Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin/Koleksi Syed Wafa

Bukan mudah menjadi seperti penyanyi Amir U.K’s atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof yang popular dengan lagu, Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu. Macam-macam dugaan yang dihadapi dalam hidup yang akhirnya banyak mematangkan Amir untuk menjadi yang terbaik.

Bermula dengan salah seorang anak kembarnya yang sakit jantung dan kini sudah meninggal dunia, kematian isteri pertamanya, perpisahan dengan isteri keduanya, terbabit dalam kemalangan, perpecahan kumpulannya dan macam-macam lagi. Namun semua itu dihadapi Amir dengan tabah dan tenang.

Amir ketika remaja

“Sebelum kuat seperti sekarang ini macam-macam peristiwa pahit dan manis yang telah saya lalui sepanjang bergelar artis. Dari saya bercerai , kemalangan, show pun kurang…nak bangkit semula itu bukan senang.

“Waktu itu saya memang` down giler’ kerana tak ada show dan teringat kembali hidup 12 tahun dengan isteri kedua dimana banyak kenangan pahit manis bersama dan macam-macam lagi. Dekat setahun lebih saya habiskan masa di rumah emak saya. Waktu itu saya banyak berfikir dan teringatkan anak saya yang sudah meninggal, tohmahan kawan-kawan, jiran dan kejayaan yang saya nikmati sepanjang bergelar artis rakaman.

Amir di awal kemunculan dalam dunia seni.

“Kekuatan lagu Saari Amri buat saya bangun balik. Saya bangun semula, bila sering dijemput mengadakan persembahan pentas. Syukurlah berkat kesabaran saya `berjuang’ saya masih kekal dalam industri seni,’’ kata Amir lagi.

Amir,55, menambah,“Penglibatan saya dalam industri ini sudah lama. Sebelum bersama Ukays, saya pernah menganggotai kumpulan Analisa dan sempat menghasilkan sebuah album pada tahun 1990. Kini dah lebih 30 tahun saya terbabit dengan industri hiburan sejak komposer Saari Amri memperkenalkan saya.

Amir bersama kumpulan Ukays.

“Paling membanggakan ketika bersama kumpulan Ukays, album Bisa Berbisa kami (1994) terjual melebihi 400,000 unit. Tajam Menikam pula terjual 200,000 unit. Begitu juga dengan album-album yang lain yang jualan mencecah ratusan ribu. Kejayaan album ini sekaligus melonjakkan nama Ukays di persada muzik tempatan.

“Album ini kemudiannya diiktiraf sebagai album yang mencatatkan jualan terbanyak di Malaysia pada ketika itu. Antara lagu yang popular dalam album Bisa Berbisa ialah Seksa, Kau Satu-Satunya, Siapa Yang Rampas Cintamu, dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu,” kata Amir bapa kepada empat cahaya mata ini.

Rasa bangga dan tidak percaya Amir album Bisa Berbisa terjual melebihi 400,000 unit.

Kejayaan album ini yang terjual lebih ratusan ribu unit termasuk di Indonesia membuatkan Amir bercadang untuk untuk membuat konsert jelajah di sana. Namun hasratnya tidak kesampaian bilamana Amir terbabit dengan kemalangan jalan raya pada tahun 2001.

“Waktu itu saya dah fikir negatif, saya ingat saya tidak boleh menyanyi juga sebab kecederaan teruk pada bahagian rahang pecah dan makan masa untuk sembuh. Syukurlah kini semuanya kembali seperti biasa dan kini saya masih boleh menyanyi lagi,” kata Amir yang bergerak secara solo sejak tahun 1997.

Gambar kenangan…Amir bersama anak keduanya, Muhammad Imran yang telah meninggal dunia kerana penyakit jantung.

Masuk sahaja anggota-anggota baharu, Amirol (dram), Daniel (gitar kedua) Olley (bass) dan Amy (gitar utama) kumpulan ini sekali lagi dijenamakan semula apabila nama Ukays telah ditukar ejaannya kepada U.K’s dengan album ketiga Tajam Menikam pada 26 April 1995 dengan jualan mencecah sebanyak 250,000 unit dalam tempoh 4 bulan pertama sahaja, sekaligus merekodkan jualan sebanyak 280,000 unit secara keseluruhannya.

