Oleh: Nafsiah Jani
Buat julung kalinya, Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sahsiah (SAHSIAH), Persatuan Kebajikan Muafakat Bersaudara, dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Harmoni Bukit Mertajam dan Pertubuhan Penggerak Nadi Muda Pulau Pinang (PPNM) akan menganjurkan sebuah program Karnival Gen-AI di Pulau Pinang.
Karnival Gen-AI akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 21 Jun 2024 (Jumaat) dan Sabtu, 22 Jun 2024 bertempat di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang.
Penganjur Bersama, Muhammad Fadzli Roslan berkata,“Karnival ini terbuka kepada orang ramai khususnya anak-anak muda di sekitar Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak. Pelbagai program menarik disediakan di mana para pengunjung karnival akan disajikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Muay Thai Kuda Merah.
“Selain itu, turut diadakan ialah karnival kerjaya, pameran agensi dan pertandingan e-sports yang pastinya dapat menarik kehadiran peminat ke Pakat Mai Karnival Gen-AI. Jadi mana yang nak cari kerja tu, datanglah beramai-ramai,” katanya.
Fadzli berkata, Selain program menarik yang disusun, kami turut membariskan persembahan artis popular buat menghiburkan pengunjung yang datang.
“Pengunjung juga berpeluang bertentang mata dan berhibur dengan persembahan artis tempatan seperti Apak & Chombi, kumpulan Khalifah, Senario, Floor 88 dan Sufian Suhaimi.
“Selain berhibur, pengunjung bertuah juga bakal membawa pulang hadiah-hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang diadakan. Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan untuk hadir beramai-ramai ke Karnival Gen-AI di C-Mart, Simpang Ampat, Pulau Pinang ini,” katanya.
Sementara itu, Sufian Suhaimi mengakui bertuah diundang untuk terbabit dalam Karnival Gen-AI dan tidak sabar untuk bertemu peminatnya.
“Saya sememangnya seronok menyertai program sebegini kerana dapat mendekatkan saya dengan peminat. Tiada jurang antara saya dengan mereka. Suasananya show tempat terbuka ini amat berbeza dengan persembahan di tempat tertutup kerana penonton yang hadir hanyalah golongan tertentu sahaja dan terhad.
“Tapi di karnival begini, semua orang boleh hadir untuk menonton persembahan saya dan artis-artis lain. Lebih dari itu, mereka juga dapat membeli- belah dan terbabit dengan program bermanfaat lain yang disediakan,” katanya.
Pendapat sama turut diluahkan oleh kumpulan Floor 88 yang popular menerusi lagu Hutang. Mereka berjanji akan memberikan persembahan hebat kepada pengunjung yang datang nanti.
“Datang sendiri dan saksikan persembahan kami serta artis lain yang dibawakan. Lagipun bukan senang barisan artis terkenal nak turun padang seperti dalam karnival ini.
“Jadi kami menyeru kepada semua agar datang beramai-ramai menyokong usaha yang digerakkan oleh empat persatuan ini. Kami percaya ia pasti akan menjadi kenangan manis buat anda nanti.”
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.