Noryn salah seorang juri untuk Anugerah Juara Lagu ke-38 baru-baru ini.

Oleh: Wawa Najwa
Fito: Ehsan Noryn Aziz/Koleksi Syed Wafa

PENYANYI Noryn Aziz dan suami, Shaik Rizal Shaik Sulaiman tidak perlu kecoh untuk balik beraya di kampung siapa bila raya. Noryn yang bergelar isteri kepada ahli perniagaan itu berkata, mereka beraya di Kuala Lumpur saja kerana masing-masing tidak ada kampung halaman.

“Sejak berkahwin pada 2020, setiap tahun saya beraya di Kuala Lumpur kerana saya tak ada kampung dan suami pun sama tak ada kampung jadi kami berdua beraya di Kuala Lumpur saja.

“Kami beraya bersama dengan ibu-ibu saja iaitu ibu saya dan ibu mentua kerana kedua-dua ayahanda sudah meninggal dunia. Kami beraya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan di Shah Alam.

Di awal kemunculan Noryn Aziz di dalam bidang seni bersama kumpulan Sister-Sister

“Menariknya, kebanyakan saudara mara pun ramai di Kuala Lumpur, jadi kita akan atur rumah untuk pergi beraya bermula raya pertama, kedua, ketiga dan seterusnya,” kata Noryn ketika ditanya tentang sambutan raya kali ini.

Noryn atau nama penuhnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 48, yang popular dengan lagu Cerita Cinta itu juga melahirkan rasa gembira kerana pada tahun ini juga beliau telah melahirkan single baharu berjudul Kertas.

Kali terakhir Noryn menghasilkan mini album adalah pada 2010 berjudul I’m Alright yang mengandungi enam buah lagu yang juga menggabungkan irama jaz, R&B dan soul.

Album solo pertama Noryn Aziz ‘Fantasi O Realiti’ pada tahun 1997

Album tersebut diterbit selepas dua tahun Noryn muncul sebagai juara program realiti TV, Gegar Vaganza musim kelima pada 2018. Pada 2023, Noryn muncul dengan single berjudul Kau hasil ciptaan sepenuhnya oleh Indra dan dirinya sendiri.

Bagaimanapun sekarang ini Noryn mempertaruhkan single Kertas, ciptaan Amylea Azizan sebagai usaha untuk beliau terus aktif dalam bidang seni suara.

“Sebelum ini saya terlalu overthinking, selalu fikir dan bertanya pada diri, bolehkah keluar lagu baharu, orang dapat terima atau tak? Tapi kali ini saya dah melepasi fasa itu dan apa yang penting, saya hanya ingin berkarya. Tak kisahlah orang nak suka atau tidak, janji karya yang dihasilkan itu berkualiti dan sedap didengar.

“Saya mengambil kesempatan untuk tampil dengan Kertas dan single ini pun bukanlah secepat mungkin tapi tak adalah menunggu masa lama. Sebelum ini saya lama berehat dan selepas GV masih menunggu untuk keluarkan lagu tak buat apa-apa.,” katanya.

Noryn yang sangat sinonim dengan genre jaz, R&B dan soul, berjaya membuktikan selaku penyanyi beliau mempunya kredibiliti yang besar dalam ruang lingkup nyanyiannya.

Noryn Aziz gembira diberi kesempatan menyanyikan lagu Kertas untuk runut bunyi drama Khun: Sa.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Radius One dan Budak Ijat (Shahrulezad Mohameddin) dan terutama kepada Amylea yang memilih saya untuk menyanyikan lagu Kertas. Kertas adalah sebuah lagu yang sangat menyentuh jiwa dan hati bila saya nyanyi.

“Liriknya sangat mendalam dan bermakna bila kita ada melalui sesuatu dalam kehidupan, saya percaya semua orang dalam dunia ini akan melalui dugaan dan cabaran, masing-masing ada cerita tersendiri.

“Kertas adalah karya pertama yang saya alunkan dalam balutan Pop Balada Melayu. Kertas mencabar diri kerana saya mencuba sesuatu yang baharu, sesuatu yang saya takuti tidak dapat dilakukan dengan baik. Untuk pertama kalinya saya menyanyikan lagu dari genre Pop Balada Melayu.

“Dari segi vokal, ia agak berlainan kerana kali ini saya mencabar vokal saya menyanyikan nada tinggi dengan teknik vokal yang berlainan. Jadi saya dapat terokai nyanyian di luar kotak,” kata Noryn mengenai Kertas.

Pertama kali menyanyikan lagu bergenre Pop Balada Melayu.

Lagu Kertas ini ada unsur-unsur ketuhanan, cinta dan secara umumnya bercerita tentang jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Ilahi.