Dii Indonesia pula, album ini terjual melebihi 700,000 unit. Pada tahun 1996, Saari Amri menerbitkan album keempat U.K’s bertajuk Panas Berpanjangan yang terjual sebanyak 175,000 unit.

Suara mantap Amir sentiasa dirindui.

Amir bertuah kerana karier seninya sudah dua tahun dikendalikan menantunya, Hana iaitu isteri kepada anak Amir bersama isteri pertamanya, Mohammad Aliff Naim, 38, dan cucunya, Mohammad Ayden 5 bulan.

Menurut Amir, kini dia tengah menunggu untuk mengadakan konsert bersama kumpulan Slam di Singapura Oktober nanti.

“Lanjutan kejayaan konsert di Stadium Malawati Shah Alam, kami akan bergabung lagi buat kali kedua. Sudah pasti peminat kami di Singapura tertunggu-tunggu kedatangan kami. Sudah pasti konsert kami nanti akan ada sedikit perubahan agar persembahan kami dapat dirasai kelainannya.”

Lagu-lagu Amir sentiasa malar segar sehingga di Indonesia.

Sepanjang kariernya, Amir pernah menghasilkan beberapa buah album. Album Mencari (1992), Bisa Berbisa (1994), Tajam Menikam (1995), Panas Berpanjangan (1996), Cuma Aku Yang Hidup (1997), Pijar Kasmaran (2000). Manakala album yang dipasarkan di Indonesia pula adalah Disini Menunggu (1995), Cinta Itu Buta (1997) dan Disaat Lukaku Berdarah (1999).

Akur janji Amir dan Sarimah

Setiap lelaki perlukan seorang wanita untuk berada dibelakangnya dan begitu juga dengan Amir U.K’s yang kuat kerana sokongan dan dorongan daripada isteri ketiganya Sarimah.

Amir bersama isteri tercinta, Sarimah.

Diam tak diam rupanya sudah 20 tahun Amir membina rumah tangga bahagia bersama isterinya, Sarimah Ahmad. Kebahagian ini diserikan dengan kelahiran anaknya Kaseh Nurumairah, 14 tahun.

Selain Kaseh Nurumairah, Amir juga mempunyai anak bersama isteri pertamanya, Mohammad Aliff Naim dan anak kembarnya Muhammad Imran (meninggal dunia) dan Muhammad Erman yang kini bekerja di Langkawi.

“Isteri saya banyak bantu saya ketika saya `down’ dulu kerana tak ada show dan segala-galanya. Saya juga bersyukur dapat isteri yang faham saya dan tak banyak karenah.

Amir bersama isteri dan anak- anaknya.
Amir bersama anaknya Muhammad Aliff Naim dan cucunya, Mohammad Ayden.

“Sebelum kahwin kami dah buat satu akur janji. Dimana saya dah ingatkan isteri saya, benda-benda kecik tak payah nak difikirkan kerana ia akan menjadi penyebab kepada semua masalah. Saya juga banyak bercerita mengenai pengalaman lalu kepada isteri saya, agar dia faham suaminya sepenuhnya.

“Selain kepercayaannya, saya ini artis, dikenali ramai dan milik masyarakat serta peminat. Paling penting dalam hubungan kami jangan ada rasa cemburu kerana itu bahaya. Ialah sesetengah isteri artis ini cemburu bila suaminya nak bergambar dengan peminat perempuan…saya dah terangkan pada isteri saya dia tidak boleh bersikap begitu,’’ kata Amir lagi mengenai isterinya yang bekerja di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Masih aktif menyanyi, terbaru menjayakan ‘Konsert Rock Legend Berzaman’ di Mega Star Arena bersama teman-teman.
Previous articleKuza hadapi dugaan dengan tabah!
Next articleSelamat Hari Wanita!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here