukan itu sahaja, keletah Blalang yang mencuit hati, pandai membuat helah dan bijaksana meninggalkan kesan mendalam di hati para penonton.



Sepanjang tujuh tahun menceburi bidang lakonan Bat Latiff telah membintangi
14 filem antaranya “Musang Berjanggut”(1959), “Lela Manja”(1960), “Singapura Dilanggar Todak,” (1960), “Si Tanggang” (1961), “Lubalang Daik, (1962), “Bidasari”(1965), “ Aksi Kuching,”(1966) dengan filem terakhir “Satu Titik Di Garisan” yang diterbitkan pada tahun 1973.
Apabila era Studio Jalan Ampas berakhir, Bat Latiff berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertukar karier daripada seorang pelakon beliau menjadi penari dan koreografer tarian.


Bat Latiff dibimbing oleh Saadiah sebagai penari dengan menubuhkan Saadiah Dancers. Bagaimanapun jiwa seninya yang menebal membawa Bat menubuhkan kumpulan tariannya sendiri yang dikenali Bat Latiff’s Dancers.
Pada saat-saat akhirnya, Bat Latiff masih aktif sebagai koreografer dengan membimbing para peserta Bintang RTM musim terbaru dan kumpulan penari cilik yang diberi nama ‘Anak-Anak Belalang.’


Adalah difahamkan sebelum meninggal dunia secara mengejut, Bat Latiff pernah melahirkan rasa terkilannya kerana hasratnya untuk mengambil semula dua trofi yang pernah dimenangi pada Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo (1960) dan Festival Filem Asia Pasifik di Taipei (1962) sambil berkata;
“Sepatutnya dua trofi yang saya menang itu disimpan di muzium kita. Ia melambangkan kejayaan peribadi saya. Ini sejarah seni budaya kita.

Apabila dewasa watak Tanggang dilakonkan oleh Jins Shamsuddin.




“Sayang saya tidak tahu ke mana dua trofi saya itu. Apa yang saya tahu pihak Shaw menyimpannya di Hong Kong. Saya berharap kerajaan dapat membawa balik trofi itu ke negara kita kerana ia adalah hak kita,” kata Bat Latiff.
Bat Latiff meninggal dunia pada 3 Mei 2005 kerana lemah jantung, lelah, darah tinggi dan kencing manis pada usia 53 tahun di rumahnya di Desa View, Ampang, Hulu Kelang. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate.


DARI kiri: Fazlina, Eman Manan, Ahmad Daud, Fauziah dan Saadiah.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.