Oleh Nury Kadir
Kali ini disambung sedikit lagi permasalahan puasa bagi kaum wanita. Maklumlah puasa Ramadan setahun sekali dan ini adalah tahun 1444 umat Islam diperintahkan wajib berpuasa. Puasa disyariatkan ke atas umat Nabi Muhammad SAW adalah tahun kedua Hijrah.
Tidak mahu panjang sangat mukadimahnya, mari kita terus kepada beberapa masalah yang berbangkit berkaitan puasa. Kesemua jawapan yang dikemukakan di dalam permasalahan yang timbul, diambil terus dari www.muftiwp.gov.my
SOALAN: Perempuan dengan lipstik memang tidak boleh dipisahkan, adakah boleh mengenakan lipstik pada siang hari Ramadan bagi yang berpuasa?
JAWAPAN: Hukum penggunaan lipstik pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak menelan masuk ke dalam rongga. Sekadar terdapat ‘rasa’ di bibir maka ianya tidak membatalkan puasa.
Ini berdasarkan fatwa Ibn ‘Abbas mengenai merasa makanan yang mana menyebutkan, “Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa”. (Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya)
Tatkala seseorang merasa makanan, sudah pasti ianya akan memberikan kesan rasa kepada yang merasanya (pada lidah) dan selagi mana dia tidak menelannya maka tidak batal puasanya. Begitu juga keadaannya bagi lipstik. Sekadar terdapat rasa sahaja, ianya belum membatalkan. Namun sekiranya ditelan (memasuki rongga) rasa yang terdapat pada gincu tersebut maka ianya membatalkan puasa.
Di dalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullah ada menyebutkan: “Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rukungan (kerongkong) sekalipun dari kerana rasa makanan itu athar’ jua bukan ‘ain.”
Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai kepada tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki.
Namun ditegaskan di sini bahawa memakai lipstik untuk memperlihatkan pada yang lain dalam keadaan berlebih-lebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan di dalam Islam. Tetapi untuk suami, ianya dibenarkan sebagai berhias diri.
SOALAN: Bagaimana pula hukumnya memakai atau menghidu minyak wangi?
JAWAPAN: Memakai wangian ketika puasa, maka para ulama tidak menyebutkan tentang hal ini secara jelas mengenai larangan atau keharusannya. Di sisi mazhab Syafie hukum memakai atau menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa kerana tidak ada nas sahih menunjukkan hal tersebut (batalnya puasa) dan ia bukanlah satu bentuk perbuatan makan dan minum.
Namun hukum menghidu minyak wangi (yang terlalu kuat baunya) adalah makruh kerana padanya terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa dan boleh membuka jalan kepada naiknya syahwat.
Adapun hukum memakai sesuatu yang boleh menghilangkan bau badan seperti sabun atau deodorant bagi orang yang berpuasa adalah harus kerana secara kebiasaannya ia adalah alat untuk membersihkan badan serta menghilangkan bau busuk dan bukannya untuk tujuan berwangi-wangi itu sendiri.
Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj, “Dan hendaklah menahan diri daripada menyampaikan sesuatu ke dalam rongga yang disebut sebagai perut, kerana orang melakukan hal tersebut tidak dinamakan mumsik (orang yang menahan dirinya), berbeza halnya dengan sampainya kesan seperti rasa (makanan) dan bau yang dihidu, contohnya seperti masuknya asap kayu gaharu ke dalam perut sekalipun dengan sengaja, maka hal itu tidak membatalkan puasa.”
Bersandarkan pada pendapat tersebut, maka disimpulkan bahawa menghidu bau minyak wangi adalah tidak membatalkan puasa, sekalipun dengan sengaja. Menghidu bukannya dalam bentuk jirim yang boleh dilihat dan tidak ada sesuatu yang masuk ke badannya melalui rongga hidung melainkan angin (bau minyak wangi) tersebut.
Namun sebahagian ulama Syafie mengatakan sunat untuk meninggalkan wangi-wangian kerana ia termasuk dalam perkara yang boleh membangkitkan syahwat. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, maksudnya: “Demi diriku yang berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada bau kasturi. Mereka meninggalkan makan minum dan nafsu syahwat kerana-Ku.” (Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi berpendapat, “Dan sunat (bagi orang yang berpuasa) memelihara dirinya daripada perkara yang tidak membatalkan puasa seperti mencium wangi-wangian atau tumbuhan-tumbuhan yang bau harum dan melihat kepadanya (bunga yang wangi) dan mendengar nyanyian kerana pada demikian itu terdapat kemewahan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa iaitu sampai boleh membangkitkan nafsu dan mengalahkan ia (nafsu) ke atas takwa bahkan dimakruhkan itu ke atasnya.”
Para ulama menjelaskan hikmah kemakruhan tersebut kerana ketika puasa kita wajib menahan diri daripada syahwat. Sedangkan minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat contohnya sekiranya suami yang sedang puasa memakai minyak wangi maka ia boleh membangkitkan syahwat dan begitulah sebaliknya.
