Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Ning Baizura/Koleksi Syed Wafa
SEWAKTU awal kemunculan Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, ramai yang terpesona dengan kelainan yang ditampilkan oleh penyanyi kelahiran Kajang, Selangor itu.
Ketika itu Ning tampil dengan bersuara soprano dan kehebatan vokalnya yang versatil serta unik itu melonjak namanya yang sebelum itu memenangi tempat ketiga di pertandingan Voices of Asia di Kazakhstan ketika usianya 17 tahun.
Ning mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian seawal usia empat tahun. Waktu usia sembilan tahun, dia mula memasuki kelas vokal Soprano yang diajar oleh pemuzik profesional Indonesia, Siti Chairani. Pada waktu itu, beliau juga menyanyi bersama Koir Kebangsaan di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Lagu “Curiga” yang dimuat dalam album “Dekat Padamu” merupakan album studio sulung Ning yang dikeluarkan pada 15 September 1993 oleh Sony Music Entertainment. Sejak album pertama hingga kini, Ning telah menerbitkan kira-kira 13 album studio.
Malah populariti lagu “Curiga” berjaya melonjakkan namanya, sekali gus Ning dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik Pertama pada 1993.
Antara lagu-lagu yang menjulang nama Ning ialah “Kau dan Aku”, “Asmara”, “Kembali”, “Selagi Ada… (Cinta)”, “Awan Yang Terpilu” dan “Bukan Wanita Sempurna”.
Selain itu, bakat luar biasa yang dimilikinya itu juga telah membawa namanya hingga merentasi ke beberapa negara seperti di Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan beberapa lagi negara lain. Ia sekali gus mengiktiraf Ning sebagai artis antarabangsa setanding dengan Anita Sarawak dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.
Untuk album kedua yang berjudul “Ning” yang diterbitkan pada lewat 1994, bagi menampilkan kelainan Ning memilih komposer dari negara luar termasuk Jepun, Thailand dan Indonesia. Single pertama yang dikeluarkan untuk album ini ialah “Kau & Aku”.
Selain album berbahasa Melayu, Ning juga sempat muncul dengan dua album Inggeris iaitu Always (1997) dan East To West (2008).
Dalam melayari perjalanan seninya itu, pada tahun 2001, Ning telah mencipta rekod tersendiri apabila menjadi artis Malaysia pertama menandatangani kontrak dengan stesen televisyen Singapura, sekali gus menerima pengiktitafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR).
Ning juga mendapat penghormatan untuk merakam single berjudul “Perwira” hasil nukilan Aubrey Suwito dan Ahmad Izham Omar yang ditujukan khas kepada tentera negara.
“Perwira” merupakan lagu tema kempen Hari Pahlawan 2020 dan diterbitkan secara kerjasama antara Media Prima Berhad dan Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain menyanyi dan mengadakan persembahan pentas di dalam dan luar negara, Ning juga sempat menunjukkan bakatnya dalam bidang lakonan. Kerjaya lakonan Ning bermula pada 1996 apabila beliau ditawar membintangi sitkom “Lontong” sebagai Eton di bawah arahan Azwan Ali.
Pada 1997 pula, Ning menerima tawaran Datuk Yusof Haslam untuk berlakon dalam filem “Gemilang” sebagai Rita yang menggandingkan beliau bersama Erra Fazira dan Hans Isaac.
Meskipun ketika itu beliau masih baharu dalam bidang lakonan, Ning bertuah kerana sering digandingkan dengan barisan pelakon popular seperti Ziana Zain dan Datuk Awie dalam filem “Maria Mariana II” menerusi watak Rozie.
Lain-lain filem lakonan Ning ialah filem romantik “Mimpi Moon” arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba lakonan bersama Rashidi Ishak dan Kavita Kaur, sebagai Hamidah dalam filem pendek “Malaikat di Jendela” arahan Osman Ali, “Lady Boss” arahan Datuk Dr Abdul Razak Mohaideen, “Diva” arahan Sharad Sharan yang dibintangi oleh pelakon-pelakon Malaysia dan Indonesia.
Bakat lakonan Ning juga menyerlah dalam filem “Muallaf” arahan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai ibu tiri dan melakonkan watak sebagai Marina Mahathir, anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam filem biopik “Mahathir: The Journey” arahan Hatta Azad Khan.
Sepanjang melayari dunia seni, Ning juga pernah mengalami jatuh bangun. Namun semua itu tidak mematah semangatnya untuk terus berjuang sebagai anak seni.
Sebagai public figure seperti penyanyi lain, isteri kepada Omar Shariff Christopher Layton Dalton dan ibu kepada Ryan Sky Dalton, 11, itu juga tidak lepas daripada menjadi ‘bahan’ bualan netizen.
Antara isu yang membabitkan Ning adalah netizen mempertikai persembahannya di kelab malam pada tahun lalu. Jelas Ning, beliau mengadakan persembahan (urusan kerja) di situ.
“Nak cakap apa, cakaplah. Saya dah tak kuasa nak merapu atau nak marah netizen ke apa. Persembahan berlaku sebelum bulan Ramadan. Kalau dulu saya nangis buat sidang media. Sekarang ini, saya malas nak fikir sangat selagi tak kacau periuk nasi saya,” itu antara maklum balas yang diberikan oleh Ning yang dipetik daripada Kosmo Online.
Pada tahun ini Ning masih lagi menjadi ‘bahan’ netizen dan terkini namanya menjadi bualan apabila dikatakan tidak cakna dengan isu kemanusiaan mengenai isu di Rafah. Ekoran itu nama Ning antara artis menjadi sasaran dalam senarai boikot menerusi kempen #blockout2024.
Namun Ning menerusi Instagramnya menjelaskan bahawa pertanyaan ‘who’s that’ itu tidak ditujukan kepada Rafah dan situasi ketika siaran langsung itu berlaku dalam konteks yang disalah tafsir oleh segelintir pihak.
“Sesi live itu adalah Ning Oke Session iaitu sesi karaoke saya bersama peminat. Ia sesi satu malam yang saya dedikasikan untuk menghiburkan dan mendekati peminat-peminat saya.
“Mudah bagi orang untuk sunting dan potong bagi menampakkkan ia jadi seperti apa yang sedang tular sekarang ini. Saya tidak berniat menyakiti hati sesiapa. Saya tahu apa yang sedang berlaku di Palestin dan saya juga banyak melakukan sumbangan untuk mereka di sana.
“Bagi saya, kalau kita buat perkara amal ini tak perlulah nak uar-uarkan. Biar diri kita dan Allah saja yang tahu,” katanya yang turut meminta sesiapa yang tidak suka padanya bolehlah unfollow daripada mengeluarkan kata-kata kesat di platform media sosialnya.
Enggan mengalah dengan tohmahan daripada orang luar yang tidak mengenali peribadinya, Ning lebih senang memberi fokus kepada tanggungjawabnya sebagai anak, isteri, ibu dan guru vokal pada anak-anak muridnya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.