SITI Tanjung Perak…seniwati serba boleh dalam pelbagai karakter.

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA

APABILA sebut nama Allahyarham Seniwati Siti Tanjung Perak, pasti para peminat filem Melayu tidak boleh melupakan suara ‘uniknya’ yang sering memanggil anak bungsunya ‘Ayu’ (lakonan Rahayu Sudarmaji) dalam filem “Bujang Lapok.”

Walaupun dengan wajahnya yang nampak garang tetapi lontaran suaranya ketika memanggil anaknya yang lebih dikenali ‘Ayu 20 sen’ kerana sering meminta upah hanya 20 sen untuk menutup rahsia atau memberi maklumat tentang Jeton, mampu membuatkan para penonton ketawa.

SITI Tanjung Perak bersama Zaiton dalam satu babak filem “Bujang Lapok.”

Babak beliau membebel kerana tidak suka Jeton, kakak Ayu, lakonan Seniwati Zaiton bercinta dengan Sudin (Allahyarham Seniman S. Shamsuddin) itu melekat di hati para peminat filem tersebut sehingga hari ini. Filem ini diterbitkan pada tahun 1957 dan merupakan filem siri pertama yang menggunakan perkataan ‘bujang lapok.’

Selepas filem “Bujang Lapok,” P. Ramlee mengarah tiga lagi filem siri ‘bujang lapok’ iaitu “Pendekar Bujang Lapok,”(1958), “Ali Baba Bujang Lapok”(1960) dan “Seniman Bujang Lapok”(1961). Keempat-empat filem siri ‘bujang lapok’ ini mengekalkan tiga watak utamanya iaitu P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar.

POSTER “Bujang Lapok” filem arahan P. Ramlee diterbitkan pada tahun 1957.
Selain P. Ramlee turut membintangi filem ini S. Shamsuddin dan Aziz Sattar.

Begitulah berkesannya lakonannya Siti Tanjung Perak menjiwai watak ibu tunggal kepada dua orang anak perempuan dalam filem bergenre komedi ini.

Siti Tanjung Perak atau nama sebenarnya Siti Sundari Samad dilahirkan pada tahun 1912 di Pulau Wasi Bugis, Sulawesi, Indonesia.

SITI Tanjung Perak berpakaian Tentera Laut dalam bulatan bulat di awal penglibatan beliau dalam dunia seni.

Bukan sahaja suaranya yang nyaring dengan tonasi ‘tegas dan garang’ malah dialog bahasa Inggerisnya yang melucukan apalagi bila beliau kaitkan sejak berjiran dengan Miss Wong ‘skiping’ (speaking) London semakin berabok (hebat) membuatkan beliau merasakan dirinya berada di kelasnya yang tersendiri.

Apalagi dengan ‘kekayaannya’ yang memiliki dua bentuk cincin berlian menjadikan beliau ‘orang ada-ada’ dan tidak mahu Jeton berkahwin dengan Sudin. Itulah watak ikonik Siti Tanjung Perak dalam filem tersebut.

WAJAHNYA yang cantik menawan, Siti Tanjung Perak ( Berdiri paling kanan ) digelar Seri Panggung.

Meskipun babak tersebut hanya beberapa minit tetapi secara tidak langsung mampu menepis rasa ‘benci’ penonton terhadap Siti Tanjung Perak. Sebabnya dalam filem itu ‘garangnya sekeras kerak nasi’ yang boleh dibawa berunding di mana akhirnya beliau sanggup menerima pinangan Sudin dengan hantarannya seribu serba satu!

Bersandarkan watak ‘Mak Jeton,’ populariti Siti Tanjung Perak naik tiba-tiba dan beliau mendapat tawaran demi tawaran berlakon filem terbitan Studio Jalan Ampas.

WAJAH Seri Panggung…Siti Tanjung Perak.

