Drama arahan Ayie Mustafa ini menampilkan sisi lakonan Trisha Ooi yang berbeza daripada wataknya sebelum ini.

Oleh: Wawa Najwa

BAGI peminat drama tempatan, jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri ‘My Lovely Driver’, yang disiarkan menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, 7 malam, di TV3 bermula 16 Februari 2024.

Drama komedi romantik terbitan Sha’s Media Sdn. Bhd., itu menggandingkan Trisha Ooi dan Hisyam Hamid sebagai pelakon utama. Drama arahan Ayie Mustafa dan hasil karya Lynnda Sharudin itu turut menampilkan pelakon lain seperti Razzuan Rosli, Silfeny Osmani, Sefik Khair dan Faye Kusairi.

Bergandingan dengan Hisyam Hamid dalam drama bersiri ‘My Lovely Driver’.

Menurut Trisha Ooi, dia tak sangka dapat bergandingan dengan pelakon Hisyam Hamid yang berpengalaman itu.

“Sebagai pelakon baharu, sudah tentu saya rasa teruja apabila dapat bergandingan dengan pelakon berpengalaman iaitu Hisyam Hamid.

“Memandangkan drama ‘My Lovely Driver’ ini ialah sebuah drama komedi romantik, saya rasa seronok apabila boleh bawa watak yang bersahaja berbanding dengan watak saya yang lebih serius dalam drama-drama sebelum ini.

Nama pelakon Trisha Ooi semakin menyerlah dalam bidang lakonan.

“Saya tidak sabar untuk tunjukkan kepada penonton setia TV3 kelainan dalam watak yang diberi oleh pengarah Ayie Mustafa kepada saya. Mungkin penonton dapat melihat sisi yang lebih comel, lembut dan mencuit hati berbanding drama terdahulu, jadi saya berharap penonton dapat memberi reaksi positif untuk lakonan kami,” katanya penuh harapan.

Trisha Ooi atau nama penuhnya, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, selain berlakon juga seorang model. Beliau sebelum ini memulakan kerjayanya sebagai pelakon lagak ngeri. Mula terkenal menerusi watak Erra lakonannya dalam drama Risik Pada Hati (2022).

Drama ‘My Lovely Driver’ ini mengisahkan tentang Adly (Hisyam Hamid) yang masih trauma dengan kejadian kemalangan yang dialaminya lima tahun lepas dan melibatkan kematian seorang wanita.

Adly lakonan Hisyam Hamid dan Sam watak yang dibawa oleh Trisha Ooi dalam drama ‘My Lovely Driver’.

Kejadian ini menyebabkan dia sukar untuk memandu dan menyebabkan Adly menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke mana-mana sahaja. Ketika Adly ingin menggunakan khidmat pemandu kereta sendiri itu, dia juga telah berkenalan dengan Sam (Trisha Ooi).

Sam mempunyai banyak tanggungan di rumah, termasuk tanggungjawab untuk melunaskan hutang arwah ayahnya sehingga dia terpaksa mencari kerja tambahan.

Dia tekad untuk menambah pendapatannya dan tidak boleh hanya bergantung kepada perniagaan atas taliannya. Jojo (Sera Melissa) memberi sokongan kepada Sam untuk menjadi pemandu e-hailing sepenuh masa sementara Jojo membantu perniagaannya.

Trisha Ooi juga pernah menjadi pelakon lagak ngeri.

Pertemuan pertama Adly dan Sam sebagai pemandu dan penumpang bagaikan sebuah takdir untuk mereka apabila Adly berasa selesa dengan kehadiran Sam dalam hidupnya. Dia telah mengupah Sam untuk menjadi pemandu peribadinya dan di samping itu Adly juga dapat mempelajari lebih banyak mengenai perniagaan daripada Sam.

Adakah akan ada sesuatu di antara mereka? Dapatkah Adly pulih daripada trauma dengan kehadiran Sam?

Jika terlepas menonton di TV, anda boleh strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my dengan muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.

Previous articleBuat Suamiku Tersayang!
Next articleNeo pertaruh ‘Oh Ibu’ untuk kerjaya seninya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here