Oleh : Syed Wafa
Foto : Megatix Malaysia
Putri Ariani satu nama besar dari negara seberang, Indonesia yang berjaya mencipta nama diperingkat antarabangsa malah mempunyai jutaan peminat di Malaysia. Pastinya dengan kehadiran Putri Ariani ke Malaysia sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh peminat setia beliau di sini.
Kecoh baru-baru ini pihak media tidak berpuas hati dengan sikap Putri Ariani kerana menunggu dua jam untuk temu bual seterusnya bersama beliau. Pihak media juga melaporkan mereka hanya berpeluang melontarkan tiga soalan yang dijawab secara ringkas dan acuh tidak acuh oleh Putri Ariani pada sidang akhbar tersebut, menyebabkan permintaan dibuat kepada penganjur untuk sesi temu bual bersama penyanyi itu dapat dilakukan semula tetapi hampa.
Penganjur Konsert Walkerworld Tour 2024, Megatix enggan menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak berhubung kekecohan yang berlaku di antara media dengan Putri Ariani dalam sidang akhbar tersebut.
Menurut Megatix Malaysia, sebenarnya banyak salah paham dan pihak Putri Ariani sudah beri kerjasama yang terbaik untuk sidang media tersebut . Dari awal sidang media sehingga temubual eksklusif bersama beberapa media termasuk Melodi TV3, Wafa TV, RTM berjalan dengan lancar. Malah Putri Ariani luangkan masa lebih sejam untuk bersama media.
Pihak penganjur juga mengakui memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tular berkenaan serta mengambil pendekatan untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan hal sama tidak akan berulang lagi di masa akan datang.
Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad berkata, pihaknya sedar bahawa insiden yang tidak disengajakan itu telah mencalar hati rakan-rakan media tempatan dan pihak mereka amat kesal dengan apa yang berlaku.
“Pihak kami sangat menghargai dan menyanjung tinggi kerjaya, laporan dan liputan berita berterusan media tempatan dan sangat menyesali insiden salah faham yang berlaku dalam sidang media sebelum ini dan sedar ia adalah kekhilafan kami.
“Oleh itu, saya Ridzuan Mohammad, selaku Pengarah Megatix dengan rasa rendah hati benar-benar memohon maaf kepada semua rakan media dan mengharapkan sesi santai ini dapat membuka lembaran baru antara semua pihak terlibat.
“Pihak kami juga berharap rakan media akan terus memberikan sokongan kepada Megatix dan sedia menerima penjelasan maaf kami, selepas konsert ini banyak lagi konsert yang akan dianjurkan oleh Megatix, sesungguhnya pihak kami memerlukan pertolongan dari pihak media,” katanya bersungguh-sungguh.
Ridzuan berkata demikian pada satu sesi pertemuan secara santai bersama media berhubung dakwaan Putri Ariani yang bersikap tidak profesional terhadap pihak media tempatan.
Ridzuan memberitahu, semasa insiden itu berlaku, dia tidak berada di situ kerana keluar seketika bagi meraikan kehadiran tetamu serta tidak sedar akan salah faham yang berlaku antara pihak media dengan Puteri Ariani.
“Megatix hanya menyedari salah faham tersebut setelah melihat laporan media mengenai dakwaan Puteri Ariani telah mengabaikan dan tidak mengendahkan kehadiran rakan media sehingga menerima kecaman hebat daripada netizen di pelbagai platform media sosial.
“Kami berharap Puteri Ariani tidak akan dipersalahkan dan tidak adil untuk menyalahkan beliau atas kesilapan dan kekhilafan kami mengendalikan sidang media itu. Pihak kami khuatir kecaman daripada netizen ini bakal memberi kesan terhadap emosi Puteri Ariani seterusnya menjejaskan persembahan beliau,” katanya.
Katanya, Megatix juga mengambil iktibar dan teladan dalam pengurusan acara pada masa hadapan dan bersedia menerima teguran mahu pun nasihat rakan media.
“Sekali lagi memohon seribu kemaafan di atas ketidaksempurnaan yang terjadi semasa sidang media baru-baru ini,” katanya lagi.
Walkerworld Tour 2024 yang merupakan konsert jelajah Alan Waker bakal diadakan di Surf Beach Sunway Lagoon pada 22 Jun ini. Pada konsert ini, Alan Walker yang merupakan dj serta produser muzik EDM kelahiran Norway bakal diiringi dengan persembahan artis jemputan seperti Putri Ariani, Robin Packalen dan Sofiloud.
Menurut Datuk Shariffah Maznee Al-Attas Haji Syed Noor Osman, Pengerusi Bukan Eksekutif Magatix Malaysia, Sebahagian daripada jualan tiket akan disalurkan kepada NGO Family of Charity yang juga merupakan rakan strategik kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
“Saya amat berharap ramai yang membeli tiket untuk konsert ini kerana sambil berhibur anda juga beramal untuk membantu mereka yang memerlukan,” kata Shariffah bersungguh-sungguh.
“Bagi pihak kami sekali lagi memohon maaf di atas apa yang berlaku dan berharap tidak ada lagi salah paham kepada pihak Putri Ariani yang sudi hadir untuk melakukan kerja amal di Malaysia,” kata Shariffah lagi.
Pada petang tersebut juga pihak Megatix Malaysia telah merainkan pihak media yang hadir sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 dalam suasana yang meriah.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.