Sebagai ‘Mak Jeton’ watak antoganis yang dilakonkan dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah,”(1959) sebagai Kundor,(emak kepada Bawang Puteh lakonan Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum) dan “Rumah Itu Duniaku”(1963), peluang beliau berlakon dalam pelbagai watak semakin terbuka tidak seperti sebelum ini.

Sebagai ‘Kundor’ beliau sanggup melakukan apa sahaja demi menghancurkan kebahagiaan Bawang Merah (Allahyarham Seniwati Latifah Omar) dengan Putera Raja (Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof) agar Bawang Puteh boleh menggantikan kakaknya.

SITI Tanjung Perak bersama suaminya yang pertama, M. Taib.
SITI Tanjung Perak bersama suaminya yang kedua, Abdul Ghani.

Menjejaki perjalanan seni Siti Tanjung Perak, beliau mula berlakon selepas menonton pementasan bangsawan pada tahun 1927. Sejak itu, bermulalah perjalanan hidup beliau sebagai pelakon bangsawan sehingga beliau digelar ‘Seri Panggung’ kerana memiliki seraut wajah yang mempesonakan.

Pada mulanya, Siti Tanjung Perak takut untuk mengikuti rombongan bangsawan kerana orang kampungnya ketika itu terlalu konservatif. Mereka memandang serong pada dunia seni dengan alasan bekerja sebagai pelakon ‘tidak elok.’

SITI Tanjung Perak dan Latifah Omar dalam satu babak filem “Bawang Putih Bawang Merah.”

Disebabkan minatnya yang begitu mendalam, beliau meminta izin keluarganya. Pada mulanya Siti Tanjung Perak hanya menjadi pelakon tambahan tetapi beliau akhirnya dinaikkan pangkat sebagai pelakon pembantu.

Beliau dikatakan pelakon bangsawan yang ‘extraordinary’ kerana bukan setakat berlakon, beliau juga boleh menari malah Siti Tanjung Perak juga memiliki suara yang lunak sebagai penyanyi.

SITI Tanjung Perak (duduk kanan) merakamkan kenangan bersama seniwati dan seniman pada 1950-an.

Adalah difahamkan apabila menjadi penyanyi beliau selalu diminta menyanyikan sebuah lagi klasik Indonesia berjudul “Tanjung Perak” yang dipopularkan S. Abdullah. Sejak itu, nama Siti Sundari tenggelam dan beliau mula dikenali sebagai Siti Tanjung Perak.

Setelah dikenali sebagai penyanyi dengan nama Siti Tanjung Perak dan pada usianya 15 tahun beliau melangkah kaki sebagai anak wayang dengan filem pertamanya “Seruan Merdeka” terbitan Malayan Art Production pada tahun 1947. Filem ini mengisahkan perjuangan nasionalis Melayu menentang Jepun.

DARI kiri: S. Roomai Noor, Siti Tanjung Perak dan Puteh Lawak.

Kemudian setelah filem tersebut pada tahun yang sama, Siti Tanjung Perak berhijrah ke Studio Jalan Ampas dengan kontrak untuk tempoh tiga tahun.

Filem pertamanya di Studio Jalan Ampas adalah “Singapura Di Waktu Malam”(1947) arahan B.S Rajhans.

WAJAH seniwati serba boleh…Siti Tanjung Perak.

Bersama Studio Jalan Ampas, tawaran berlakon tidak pernah henti dan beliau berpeluang berlakon antaranya dengan P. Ramlee, Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak.

Bakat lakonannya yang menyerlah membuatkan setiap tiga tahun kontraknya disambung dan lakonannya sebagai ‘Mak Jeton’ dalam “Bujang Lapok” telah meletakkan Siti Tanjung Perak di kelasnya yang tersendiri!

BABAK dari filem “Bapa Saya” (1951).
Dari kiri: R. Azmi, Siti Tanjung Perak, AR Tompel dan Osman Gumanti.

Bagaimanapun apabila kontraknya bersama Studio Jalan Ampas tamat, Siti Tanjung Perak berhijrah ke Studio Cathay Keris dengan gaji yang lebih baik.

