A. Ramlie yang sentiasa dirindui oleh peminat.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Koleksi Syed Wafa

Sudah diinai-inaikan
Sudah diandam-andamkan
Tanda pengantin berseri-seri muka

Kini si dara jelita
Duduk beradat menanti
Bersanggul lintang
Dan berkebaya panjang

Ramai yang duduk keliling
Mawar direnjis-renjiskan
Tanda budaya pengantin pun disandingkan…

Begitu indahnya bait-bait lagu, Sudah Diinai-Inaikan nyanyian Allahyarham A.Ramlie yang kini sering diputarkan atau dinyanyikan di majlis-majlis perkahwinan. Lagu yang begitu merdu dan indah ini begitu malar segar ibaratnya tak lapuk dek hujang dan tak lekang dek panas.

Beliau juga digelar ‘Budak Ajaib’ kerana bakat nyanyian luar biasa.

Tahun 60-an dan 70-an, populariti penyanyi Pop Yeh Yeh, A.Ramlie sebaris dengan Datuk Ahmad Jais dan Datuk Jeffrydin. Masuk tahun ini, telah 25 tahun A Ramlie meninggalkan kita, namun lagu-lagu nyanyiannya masih menjadi siulan sehingga hari ini. Malah lagu-lagunya juga banyak didendangkan semula penyanyi Haziq Rosebi dan A. Rozainie yang dikatakan klon A. Ramlie.

Kekuatan A. Ramlie atau nama sebenarnya, Ramlie Ahmad terletak pada suaranya yang beralun, lembut mendayu dan bergemersik. Yang pasti setiap lagu yang dinyanyikan lahir daripada lubuk jiwanya yang begitu menghayati setiap lagu yang diberikan kepadanya. Disebabkan keikhlasan hatinya ketika mendendangkan lagu-lagu nyanyiannya membuatkan lagunya cukup meresap ke jiwa dan hati peminat-peminat.

Ditambah dengan suaranya yang merdu, A. Ramlie tidak ada masalah untuk membawakan pelbagai rentak lagu dan irama antaranya Pop Yeh Yeh, Rentak Asli, Langgam atau Melayu Deli, Joget, Hindi, Inang dan Zapin.

Album A. Ramlie sentiasa mendapat sambutan hangat oleh peminat beliau ketika itu.

Suara ’emas’ ini juga turut memikat ribuan penggemar lagu Pop Yeh Yeh dari Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia. Suara dan popularitinya begitu menyerlah sehingga majalah Berita Filem tahun 1960-an memberinya gelaran ‘Budak Ajaib’. Kehebatannya menyanyi turut membolehkan A.Ramlie menerima Anugerah Penyanyi Popular Singapura pada tahun 1960-an.

Di zaman remajanya, A.Ramlie anak kelima daripada 19 adik-beradik mula mengasah vokalnya menerusi pertandingan tilawah al-Quran di kampungnya. Dari situ, dia mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian menerusi kugiran The Siglap Five dan selepas itu bersama The Rhythm Boys. Ketika itu beliau bergiat secara senyap-senyap kerana takut ditentang bapanya, Ahmad Masid.

Peminat teruja dapat bergambar dengan penyanyi kesayangan mereka A.Ramlie (duduk atas kerusi).

A.Ramlie yang dilahirkan pada 25 Ogos 1946 ini pernah bertanding dalam pertandingan kugiran seluruh Singapura pada tahun 1954. Kumpulannya mendapat nombor dua sementara kumpulan pertama dimenangi kumpulan yang disertai Datuk Jeffrydin. Nasib masih menyebelahinya apabila kumpulannya The Rythmn Boys menjuarai Pertandingan Kugiran Seluruh Singapura 1965.

Karier seni anak kelahiran, Kampung Batak, Singapura ini makin menyinar pada tahun 1966, selepas kumpulannya dijemput menyanyikan lagu Kenangan Mengusik Jiwa, ciptaan Salamah Basiron (Hanimasra) dalam program Lagu Popular Minggu Ini secara langsung di Radio Singapura. Nyanyian merdu A.Ramlie bersama kumpulannya iaitu Mohamed Ayob Taib pemain gitar utama, Mohamed Osman Said (gitar rhythm), Mohamed Ali Taib (bass gitar) dan Mohamed Noor Ahmad (dram) menjadikan lagu tersebut tersenarai di dalam carta selama lima tahun berturut-turut.

A.Ramlie bersama model Titi Qadarasih pada tahun 1968.

Atas permintaan ramai, lagu Kenangan Mengusik Jiwa dan tiga lagu lain iaitu Oh Fatimah, Ingat Padaku dan Seruanku, dirakamkan di bawah label Eagle Record sebagai EP pertama mereka. Kemudian A. Ramlie & The Rythmn Boys merakam dua lagi EP antaranya Salam Muhibbah, Paduan Kasih dan Hidup Bersama.

