Sanisah Huri gembira dapat melawat Rumah P. Ramlee di Pulau Pinang baru-baru ini

Oleh : Syed Wafa
Foto : Syed Wafa

Pada 29 Mei akan datang genablah 51 tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, namun begitu kehebatan karya beliau terus hidup dan menjadi teladan untuk semua lapisan masyarakat tak kira agama dan bangsa.

Sesungguhnya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee kekal relevan sebagai ikon perpaduan dengan legasi peninggalannya yang terus menjadi wadah penyatuan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Sanisah Huri juga ada kenangan manis bersama P. Ramlee yang tidak dapat beliau lupakan

Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami berkata, ini terbukti menerusi penganjuran program Minggu Kenangan P Ramlee: Aku Dia dan Lagu yang berjaya merekodkan kehadiran 10,000 peserta dengan pelbagai program pengisian diatur selama enam hari oleh Arkib Negara Malaysia selaku agensi peneraju.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof, beliau amat gembira dengan kejayaan Minggu P. Ramlee ini dan buat julung kali, program tokoh negarawan ini dibuat dalam skala besar di Pulau Pinang.

Azman (bertopi biru) juga tidak melepaskan peluang melawat rumah P. Ramlee

“Banyak aktiviti dijayakan termasuklah lawatan ke Galeri dan Rumah Kelahiran P Ramlee, Seminar Pemikiran Sepanjang Riwayatku dan Majlis Apresiasi Malam Bulan Di Pagar Bintang.

“Turut diadakan Ceramah Perdana di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas bertajuk Berkorban Apa Sahaja disampaikan oleh Datuk Badli Shah Alauddin yang berkongsi mesej yang disampaikan Allahyarham menerusi filem arahannya begitu mendapat sambutan,” kata Azman bersungguh-sungguh.

Persembahan bertenaga Sanisah Huri dan Najua Nasir menghiburkan tetamu dengan lagu “Hanya Dikau”
Tetamu terhibur lagu “Malam Bulan Dipagar Bintang” nyanyian Sanisah Huri dan Ameng Spring

Antara aktiviti lain, turut berlangsung Larian dan Kayuhan Uda dan Dara membabitkan pendaftaran lebih 1,000 peserta sempena Program Minggu Kenangan P Ramlee: Aku, Dia dan Lagu di Lebuh Pantai.

Terdahulu, program Minggu Kenangan P Ramlee: Aku Dia dan Lagu bermula antara 7 Mei lalu hingga 12 Mei

Penuh nostalgia…Azman bersama artis jemputan serta seniwati legenda bersama-sama menyanyikan lagu “Dimana Kan Ku Cari Ganti”

Menurut Azman lagi, menyifatkan penganjuran program berkenaan amat besar makna dalam usaha memartabatkan ketokohan dan sumbangan Allahyarham P Ramlee dalam bidang seni dan budaya.

“Meskipun selepas 51 tahun pemergian Seniman Agung itu, legasi peninggalannya terus mekar dalam ingatan dengan jasanya memperkasa perpaduan melalui karya berkonsep kesepakatan sosial yang diterapkan pemilik nama Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh itu akan terus diingati.

Najua Nasir bersuara mantap mengetuai nyanyian lagu “Dimana Kan Ku Cari Ganti”

” Allahyarham P Ramlee selaku tokoh genius dalam bidang seni mempunyai daya pengamatan tajam terhadap masyarakat sehingga mampu menghasilkan karya bermutu tinggi dan dekat di hati penonton dengan hasil karya malar segar dan melampaui zaman.

“Seni tiada sempadan membolehkannya menjadi antara komponen perpaduan sangat bernilai dengan semangat perpaduan boleh diterapkan dan disuburkan melalui karya seni sebagaimana dihasilkan Allahyarham P Ramlee.

Seniwati legenda Datuk Rosnani Jamil agak sebak ketika lagu “Dimana Kan Ku Cari Ganti” dinyanyikan
Pertemuan bersejarah tiga legenda Sophia Ibrahim, Sanisah Huri dam Mak Mah

“Beliau menggabungkan unsur pelbagai kaum dalam penceritaan yang mampu menyentuh hati penonton melalui lontaran dialog sarat dengan nilai kemasyarakatan. Terlalu banyak nilai positif dan pengajaran yang boleh diambil dalam babak filemnya.

“Allahyarham P Ramlee juga mendidik masyarakat tanpa mengira status sosial dan mesej diselitkan sama ada dalam bentuk lagu atau filem yang masih relevan diterapkan dalam kehidupan seharian khususnya masyarakat majmuk di Malaysia,” ujar Azman

Antara barisan artis hebat yang menjayakan Majlis Makan Malam Minggu Kenangan P. Ramlee baru-baru ini
Sanisah Huri mengucapkan terima kasih kepada Azman kerana sudi menjemput beliau menjayakan Minggu Kenangan P. Ramlee

Azman juga amat teruja bidunita legenda Sanisah Huri sudi datang untuk memeriahkan Minggu Kenangan P. Ramlee walaupun beliau agak sibuk dengan aktiviti seninya di Singapura.

“Saya amat terharu kerana Kementerian Perpaduan Malaysia serta Arkid Negara Malaysia sudi menjemput saya untuk bersama-sama mengenang insan hebat ini.

“Saya pernah bertemu P. Ramlee di rumahnya di Setapak, ketika itu bersama Datuk Sharifah Aini dan Kassim Masdor, kami berbincang mengenai program untuk RTM.

Sanisah Huri juga mengucapkan terima kasih kepada Puan Zainab (paling kanan) dari Arkib Negara Malaysia di atas layanan mesra sepanjang beliau di Pulau Pinang
Muhammad Hilman Abdul Samat bersama keluarga tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama Biduanita Sanisah Huri

“Beliau seorang yang sungguh bersopan dan pandai berjenaka, sepanjang pertemuan itu kami banyak ketawa dengan jenaka beliau,” cerita Sanisah Huri mengenang pertemuan bersama P. Ramlee yang amat beliau kagumi.

Pada majlis makan malam sempena Minggu Kenangan P. Ramlee itu, Sanisah Huri telah menghiburkan tetamu dengan lima buah lagu iaitu “Hanya Dikau” berduet bersama cucu P. Ramlee yang berbakat besar, Najua Nasir, “Aidilfitri”, “Malam Bulan Pagar Bintang” berduet bersama Aming Spring, “Ku Jangan Ditinggal Tinggalkan” dan “Si Baju Hijau”. Ternyata tetamu terhibur dengan persembahan bertenaga Sanisah Huri.

Saraswathy (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pakaian Wanita Terbaik sempena majlis penutupan program Minggu Kenangan P. Ramlee baru-baru ini

Tahniah dari Ladybosz dengan kejayaan cemerlang Minggu P. Ramlee: Aku Dia dan Lagu dan diharapkan program seperti ini akan berterusan dalam mengenang insan-insan hebat dan berjasa seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Previous articleRaja Azrey laku sebagai pengarah iklan pendek
Next articleSelamat Hari Guru!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here