Di studio Jalan Ampas, gaji bulanannya hanya $90 sebulan. Bagaimanapun di Cathay Keris, Siti Tanjung Perak dibayar gaji bulan sebanyak $200 sebulan tidak termasuk bonus!

Sepanjang 27 tahun melayari hidup sebagai anak seni bergelar Seniwati, Siti Tanjung Perak telah membintangi 55 filem dengan filem terakhirnya “Sandakan No.8” filem Jepun yang diterbitkan pada tahun 1974.

SITI Tanjung Perak dan Minah Yem dalam satu babak filem lakonan mereka.

Selepas Cathay Keris tutup pada tahun 1973, sesekali Siti Tanjung Perak diundang berlakon drama terbitan TV Singapura.

Tetapi akhirnya Siti Tanjung Perak mengambil keputusan bersara dari berlakon sambil berkata;

SATU babak dari filem “Rumah Itu Duniaku” terbitan Cathay Keris. Filem terbitan tahun 1963 arahan M. Amin dilakonkan S. Roomai Noor, Latifah Omar, A. Rahim, Tony Kassim, Malek Selamat, dan Siti Tanjung Perak.

“Susah berlakon drama TV sebab semuanya kena ikut skrip. Cara berlakon dulu lain, kita tak pernah pakai skrip.”

Selepas bersara daripada berlakon, Siti Tanjung Perak yang terkenal sebagai seorang seniwati yang cukup berdisiplin berkata;

DUDUK depan: Zainab Simen dan Zaharah Ahmad.
DUDUK belakang: Siti Tanjung Perak dan Marsita.

“Saya tidak suka tengok filem-filem lakonan saya apalagi kalau watak jahat. Saya tak selesa tengok saya ‘jadi jahat.’ Kadang-kadang saya terfikir kenapalah saya sanggup jadi jahat!”

Siti Tanjung Perak pernah menghadiri Festival Filem Malaysia ke-7 pada tahun 1987 ketika usianya 75 tahun. Pada majlis tersebut beliau berpeluang berjumpa sahabat lama antaranya Allahyarham Seniwati Aini Jasmin.

SITI Tanjung Perak kelihat menawan dengan kebaya pendek.
AHMAD Fauzee bersama Siti Tanjung Perak pada Festival Filem Malaysia ke-7 1987 di Melaka.

Sepanjang perjalanan hidupnya, Siti Tanjung Perak pernah berkahwin dua kali dengan suami pertamanya, M. Taib, peniup saksofon yang bersamanya di pentas bangsawan. Tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila suaminya terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak diberi nama Sari Intan yang lebih dikenali Seniwati Supatri.

Setelah beberapa tahun hidup sebagai ibu tunggal, Siti Tanjung Perak bertemu jodoh dengan seorang anggota polis, Abdul Ghani. Mereka dianugerahkan seorang anak perempuan, Zairina Abdul Ghani. Kedua-dua anak beliau terkenal sebagai pelakon era 1950-an dan 1960-an.

Siti Tanjung Perak pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik berdasarkan pilihan para peminatnya pada tahun 1953.

FESTIVAL Filem Malaysia ke-7 di Kuala Lumpur pada tahun 1987.
Bergambar kenangan…Belakang: Datuk Hail Amir, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Produser, Allahyarham Haji Zahari Haji Zabidi dan S. Shamsuddin.
Duduk: Siti Tanjung Perak dan Aini Jasmin.
PERTEMUAN Seniwati Neng Yatimah, Seniwati Hajjah Habsah Buang, Siti Tanjung Perak dan anaknya.

Beliau meninggal dunia pada 6 Ogos 1992 pada usia 80 tahun di Hospital Changi, di Changi, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Previous articlePes Asam Pedas Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Asam Pedas Melaka Tetel & Tulang !
Next articleTawaran 50% khas buat peminat dangdut, tiket ‘Konsert Milenia 2024’ bersama Amelina, Mas Idayu, Thomas Arya, Baby Shima dan ramai lagi!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here