‘Ini adalah lagu kegemaran saya. Bila dapat lagu dan liriknya, saya rasa boleh masuk dengan karya Amylea ini. Terus boleh menjiwai lagu ini.

“Tak sangka pula lagu ini dijadikan runut bunyi untuk drama bersiri Khun: Sa yang sebenarnya saya pun nanti-nantikan sebab drama ini agak berlainan very rare. Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka yang sangat berbakat dan hebat dari segi kreativiti dan apa saja yang mereka buat,” akuinya.

Bercerita lebih lanjut, Noryn menyifatkan Kertas sebagai sebuah karya yang cukup istimewa. Kata Noryn lagi secara umumnya bercerita tentang jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Ilahi.

“Lagu Kertas adalah lagu yang meruntun jiwa dan memiliki emosi yang agak berat mengenai kesedihan dan dugaan takdir kehidupan.

“Sejujurnya saya menangis sewaktu berbincang tentang isi lagu ini dengan Amylea kerana terkenang peristiwa-peristiwa yang pernah saya alami.

“Ia adalah lagu mengenai jeritan batin seorang hamba yang sedang mengadu kepada Tuhan. Merintih atas apa yang berlaku terhadap dirinya. Kadang kita sebagai manusia ada kala mempersoalkan mengapa sesuatu terjadi.

Ada perancangan untuk mengadakan mini showcase untuk peminat tersayang.

“Jeritan batin di dalam diri yang tidak mampu lagi tertanggung dengan dugaan bertalu talu terasa seperti tiada erti nya lagi kehidupan ini. Mula tercari cari jawapan… mengapa? Mengapa aku? Mengapa?

“Yakinlah!! ALLAH sentiasa mendengar dan jangan berputus asa dan bersangka buruk dengan DIA. Langit tak sentiasa cerah, awan tidak sentiasa mendung dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.

“Sebab itu saya sifatkan Kertas sangat istimewa kerana mempunyai pengertian yang cukup dalam untuk kita sebagai manusia renungkan bersama,” ujar Noryn.

Dengan keindahan yang telah diciptakan terhadap lagu Kertas dan drama bersiri Khun:sa, Noryn berbesar hati agar kedua-dua karya ini mendapat sambutan positif dan menerima apresiasi dalam kalangan pendengar serta penonton.

“Saya percaya sebagai pendengar dan penonton, kita boleh ‘masuk’ ke dalam situasi Kertas kerana setiap manusia ada laluan hidup dan dugaan serta takdir masing-masing. Dengarkanlah lagunya dan selami lirik Kertas dengan cermat,” harap Noryn.

Bakal muncul dengan single baharu, duet dengan sebuah kumpulan vokal.

Damba jayakan mini showcase

Selepas Kertas, kata Noryn, beliau bakal muncul dengan single baharu. Kali ini bukan nyanyi solo tapi duet bersama sebuah kumpulan vokal.

“Perancangan saya selepas Kertas, akan berduet dengan sebuah kumpulan vokal. Sudah pilih lagu dan dalam proses untuk melengkapkan lagu dan menghabiskan rakaman.

“Alhamdulilllah, teirma kasih kepada mereka yang sudi memilih saya untuk berganding dengan mereka, insya-Allah lagi empat bulan keluarlah,” katanya tanpa berselindung.

Noryn dan suami beraya di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Dalam pada itu, Noryn juga menyimpan impian untuk mengadakan persembahan lebih besar daripada apa yang pernah beliau lakukan sebelum ini.

“Saya memang teringin nak buat persembahan. Selalunya, persembahan saya sangat intimate yang mana audiens lebih kurang 200 lebih, macam di Jio Tim atau Bobo KL. Sangat kecil dan intimate yang boleh nampak semua penonton dan bertentang mata.

“Sebenarnya, saya ada juga cita-cita untuk membuat persembahan mini showcase dalam kehadiran 500 ke 800 orang. Hanya untuk saya hiburkan peminat yang selama ini menyokong dan bersama saya. Harap dapat buat sesuatu persembahan yang menampilkan siapa itu Noryn Aziz.

Lagu Kertas dendangan Noryn berkaitan tentang ketuhanan.

“Sebab kalau nak diceritakan, dulu saya bermula dengan pop altenatif iaitu rock ada akustik rock sikit. Lepas tu saya berpindah kepada jaz R & B.

“Sekarang selepas GV, saya lebih vesatil sudah mula untuk menyanyikan lagu-lagu pop, orang kata membuka luas dari segi kreativiti saya, cuma cinta saya masih di irama R & B dan jaz. Insya-Allah kalau ada rezeki saya ingin buat mini showcase,” kata ibu kepada Raja Bariq Umar Shah.

Previous articleKomplikasi serta kesan tiroid kepada penghidapnya (Bahagian 2)
Next articleLagu Hari Raya Datuk D.J. Dave tetap malar segar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here