KEJELITAAN Fatimah Ahmad.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

APABILA sebut nama Fatimah Ahmad, pasti para peminat filem Melayu pada era 1960-an amat mengenali seniwati ini yang memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai penyanyi.

Setelah tamat sekolah, Fatimah Ahmad pernah terlibat dalam dunia hiburan dan beliau pernah merakamkan lagu untuk Radio Singapura. Lagu “Kau Yang Hilang” adalah lagu nyanyiannya yang berjaya mencuri hati para peminat senisuara ketika itu.

FATIMAH Ahmad sebagai Fatimah dalam filem “Gila Talak”(1963) arahan Allahyarham Hussein Haniff.
SEBELUM terkenal sebagai pelakon, Fatimah Ahmad terkenal sebagai penyanyi.

Bagaimanapun kariernya dikatakan berubah apabila beliau menyertai pertandingan nyanyian ‘Menjadi Bintang’ yang dianjurkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1959. Fatimah Ahmad dipanggil untuk menjalani ujibakat untuk membintangi filem-filem terbitan Malay Film Productions (MFP) pada tahun yang sama.

Bersama tiga lagi wanita iaitu Ngatimah Kasbie atau lebih dikenali K. Fatimah, Adlin Marsita dan Akino Zaiton, beliau menjalani ujibakat tersebut. Nasib menyebelahi Fatimah Ahmad apabila beliau dan K. Fatimah berjaya dalam ujibakat tersebut.

“LELA Satria” adalah filem pertama terbitan Cathay-Keris Filem lakonan Fatimah Ahmad.

Bagaimanapun dengan kemenangan itu, Allahyarham Seniwati Fatimah Ahmad hanya diberi peluang muncul sebagai pelakon tambahan dalam lima filem terbitan MFP pada tahun 1960 iaitu filem “Lela Manja,” “Megat Terawis,” “Sumpah Wanita,””Isi Neraka” dan “Putera Sangkar Maut.”

Pada tahun 1960, setelah dimahkotakan sebagai Ratu Wartawan anjuran Persatuan Wartawan Melayu Singapura, Cathay-Keris Film (CKF) telah ‘melamar’ Fatimah Ahmad sebagai pelakon syarikat penerbitan mereka.

FATIMAH Ahmad dan Umi Kalthum antara bintang utama dalam filem “Jula Juli Bintang Tujuh.”

Demi mencapai impian dan cita-citanya menjadi ‘heroin’ Fatimah Ahmad beralih arah apabila Cathay-Keris Film (CKF) menawarkan beliau berlakon dengan watak utama dalam filem “Lela Satria” arahan Allahyarham Datuk S. Roomai Nor pada tahun 1961.

Itulah Seniwati Fatimah Ahmad yang dilahirkan pada 14 September 1941. Beliau adalah seorang gadis yang bijak dan mendapat pendidikan sekolah Inggeris di St. Hilda’s Afternoon School di Singapura sehingga tamat darjah tujuh.

DENGAN kejelitaan yang dimiliki tidak hairan Fatimah Ahmad pernah dimahkotakan sebagai Ratu Wartawan pada tahun 1960.

Bersama CKF, satu demi satu filem dilakonkan Fatimah Ahmad antaranya tiga lagi filem pada tahun 1961 iaitu “Puteri Gunong Ledang, Jalak Lenteng dan Gado-Gado.”

Kemudian Fatimah Ahmad berlakon dalam empat lagi filem pada tahun 1962 iaitu “Dang Anom, Mata Shaitan, Korban Kasih dan Jula Juli Bintang Tujoh.”

DUA seniwati…Fatimah Ahmad dan Allahyarham Roseyatimah yang membintangi filem “Jalak Lenteng”(1961) arahan Allahyarham Salleh Ghani.

Bersama CKF tawaran berlakon buat Fatimah Ahmad tidak pernah henti apabila beliau dipilih membintangi filem “Gila Talak”(1963), “Istana Berdarah”(1964), “Cinta Kaseh Sayang”(1965) dan “Dosa Wanita”(1967).

Pada tahun 1962, setelah selesai menjalani penggambaran “Mata Shaitan,” Salmah Ahmad berkahwin dengan pengarah Hussein Haniff. Melalui perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Azaharin dan Faizal.