Pada tahun 1969, A.Ramlie dan anggota kumpulannya membawa haluan masing-masing. The Rythmn Boys terus menjadi pemuzik latar untuk artis-artis rakaman seangkatannya. Manakala A. Ramlie pula terus mencipta nama bersama kumpulan The Clans, The Click IV, Times Orchestra dan Pancaragam A. Ramlie yang ditubuhkannya sendiri. Di antara lagu-lagunya yang popular dan menjadi siulan termasuklah Ole Ole Temasek, Dendang Anak Tani, Lambaian Desa dan Sejambak Budi Setangkai Hati. Namun ramai yang tidak tahu, sepanjang kariernya, A.Ramlie pernah mencipta 40 buah lagu dan menulis lirik, A. Ramlie lagi sepanjang kariernya.

Hari bahagia A.Ramlie bersama Maria pada tahun 1972.

Allahyarham A.Ramlie bertemu jodoh dengan Maria Bachok yang buat pertama kalinya bergandingan dengannya dalam rancangan hiburan TV Singapura bertajuk Istana Pesta pada tahun 1971. Hubungan cinta yang terjalin secara diam-diam ini telah membawa pasangan duet ini ke jinjang pelamin pada tahun 1972 dan dikurniakan anak tunggal perempuan iaitu Marliana, yang lahir pada tahun 1973. Selepas berkahwin, keduanya memilih untuk menetap di Marine Terrace, Singapura. Manakala anak mereka, Marliana yang sudah berumahtangga pula dikurniakan dua orang anak.

Paduan suara yang mantap A.Ramlie dan Maria Bachok membuatkan mereka dipilih untuk membuat beberapa rakaman EP di bawah label Panda dengan iringan kugiranThe Nite Walkers. Di antara rakaman duet mereka di waktu itu ialah Patah Tumbuh Hilang Berganti, Itulah Sayang, Tari Selendang, Ingin Berkawan Saja, Antara Sehati Sejiwa dan Setangkai Kembang Melati. Maria dan A.Ramlie juga banyak merakamkan lagu-lagu duet hingga akhir tahun 1970-an. Selain lagu-lagu baru, mereka berdua juga merakam lagu-lagu saduran Hindi dan lagu-lagu lama dari filem-filem Melayu klasik. Pasangan ini juga turut diundang membuat persembahan dalam rancangan-rancangan hiburan terbitan Radio & Television of Singapore (RTS) baik di radio mahupun TV.

Gambar kenangan Hari Raya penyanyi 60-an dan 70-an… Allahyarham A.Ramlie bersama Maria Bachok, Sanisah Huri dan Saadiah Saad

Tragedi 13 Mei 1969 yang berlaku di Malaysia dan kemudiannya turut merebak ke Singapura merupakan permulaan pudarnya kegilaan peminat terhadap muzik Pop Yeh Yeh. Ramai artis seangkatannya mula menyepikan diri. Namun begitu, A. Ramlie masih berkecimpung dalam bidang seni suara dengan penyertaannya dengan Hoover Records di bawah label Panda mulai tahun 1970.

Sepanjang bergelar artis rakaman, Allahyarham juga pernah membuat rakaman piring hitam bertajuk Hello Hello Sayang yang mengandungi 24 buah lagu pada tahun 1979 sewaktu beliau ke Indonesia.

Gambar kenangan…Allahyarham A.Ramlie dan Maria Bachok ketika masih bergelar suami isteri.

Untuk projek seterusnya, A. Ramlie digandingkan dengan sebuah kugiran dari Indonesia, The Commandos. Tidak seperti tahun tahun 1960-an dahulu, irama pada dekad ini lebih dipelbagaikan daripada irama rancak kepada joget, asli dan sentimental. Rakaman demi rakaman terus dibuat, dengan lagu-lagu seperti Gadis Jururawat, Kau Ingkari Janji, Kasih Jauh Di Mata, Segantang Lada, Ku Tunaikan Janji, Di Suatu Senja dan Nyawa Dan Badan Kalangan Diri. Ketika ini, beberapa komposer baru seperti Yusnor Ef, pasangan adik-beradik Ghaus & Rosnah Ghaffar dan komposer Indonesia seperti Yusaini Amir, Dondo dan M.D. Lingga turut memberi sumbangan ilham masing-masing kepada A. Ramlie yang turut mencipta lagu-lagunya sendiri untuk dimuatkan dalam album rakamannya.

A. Ramlie terus melebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur tahun 1980-an dengan album-album baru seperti Hancurnya Istana Cinta (IMI – 1982), Kisah Lukisan Sepuluh Tahun (EMI – 1984) dan Harapan (Gazco). Pada tahun 1983, A. Ramlie diundang oleh EMI untuk merakamkan kembali lagu-lagu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sempena 10 tahun kematian beliau (1973 – 1983).

Allahyarham A.Ramlie bersama puteri tunggalnya, Marliana pada tahun 1973.

Kebangkitan semula irama Pop Yeh Yeh pada tahun 1985 berikutan satu konsert perdana di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di atas usaha Allahyarham M. Shariff & The Zurah II telah merancakkan kembali irama Pop Yeh Yeh. Disebabkan itu, Allahyarham dan kugirannya dipanggil untuk merakamkan kembali lagu-lagu popularnya di bawah label Warnada Music. Keduanya kemudian berhijrah ke Johor Bahru untuk menyanyi di Juwita Longe milik penyanyi Hasnah Harun. A. Ramlie juga pernah merakamkan sebuah album tribute untuk Allahyarham Hamzah Dolmat pada tahun 1987 dengan judul Untukmu Penggesek Biola.

