Datuk Awie antara artis yang akan turut serta pada majlis Malam Amal Al- Muqwa.

Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafiez Kamaruddin

Bagi peminat Datuk Awie jangan lupa datang ke Majlis Makan Malam Kesadaran Amal yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 17 Februari ini (Sabtu) dari jam 6 petang sehingga 11 malam.

Majlis Makan Malam Kesadaran Amal untuk Madrasah Al-Muqwa & Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim, Faqir, Miskin dan Dhuafa, Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith ini untuk mengisi dana bagi membantu anak-anak yatim, fakir dan miskin serta anak-anak mualaf yang terbiar.

Pengurusan Al-Muqwa di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar-pelajar anak yatim dan golongan yang berpendapatan rendah atau tidak berkemampuan yang menghuni rumah ini untuk menjadikan mereka sebagai penghafaz Al-Quran dan juga alim ulama.

Pihak pengurusan Al- Muqwa bergambar kenangan bersama artis, rakan strategik dan pihak penaja selepas majlis sidang akhbar mengumumkan majlis makan malam tersebut.

Mudir Al-Muqwa, Amran Johari berkata, bagi membantu mengisi tabung kami pada malam tersebut, turut menjemput beberapa orang artis popular untuk membantu.

“Selain penyanyi rock Awie, majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan Ali XPDC dan Selebriti Hijrah Superstar iaitu Ijam Medicine, Adi Wow dan Anjang Terra Rossa. Manakala acara majlis pula akan dikendalikan penyampai radio Zayyan, Faizal Ismail dan Mawi.

“Saya juga menyeru kepada mana-mana rakan artis yang berminat ingin membantu bolehlah menyumbangkan barang-barang, pakaian atau koleksi peribadi untuk dihadiahkan kepada madrasah untuk dilelong pada majlis makan malam tersebut.

Ali XPDC ( kiri) bersama rakan artis yang akan menjayakan Majlis Amal Al- Muqwa Malam 17 Februari ini.

“Kami juga berharap ada pihak yang sudi menaja majlis yang kita anjurkan atau kepada mana-mana pihak yang ingin membeli meja-meja yang kita jual melalui kupon-kupon yang disediakan. Insya-Allah, 10 orang boleh dimuatkan pada meja-meja yang berharga RM3000, RM5000 dan RM8000.

Amran menambah, selain persembahan artis, kami turut sajikan beberapa persembahan lain.

“Insya-Allah… selain persembahan artis, tetamu juga akan menikmati persembahan salawat, bacaan Ratib Al-Attas & Hirzi, bacaan ayat-ayat suci Al Quran, bacaan Asma’ Ul Husna, perkongsian pengalaman artis-artis hijrah dan persembahan qasidah dari kumpulan Ahbabul Sham (Syria) dan At-Thullab (Malaysia).”

Penyampai radio Zayyan, Faizal Ismail akan bergandingan dengan Mawi.

Menurut Amran lagi, pandemik Covid-19 yang berlaku sebelum ini banyak menjejaskan pengurusan Al-Muqwa.

“Ini semua adalah cetusan idea dan juga galakan Ali XPDC selaku duta Al- Muqwa. Itu yang membuatkan kami bersemangat untuk mengadakan program makan malam amal ini buat kali kedua menerusi jualan meja bagi membiayai kos operasi madrasah yang telah terjejas sejak dua tahun lalu kesan daripada pandemik Covid-19.

“Kini kami terpaksa melalui ujian yang sukar dan ianya masih berlarutan sehingga kini dengan bebanan hutang hampir RM285,000 termasuk tunggakan atau tuntutan hutang daripada pembekal tenaga dan juga syarikat air yang mana jumlah tunggakan bil-bil utiliti tersebut mencecah sehingga RM80,000 untuk tempoh dua tahun.

“Kami tidak bayar hutang kerana tidak mampu untuk menjelaskannya. Sejak setahun setengah ini kami sering terputus bekalan makanan,”katanya lagi mengenai Al-Muqwa yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu.

Sebarang pertanyaan bagi mereka yang ingin membantu, menderma serta membeli meja boleh hubungi Amran 0126212582, Roslan (0162446567), Omar (0163753117), Hasroy (0176396368), Khusairi (0165526500) atau Manaf (01135699515).

Program tajaan Syarikat RF3 World Sdn.Bhd. anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim, Faqir, Miskin & Dhuafa’ Madrasah Al-Muqwa dan Madrasah Muqwa Lil Banat ini turut mendapat kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Pertubuhan Pusat Data Usahawan Dan Ekosistem Malaysia (MEEDC) serta Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).

Previous articlePernahkah Allah tidak menjawab doa hamba-Nya? (Bahagian 2)
Next articleUngu Di Pesta Muzik Kuantan Ditunda 4 Mei Ini Bagi Menghormati Bulan Ramadan Yang Hampir Tiba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here