TIGA seniwati jelita berbakat besar…(dari kiri) Roseyatimah, Fatimah Ahmad dan Rahmah Ali.
MEMBACA adalah hobi Fatimah Ahmad.

Sayangnya kebahagiaan Fatimah Ahmad dan Hussein Haniff hanya bertahan empat tahun sahaja. Rumahtangga yang dibina atas dasar cinta dan diimpikan kekal bahagia untuk selamanya berakhir apabila Hussein Haniff meninggal dunia kerana sakit barah pada 4 April 1966.

Setelah ‘pemergian’ Hussein Haniff, Salmah Ahmad meninggalkan dunia lakonan dan bekerja sebagai pramugari selama beberapa bulan.

FATIMAH Ahmad dimekapkan sebelum memasuki set penggambaran filem “Mata Shaitan.”
“MATA Shaitan” filem arahan Hussein Haniff pada tahun 1962

Kalau sudah berjiwa seni mana mungkin beliau boleh melupakan bidang lakonan. Akhirnya Salmah Ahmad kembali berlakon dalam filem “Dosa Wanita” dan “Mat Raja Kapor”(1967), “Kekaseh” dan “Pop Muda”(1968) dengan filem terakhirnya “Nafsu Belia” pada tahun 1969.

Bagaimanapun filem “Dosa Wanita” arahan Allahyarham M. Amin terbitan pada tahun 1967 meninggalkan kesan mendalam di hati para peminatnya.

FATIMAH Ahmad bukan sahaja berbakat sebagai pelakon malah beliau juga dikenali sebagai penyanyi.

Filem tersebut membawa kisah penderitaan seorang wanita (Fatimah Ahmad) yang dinafikan haknya sebagai ibu terhadap anak tunggalnya seorang peguam lakonan Allahyarham Tony Kassim.

Kesedihan dan penderitaan seorang wanita dan ibu gara-gara kekejaman ibu mertua (Umi Kalthum) sehingga ke hujung nyawa tanpa beliau dan anak tunggalnya tahu mereka mempunyai pertalian darah.

FATIMAH Ahmad turut berlakon dalam filem”Korban Kaseh.”

Selain Fatimah Ahmad, filem itu turut dibintangi Malek Selamat, Salim Bachik, Aini Jasmin dan Dollah Dagang.

Pada tahun 1970-an, Fatimah Ahmad bertemu jodoh dengan jejaka Inggeris bernama William Bushfield yang dikenali Bill.

BINTANG-bintang hebat filem Melayu.
Dari kanan: Seniwati Umi Kalthum, Rahmah Ali, Roseyatimah dan Fatimah Ahmad bersama pemilik CKF, Mendiang Tan Sri Loke Wan Tho ketika bersama seniwati CKF di Pesta Filem Asia, di Taipeh, Taiwan.
Fatimah Ahmad berdiri paling kanan bersama Umi Kalthum, Roseyatimah dan Rahmah Ali yang merupakan bintang Cathay Keris Filem.
SENIWATI yang bijak dan jelita.

Apabila anak-anaknya dewasa, beliau sekeluarga bermastautin di Texas, Amerika Syarikat. Perkahwinan Fatimah Ahmad dengan Bill dikurniakan dua orang anak iaitu Adam dan Ryan Bushfield.

Ketika menetap di sana, Fatimah Ahmad pernah mengajar di sebuah sekolah tempatan disamping menguruskan ladang ternakan dan perniagaan keluarga.

FATIMAH Ahmad bersama L. Ramlee pada tahun 1967.
WAJAH ayu Fatimah Ahmad.
FATIMAH Ahmad bersama anak-anak dan rakannya.

Fatimah Ahmad meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 30 April 2004. Jenazah Allahyarham disemadikan di Klein Memorial Park, Texas, Amerika Syarikat.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

FATIMAH Ahmad disemadikan di Klein Memorial Park, Texas, Amerika Syarikat.
Previous articleErti Kejayaan…
Next articleWow….Berita Baik Untuk Peminat Rock, Dapatkan tiket serendah RM98 Sempena Konsert ‘Rock Legend Berzaman,’ Himpunkan Sembilan Penyanyi Rock Satu Pentas!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here