Malang sekali, jodoh A. Ramlie dan Maria Bachok tidak berpanjangan apabila mereka bercerai pada tahun 1988. Penceraian itu diabadikan beliau dalam lagunya Takdir pada tahun 1991 keluaran Mutiara Records. Selepas perceraiannya, Allahyarham kembali semula menetap di Tampines, Singapura bersama-sama ibu dan adik bongsunya, Suraya. Meskipun sudah bercerai, hubungan Maria Bachok dan A. Ramlie tetap baik hinggakan mereka kembali merakam semula lagu-lagu duet mereka terdahulu dalam sebuah album kompilasi bertajuk Itulah Sayang terbitan SRC keluaran 1996.

Penyanyi Hail Amir (kiri) bersama A.Ramlie pada tahun 1979.

Semenjak itu, A. Ramlie seolah-olah semakin menyepi dari dunia seni hinggalah kesihatannya semakin teruk akibat penyakit Parkinson yang dideritainya disiarkan dalam akhbar Berita Harian Singapura pada tahun 1995.

Difahamkan Allahyarham pernah meluahkan rasa kesal dan terkilannya pada peminat-peminat dan pihak-pihak tertentu yang tidak memperdulikan dirinya lagi. Kekesalannya ini diluahkan sebelum M.Shariff bersama rakan-rakan artis seangkatannya menganjurkan Konsert Masih Ada Yang Sayang bagi mengutip derma untuk membantu menampung perbelanjaan perubatan di Kuala Lumpur pada tahun 1996.

“Dia orang minat waktu aku sihat. Bila aku dah sakit macam gini, tak ada siapa pun ambil peduli. Mentang-mentanglah suara aku dah tidak sedap lagi. Wajah aku pun dah tak handsome macam dulu, diorang ketepikan aku. Hai! manusia-manusia,” kata akhir A.Ramlie yang bersedih mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Pasangan duet yang dirindui.

A. Ramlie sendiri bersama kugiran The Rythmn Boys mempersembahkan tiga lagu hit mereka. Dalam konsert yang sama, Maria Bachok muncul dengan menyanyikan semula lagu Itulah Sayang secara duet dengan M. Shariff. Sebuah album dengan judul Masih Ada Yang Sayang juga turut dirakam dengan menjemput wartawan-wartawan akhbar yang berkaliber untuk merakam semula lagu-lagu popular A. Ramlie, di mana A. Ramlie sendiri merakam semula lagu Ku Tetap Menunggu.

Pada tahun 1996 itu juga, A. Ramlie sempat merakam semula lagu-lagu lama beliau dengan iringan The Rythmn Boys, menghasilkan sebuah album bertajuk Fatimah II, sempena 30 tahun penglibatan mereka dalam seni muzik (1966 – 1996). A. Ramlie juga sempat merakam album kompilasi dengan bekas isterinya Maria Bachok, lapan tahun selepas penceraian mereka. Kali terakhir A. Ramlie merakam album ialah pada tahun 1998 dengan tajuk Secawan Kopi terbitan Musicland.

Kesihatan Allahyarham yang tidak mengizinkan beliau untuk kembali aktif menyanyi. Namun beliau terus tabah menghabiskan sisa-sisa usianya bersama keluarganya. Beliau juga bertuah kerana adik-beradiknya turut membantu menanggung kos-kos perubatannya. Malah seorang peminat setia A. Ramlie seorang doktor di Terengganu juga turut menawarkan bekalan ubat secara percuma kepada penyanyi kesayangannya ini.

A. Ramlie sentiasa dikenang sebagai penghibur yang bersuara emas.

Sepanjang karier seninya selama 30 tahun, beliau telah merakamkan lebih 200 buah lagu dalam 20 album dengan beberapa syarikat rakaman. Antara lagunya Buah Hatiku Sayang, Hidup bersama, Jangan Di Tanya, Kasih Tak Sudah, Ku Pergi Dulu, Ku Tunaikan Janji, Lambaian Desa, Oh Fatimah, Ole- Ole Temasik, Menanti Harapan, Ingat Padaku, Paduan Kasih, Kunanti Kau Pulang, Lumrah Dunia, Nelayan, Tunang Tujuh Purnama, Rindu Kasih, Lambang Ikatan Dua Remaja, Pepatah Pujangga, Seruanku, Harapan Menanti, Mencari Bahagia dan Hari Berganti Hari.

Namun Allah lebih menyayangi beliau, pada hari Rabu bersamaan 10 Mei 2001, pada usia 53 tahun, A. Ramlie menghembuskan nafas terakhir di rumah ibunya di Tampines, Singapura. Lebih seribu orang mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan di Pusara Abadi 2, Singapura.

Previous articleSyafinaz seronok jadi juri, dapat berkongsi ilmu dengan peserta
Next articleJom Iftar bersama Rasa Rosz, AEON Big, Wangsa Maju

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here