Oleh : Nafsiah Jani
Kemiskinan tidak akan diwarisi jika kita mempunyai pendidikan. Itulah yang cuba diterapkan kepada pelajar-pelajar di bawah bimbingan Dignity yang menyediakan pendidikan holistik kepada pelajar-pelajar miskin bandar.
Mereka bertuah kerana dapat mendengar perkongsian ilmu selama dua jam daripada Pengarah Urusan Rasa Rosz Sdn. Bhd., Datuk Sri Rozita Ramelan yang turut berkongsi pahit- maung dirinya sebelum bergelar usahawanita berjaya seperti sekarang ini.


Sepanjang majlis berlangsung, para pelajar seramai 22 orang bersama guru mereka terpegun dengan penerangan dan rahsia kejayaan Datuk Sri Rozita. Nampaknya mereka begitu seronok dan teruja dengan perkongsian ilmu yang dikongsikan pada 6 Jun lalu bertempat di Restoran Rasa Rozs milik Datuk Sri Rozita di AEON Big, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Selesai taklimat para pelajar juga berpeluang untuk mengajukan sebarang persoalan.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keceriaan dan gelak ketawa ini menyaksikan pelajar-pelajar begitu bersungguh-sungguh menyalin apa saja yang dikatakan Datuk Sri Rozita.


“Saya pernah susah dan saya juga bermula daripada bawah dan lihatlah sekarang ini kejayaan yang telah saya capai dalam hidup ini. Nak berjaya, kita kena rajin berusaha dan tidak mudah menyerah kalah dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Nak jadi orang berjaya, kita juga perlukan pelajaran.
“Dari makan gaji, kini saya menjadi ‘bos’ sendiri dan punya syarikat, restoran serta beberapa bisnes yang boleh saya banggakan. Jadi saya harap anda sekalian yang berada di sini hari ini jangan mudah menyerah kalah. Untuk berjaya kita kena terus berusaha dan anggaplah kesusahan hidup kita sebagai cabaran untuk kita buktikan bahawa kita boleh menjadi seseorang di masa hadapan,” kata Rozita lagi.


Rozita yang juga Pengarah Urusan Kabinet Prive Sdn. Bhd. menambah,“Guru yang baik tidak semestinya sentiasa memberi jawapan yang tepat. Guru yang baik juga tidak semestinya mengajar berdasarkan apa yang terdapat dalam buku pelajaran sebaliknya mereka perlu melangkaui lebih jauh untuk memahami apa yang diperlukan untuk masa hadapan. Guru juga perlu menyakinkan pelajar bahawa tidak ada perkara yang mustahil dalam hidup ini yang tidak boleh digapai jika kita berusaha bersungguh-sungguh.


“Walaupun anda semua dari keluarga yang kurang berkemampuan, namun anda cukup bertuah kerana mempunyai guru dan masyarakat yang mengambil berat. Saya harap, keyakinan yang ditunjukkan akan membuatkan pelajar ini bangkit dengan semangat juang yang kuat dan dapat mengatasi segala ketakutan dan kelemahan yang ada dalam diri mereka.
“Saya juga berharap dapat melihat Restoran Rasa Rosz membangun dan maju untuk menjadi tapak bagi mengajar generasi muda dalam bidang F&B, kulinari dan menjual barangan pengguna bergerak cepat (FMCG).”


Selepas taklimat, para pelajar bersama guru mereka di bawa melihat sekitar kawasan dapur bagi memberi pendedahan mengenai suasana sebenar dapur memasak sesebuah hotel atau restoran. Mereka juga didedahkan dengan penyediaan spageti sebagai menu simple yang menjadi menu pilihan setiap pengunjung.
Yayasan Dignity for Children adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memasukkan latihan kemahiran kerja melalui program Transformasi Enterprise. Program ini membekalkan kanak-kanak miskin dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengubah kehidupan mereka melalui perusahaan transformasi dalam bidang makanan, jahitan, dandanan rambut, pertanian dan lain-lain lagi.

Visi dan misi Dignity adalah untuk memupuk dan membuat perubahan masa depan melalui pendidikan komuniti bertaraf dunia dan perusahaan latihan transformasi. Mereka komited untuk membina generasi pendidik dan kakitangan sokongan yang bersemangat, mahir dan bercita-cita tinggi.
Yayasan Dignity for Children yang berjiwa muhibbah ini didedikasikan untuk memberikan penjagaan dan pendidikan holistik kepada kanak-kanak miskin bandar. Mereka berperanan untuk memutuskan kitaran kemiskinan melalui pendidikan transformative.



Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.