Timbul pula persoalan menolak pemberian wangian adalah makruh. Adakah semasa berpuasa kita boleh menolak pemberian tersebut? Dalam hal tersebut Imam al-Nawawi menjelaskan “Jikalau berlawanan di antara hukum makruhnya mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa dan makruh hukumnya menolak wangian, maka menjauhkan diri daripada mengenakan wangian bagi orang yang berpuasa adalah lebih utama kerana hal tersebut (mengenakan wangian) boleh membawa kepada kurangnya (khusyuk) dalam ibadah.”
SOALAN: Masalah ini sering dihadapi para ibu ketika memasak juadah berbuka. Selalu teragak-agak boleh atau tidak merasa makanan yang dimasak?
JAWAPAN: Merasa makanan adalah dibolehkan dengan dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Situasinya adalah seperti tukang masak atau suri rumah yang sedang memasak di dapur.
Ibn Abbas berkata, “Tidak mengapa seseorang yang sedang berpuasa mencicipi cuka atau sesuatu, selama tidak masuk sampai ke kerongkong.” Ini hendaklah dalam kuantiti yang sedikit. Namun, tidak boleh menelannya kerana jika ditelan masuk bersama air liur, batallah puasanya.
SOALAN: Mengaku diri sedang berpuasa tetapi masih juga mengumpat, bercakap keji serta melakukan perbuatan maksiat. Adakah puasa terbatal atau sekadar pahala puasanya berkurangan?
JAWAPAN: Mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun ia boleh mengurangkan dan membatalkan pahala puasa. Bahkan ia juga boleh mengakibatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan hanya menahan lapar serta dahaga sahaja.
Ini kerana mengumpat merupakan perkara yang dilarang dan diharamkan syarak sama ada di bulan puasa mahupun pada bulan-bulan yang lain. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW, maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan amalan yang keji, maka Allah tidak berhajat pada perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan Imam al-Baidhawi menyatakan bahawa tujuan asal pensyariatan puasa itu bukanlah hanya menahan diri dari lapar dan dahaga malah ia turut menahan diri dari hawa nafsu dan syahwat. Sekiranya dengan berpuasa itu tidak dapat menghindarkan dirinya daripada perkara tersebut, maka Allah SWT tidak akan menerima amalannya.
SOALAN: Perempuan diberi keistimewaan tidak berpuasa ketika Ramadan kerana haid. Namun ada juga yang mahu berpuasa penuh dengan mengambil pil penahan haid, adakah ia dibolehkan?
JAWAPAN: Syeikh Uthaimin mengemukakan pendapatnya, mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadan adalah dibolehkan tetapi afdal jangan mengambilnya dan kekal mengikut takdir Allah kepada wanita.
Pendapat Dr. Yusuf al-Qardhawi juga seiring dengan pendapat di atas, “Pada pendapat saya, sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semulajadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi’ie dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daripada Allah. Sekiranya wanita itu memakan ubat untuk melewatkan haid agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudaratkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang-orang alim atau nasihat doktor mengenai ubat itu. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, Insya-Allah. Saya berpendapat kita mengikut sunnatullah dengan tidak mengambil pil adalah lebih baik.”
SOALAN: Puasa bulan Ramadan tidak ada masalah tapi solat berat sedikit hendak ditunaikan. Kalau tidak solat, adakah puasanya masih diterima?
JAWAPAN: Sebelum diulas lebih lanjut, perhatikan dahulu pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab, Fatawa Muasirah: “Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat iaitu mendirikan solat, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”
Mengenai hal puasa tapi tidak solat, ulama telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat. Ada yang berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat dan enggan membayar zakat. Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan solat sahaja menjadi kufur kerana kedudukan solat itu keutamaan di dalam Islam.
Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan: “Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan solat.” Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.
Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.
Mudah-mudahan pendapat ini lebih benar dan adil. Jika seseorang mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan melakukan ibadat-ibadat yang lain. Maka dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.
Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya. Allah SWT berfirman, maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.”(Surah al-Zalzalah: 7-8)
Apa yang boleh dirumuskan pendapat ulama berkenaan orang yang puasa tetapi tidak solat, antaranya:
Pertama: Mereka dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasa mereka. Hendaklah mereka bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Inilah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian ulama masa kini.
Kedua: Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Inilah pendapat kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhemmed al-Bakri Ismail dan lain-lain. Hal ini kerana Rasulullah S.A.W bersabda, “Siapa yang meninggalkan ucapan yang keji dan beramal dengannya, maka tiada keperluan bagi Allah dengan sebab dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Riwayat Bukhari & Muslim). Kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan puasa sah tetapi tidak dipahalakan kerana menafikan rukun Islam yang sangat penting iaitu solat.
SOALAN: Benarkah orang yang berpuasa mempunyai doa yang mustajab?
JAWAPAN: Benar! Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang pasti tidak ditolak.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)
Mengikut riwayat daripada Ibn Abi Malaikah bahawa beliau telah mendengar Abdullah bin Amru berdoa ketika beliau berbuka puasa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meluas setiap sesuatu supaya mengampuni daku (dosaku).”
Cuba amalkan doa itu atau boleh saja meminta doa yang lain asalkan ia adalah meminta perkara yang baik-baik ketika berbuka puasa. Jangan lepaskan peluang berdoa sebanyaknya keika berbuka, itu saat makbul doa.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.