Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

JIKA sebut nama Seniwati K. Fatimah mungkin ramai yang ingat-ingat lupa walaupun sepanjang tiga tahun penglibatannya dalam bidang lakonan beliau telah membintangi 10 buah filem.

Tetapi jika sebut nama ‘Salbiah’ dalam filem “Ibu Mertuaku” tentu ramai yang ingat kerana ‘Salbiah’ sanggup menyamar menjadi Sabariah Mansoor (Seniwati Datuk Sarimah Ahmad) demi membantu anak Nyonya Mansoor (Seniwati Mak Dara) mengenali kekasihnya, Kassim Selamat.

Hakikatnya bukan Sabariah sahaja yang takut bertemu jodoh lelaki yang tidak sempurna malah Kassim Selamat (Allahyarham Tan Sri P.Ramlee) juga berprasangka begitu.

FILEM “Ibu Mertuaku” telah mencatatkan sejarah tersendiri sepanjang kerjayanya K. Fatimah sebagai seniwati di Studio Jalan Ampas!

Bagi memastikan tidak salah pilih, Kassim Selamat meminta jasa baik sahabatnya, Hussin Jalal (Ahmad C) menggantikan tempatnya untuk mengetahui bagaimana wajah dan keadaan Sabariah Mansoor sebenarnya.

Apabila mengetahui dan mengenali Sabariah Mansoor dan Kassim Selamat melalui penyamaran itu barulah terjalin ‘cinta antara dua darjat.’

Walaupun babak di awal penyamarannya sebagai ‘Sabariah Mansoor’ hanya beberapa minit sahaja namun ia telah memperkenalkan K. Fatimah sebagai seorang seniwati berbakat ‘kelahiran’ Studio Jalan Ampas.

K. Fatimah dan Sarimah yang bergandingan dalam filem “Ibu Mertuaku.”

Betapa tidak wataknya sebagai orang gaji Nyonya Mansoor berjaya ‘menipu’ Kassim Selamat yang juga ‘menipu’ identiti sebenar, meninggalkan ingatan mendalam kepada para penonton.

Meskipun sepanjang tiga tahun menjadi anak seni beliau telah membintangi 10 buah filem dengan tiga daripadanya arahan P. Ramlee iaitu “Ali Baba Bujang Lapok” (1960) dan “Seniman Bujang Lapok”(1961), wataknya sebagai Salbiah membuatkan beliau dikenali sehingga hari ini.

Itulah Seniwati K. Fatimah dengan nama sebenarnya Ngatimah Kasbie yang dilahirkan di Singapura pada 3 Jun 1940. Selain berlakon, K. Fatimah juga seorang penari berbakat dan sering muncul dengan watak berkenaan dalam filem-filem terbitan Malay Film Productions.

BABAK yang mencemaskan dalam filem “Ibu Mertuaku” setelah ‘Salbiah’ lakonan K. Fatimah (depan) diarahkan oleh Nyonya Mansoor memanggil Kassim Selamat (P. Ramlee) untuk dinikahkah dengan Sabariah Mansoor (Sarimah Ahmad).

Walaupun babak penyamarannya hanya beberapa minit dalam filem “Ibu Mertuaku” (1962) bakatnya dalam filem arahan P. Ramlee dengan skrip ditulis oleh Allahyarham Seniman Ahmad Nisfu, tidak perlu dipertikaikan lagi.

Selain “Ibu Mertuaku” K. Fatimah telah membintangi dua lagi filem arahan P. Ramlee iaitu “Ali Baba Bujang Lapok” dengan wataknya sebagai Norsiah isteri kepada Ali Baba (Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar) dan melakonkan watak Fatimah, isteri kedua Allahyarham Seniman Kuswadinata dalam “Seniman Bujang Lapok”

Sebelum dikenali sebagai pelakon, K. Fatimah telah dimahkotakan sebagai Ratu Kebaya dua kali turut-turut iaitu sekali di Singapura dan sekali lagi di Johor.

