Kunci kejayaan Suhaimi Sulaiman adalah disiplin!

Oleh : Syed Wafa

Sejak kebelakangan ini tidak dinafikan banyak perubahan yang telah berlaku dalam program di RTM. Penyampain dan siaran yang lebih menarik dan berkesan terutama berita, program hiburan, rencana dan pengisian drama begitu berkualiti dan ternyata penonton mula jatuh cinta dengan RTM.

Siapakah di sebalik kejayaan wajah baru RTM ini? Sebelum ini RTM dipandang sepi oleh penonton dan kini golongan remaja juga mula tertarik untuk menonton RTM.

Ikon penyiaran yang dihormati dan disegani

Ikon penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia pada 20 Januari 2023, terbukti telah berjaya memberi banyak perubahan agresif dalam bersaing dengan industri penyiaran swasta yang lebih maju ke hadapan.

“Di awal amanah yang diberi, saya bertekad memberi tempoh enam bulan untuk mentransformasikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai jenama nombor satu dalam bidang penyiaran.

Seorang yang begitu konsisten dalam tugasnya.

“Ramai rakan-rakan penyiaran beranggapan agak sukar untuk merubahkan RTM untuk menjadi lebih komersial dan dari situlah saya terima ini sebagai cabaran untuk menerima jawatan besar ini.

“Syukur pada Allah SWT dengan izin-Nya saya berjaya membawa pembaharuan di RTM dan saya melihat RTM terus maju ke hadapan terutama berita di TV1 yang dimulakan dengan ‘Kanta 744’ selama 15 minit diikuti dengan Berita Perdana selama 30 minit pada pukul 8.30 malam dan breaking-news, hal ehwal semasa dan dokumentari, drama dan telemovie, bual bicara dan perbincangan intelektual, konsert dan program hiburan serta kapsul.

Hari bersejarah Menteri Komunikasi Malaysia, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil melantik Suhaimi Sulaimn sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia
Ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran

“Sebenarnya RTM mempunyai kapasiti dan kelengkapan yang canggih sekali gus boleh menjadi sebuah stesen penyiaran yang hebat di negara ini. Kita memiliki segalanya, cuma kini kita buat perubahan sedikit demi sedikit dan kalau ada benda yang tidak menjadi kita usaha sampai berjaya.

“Sekiranya setiap kerja itu dilaksanakan dengan betul dan bersedia berubah demi kebaikan, tidak mustahil RTM boleh menjadi sebuah jenama yang boleh dibanggakan setanding dengan TV swasta.

Bagi peminat ikon penyiaran hebat ini perlu dapatkan buku yang ditulis oleh beliau sendiri yang mendapat sambutan hangat di pasaran.

“Di RTM juga saya jumpa ramai orang muda yang begitu teruja serta mahukan perubahan. Saya menjadi bertambah semangat dan gembira kini telah banyak perubahan yang berjaya kami laksanakan sama-sama,” katanya bersungguh-sungguh.

“Melalui kajian yang telah kami jalankan siaran berita di RTM kini juga banyak ditonton oleh generasi muda yang turut kami siarkan di platform media sosial RTM seperti RTM Klik, Instagram dan TikTok.

Suhaimi Sulaiman tidak pernah kenal erti penat dan jemu dalam terus memajukan RTM
Suhaimi Sulaiman tidak pernah kenal erti penat dan jemu dalam terus memajukan RTM

“Jalan cerita dan tema drama yang disiarkan di RTM telah kami ubah dari jalan cerita yang remeh seperti masalah cinta dan rumahtangga. Kini drama di RTM banyak unsur yang lebih positif ke arah untuk memajukan minda masyarakat.

“Saya juga telah merombak siaran radio untuk menjadi lebih mesra pendengar dan lebih segar, kami amat berbangga Radio Klasik antara yang begitu mendapat sambutan dan pendengarnya juga terus meningkat,” kata Suhaimi lagi.

Bercuti bersama teman di Istanbul

Suhaimi yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran serta pernah berkhidmat di Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan Media Prima mendedahkan beliau sebenarnya ingin bersara dalam bidang terbabit demi memberi fokus kepada kehidupan peribadi dan ingin berbakti kepada masyarakat namun menganggap pelantikan ini adalah amanah yang perlu dipikul.

“Selepas tidak bersama dengan TVS (TV Sarawak) sejak Julai tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk menguruskan beberapa perniagaan di Melaka selain menyediakan beberapa perkhidmatan dan latihan berkaitan industri media dan penyiaran.

Suhaimi Sulaiman bersama ayah tercinta, Sulaiman Maatan dan bonda tercinta, Fatimah Saadom serta abang Suhaifi (Berdiri Paling Belakang)

“Namun ketika Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengajak saya berjumpa dan memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu saya menerajui RTM, saya tidak boleh menolak.

“Walaupun pada awalnya saya mahu bersara tetapi apabila ada tokoh yang sanggup berjumpa dan mahu kita berkhidmat serta melakukan kerja yang baik, saya rasa ini adalah satu tanggungjawab yang perlu saya galas dengan sebaik dengan penuh desikasi dan bertanggungjawab.

Kami di Ladybosz bangga dengan pencapaian cemerlang yang dilakukan oleh Suhaimi Sulaiman dalam memberi sinar baru kepada RTM

“Saya anggap ini adalah jalan yang sudah Allah susun untuk saya iaitu berbakti dan berkongsi kepada masyarakat melalui pengalaman dan kepakaran yang saya miliki. Apabila kita sudah meningkat dewasa, kita melihat dunia itu dalam perspektif yang berbeza dan ini salah satu cara untuk saya berkhidmat untuk negara,” katanya kepada Ladybosz.

Suhaimi, 61, adalah pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.

Wafa (Penulis) bergambar kenangan bersama Suhaimi Sulaiman ikon penyiaran yang dibanggai oleh beliau

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam bidang penyiaran dan kewartawanan termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Astro Awani pada 2017 dan Pengerusi Bernama pada 2020.

Kami di Ladybosz amat bangga dengan kejayaan yang telah dibawa oleh Suhaimi Sulaiman untuk menjadikan RTM terus menjadi saluran penyiaran yang diminati oleh penonton.

Previous articleLagu Jay Jay terus malar segar
Next articleKeenakan menu Jom Iftar Rasa Rosz menjadi pilihan pengunjung di Aeon Big, Wangsa Maju

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here