WAJAH jelita K. Fatimah

K. Fatimah yang menyertai pertandingan Ratu Cantik itu secara suka-suka kerana mahu menemani kawan baiknya, Allahyarham Seniwati Fatimah Ahmad.

Apabila beliau dan Fatimah Ahmad berjaya di dalam peraduan Ratu Cantik, pihak Shaw Brothers telah tertarik dengan mereka lalu menawarkan mereka menjadi pelakon Malay Film Productions.

Bukan setakat itu, malah beliau dan Fatimah Ahmad juga dipilih menyertai peraduan ‘Menjadi Bintang’ untuk menjalani ujibakat yang dilakukan oleh P. Ramlee dan Pengarah Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

MEMILIKI seraut wajah yang menawan dan senyuman yang memilat tidak hairanlah apabila K. Fatimah dua kali dimahkota sebagai Ratu Cantik pada tahun 1950-an.

Adalah difahamkan setelah beliau dan Fatimah Ahmad berjaya dalam pertandingan itu mereka akan membintangi filem “Badang” arahan P. Ramlee. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila filem tersebut tidak diterbitkan kerana sebab-sebab tertentu.

Walaupun penerbitan filem “Badang” dibatalkan tetapi sudah menjadi kebiasaan P. Ramlee sebelum memulakan penggambaran beliau akan menukarkan nama seseorang maka ‘lahirlah’ K. Fatimah bagi menggantikan nama Ngatimah Kasbie.

K. Fatimah dipilih memegang watak sebagai Norsiah isteri Ali Baba dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok.”

Bagaimanapun sebelum membintangi filem berkenaan pada tahun 1960, K. Fatimah dipilih untuk berlakon tanpa dialog dalam filem “Isi Neraka” arahan Jamil Sulong dengan bintang utamanya Allahyarham Ahmad Mahmud, Allahyarham Seniwati Datin Saadiah, Allahyarham Salleh Kamil dan Allahyarham Haji Mahadi.

DUDUK dari kanan: Seniwati K. Fatimah, Seniwati Zaiton, Allahyarham Seniwati Momo Latiff dan Allahyarham Seniwati Neng Yatimah.
BERDIRI dari kiri: Allahyarham Seniman Wahid Satay, Allahyarham Seniman S. Rosley, Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar, Syed Wafa dan Kamaliah Latiff.

Selepas membintangi filem “Ibu Mertuaku” dan “Siti Muslihat” pada tahun 1962, nama K. Fatimah terus dari ‘radar dunia filem’ kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan rumahtangga.

K. Fatimah telah mendirikan rumahtangga dengan Yusof Haji Majid. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima orang anak iaitu dua perempuan dan tiga lelaki.

Bagaimanapun pada tahun 1987, apabila Ahmad Fauzee menerbit dan mengarah filem “Kolej 56” beliau telah mengundang K. Fatimah membintangi filem tersebut.

SYED Wafa bersama Seniwati K. Fatimah dan Allahyarham Seniwati Sri Dewi.

Walaupun dalam filem berkenaan babak K. Fatimah sebagai isteri majikan namun kehadiran beliau dikatakan dapat mengubat kerinduan para peminatnya.

Selepas filem berkenaan K. Fatimah terus meletakkan noktah pada kerjaya sebagai pelakon.

Kini, K. Fatimah hidup bahagia disamping suami dan anak-anak serta cucu.

SYED Wafa mengabadikan kenangan bersama K. Fatimah.

Bagi K. Fatimah walaupun beliau hanya membintangi 10 filem sepanjang kerjayanya sebagai seniwati di Studio Jalan Ampas namun sampai saat ini wataknya sebagai ‘Salbiah’ dalam filem “Ibu Mertuaku” tetap ‘melekat’ bukan sahaja di hatinya malah para peminat filem Melayu era tahun 1960-an.

Sebabnya filem tersebut telah meletakkan namanya sebagai salah seorang seniwati yang dikenali di Studio Jalan Ampas!

Previous articleInilah Ramadan!
Next articleJom iftar Rasa Rosz dapat sambutan hangat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here