Christmas tree in our living room.
Photo by Sven Brandsma on Unsplash

Oleh Nury Kadir

MARI kita sambung persoalan kedua yang belum dijawab pada artikel minggu lepas. Apakah orang Islam boleh memakai topi Santa Claus atau sebarang perhiasan berkaitan Krismas? Bila tiba Krismas ada sahaja selebriti yang muat naik gambar dalam akaun media sosial memakai topi Santa Claus. Kemudian tunjukkan sudut rumah yang dihiasi dengan pokok krismas.

Sedangkan seluruh isi rumah beragama Islam dan dilahirkan sebagai orang Islam. Apabila ditegur, selamba sahaja diberikan alasan untuk suka-suka sahaja dan tidak ada niat pun untuk mengagungkan agama Kristian. Apakah ada alasan tertentu yang membolehkan perkara itu dilakukan?

Bagi merungkai persoalan tersebut, ini yang dijelaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan di dalam ruangan Al-Afkar (www.muftiwp.gov.my), pemakaian topi Santa Claus atau apa sahaja perhiasan dan pakaian yang berkaitan dengan Hari Krismas termasuk meletakkan pokok Krismas adalah tidak dibenarkan.

Jelasnya, tidak ada keperluan untuk memakainya kerana pakaian atau perhiasan itu seakan-akan menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan tersebut. Islam hanya membenarkan jemputan jamuan makan sekadar yang perlu sahaja. Kebersamaan kita menghadiri jamuan itu hanya sekadar menjaga hubungan baik dan bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka.

Dengan jawapan yang ringkas itu, tentu ramai orang Islam yang acah-acah hendak menjadi moden dengan mengikut amalan Kristian pasti membantah. Tapi, nanti dahulu, cuba kita lihat kembali apa kata sejarah tentang simbol-simbol dan perhiasan dalam sambutan Hari Krismas.

Di dalam Al-Afkar dijelaskan bagaimana sejarah simbol itu bermula. Bagi topi Krismas, ianya sinonim dengan figura yang amat terkenal iaitu Santa Claus. Ada yang mengatakan bahawa Santa Claus adalah Saint Nicholas seorang tokoh paderi Kristian terkenal, dia dikatakan suka memberi hadiah dan duit kepada masyarakat. Manakala gambaran Santa Claus yang memakai pakaian merah dan topi hanya muncul pada tahun 1881, yang mana ianya dilakarkan oleh Thomas Nest.

Sementara, pokok krismas pula mempunyai sejarah yang panjang. Kebanyakannya menggunakan bentuk pokok Cemara Malar Hijau (Evergreen Fir Tree). Pokok ini sebenarnya digunakan bagi perayaan musim sejuk, sebelum munculnya Kristian. Sebagai contoh, bagi penduduk Rom, mereka akan menggunakan pokok ini sempena perayaan Saturnlia.

Penduduk Mesir Purba pula menggunakannya untuk menyembah Tuhan Ra. Pokok ini dibawa oleh penduduk Jerman pada kurun ke-16 di mana penganut Kristian akan membawanya ke rumah mereka dan menghias pokok tersebut.

Martin Luther, pengasas mazhab Protestan telah membawa pembaharuan dengan meletakkan hiasan lilin pada pokok tersebut. Sehingga hari ini ianya menjadi simbol Kristian kerana bentuk segi tiganya melambangkan konsep Triniti yang dianuti oleh umat Kristian.

Sekarang jelas bukan, mengapa pokok krismas tidak dibenarkan menjadi hiasan bagi orang Islam. Kalau kita faham sejarah, maka tidak akan ada bantahan atau alasan sekadar suka-suka.

Berbalik pada persoalan utama, kenapa ia tidak dibenarkan ke atas orang Islam? Ini pula jawapan diberikan, seorang Muslim tidak dibenarkan untuk meniru atau memakai apa sahaja simbol atau pakaian yang mempunyai kaitan dengan agama lain. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Maksudnya, “Sesiapa yang menyerupai satu kaum maka dia termasuk dari kalangan mereka.”

Dan, dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda; Maksudnya, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyerupai selain dari kami. Jangan kalian menyerupai Yahudi dan Nasrani.”

Bagi menghurai hadis tersebut Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri mengatakan, “Sabda Nabi ‘bukan dari kalangan kami’ iaitu bukan dari golongan kami dan yang mengikut jalan kami. ‘Sesiapa yang menyerupai selain dari kami’ iaitu yang bukan dari kalangan agama kami.”

Manakala Sheikh Zakariyya Al-Ansari pula menyebut, “Tidak boleh mengetatkan Zunnar (tali pinggang yang menjadi lambang zimmi) di tengah-tengah pinggang atau meletakkan qalansawah (kain) Majusi di atas kepalanya.”

Jika memakai pakaian yang menjadi syi’ar agama lain sudah dianggap sebagai tasyabbuh (penyerupaan) apatah lagi jika ianya melibatkan perhiasan yang menjadi lambang sesuatu perayaan. Ini juga adalah berdasarkan tafsiran yang dilakukan oleh para ulama terhadap surah Al-Furqan ayat 72. Maksudnya, “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.”

Imam Al-Qurtubi menyebutkan beberapa pandangan ahli tafsir berkenaan ayat ini. Antaranya, “Dalam riwayat Ibn Abbas menyebut bahawa Al-Zur adalah perayaan-perayaan orang Musyrik.”

Namun perlu dibezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah tasyabbuh dan musyabahah. Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama, ia juga dilakukan oleh ahli agama lain, maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tasyabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).

Sebagaimana komentar Ibn ‘Abidin terhadap Durr al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang dikatakan menyerupai ahli kitab. Katanya, “Hisham berkata: Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan paku-paku. dan berkata: “Adakah kamu merasa susah memakai ini?” Dia menjawab, “Tidak”. Aku berkata, “Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib.” Beliau menyatakan, “Nabi SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.” (Ibn ‘Abidin menyatakan) “Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib.”

Menurut Ibn ‘Abidin, ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan atau menyerupai dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah. Malah, hal ini juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu adalah bentuk persamaan tanpa niat.

Oleh sebab itu, penyerupaan, kadang-kadang bermaksud haram dan kadang-kadang bermaksud makruh. Imam Ibn Salah Rahimahullah dalam Fatwa-nya: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam.”

Jika penyerupaan itu sedikit atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu bersifat makruh. Contohnya seperti:

  1. Melakukan qaza` (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain).
  2. Melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah.
  3. Puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat.

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian itu tidak lagi melambangkan kaum yang bukan Islam dan fasiq. Sebaliknya, ia berubah menjadi adat suatu kawasan atau negara. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus.

Berkata Imam al-Bujairimi Rahimahullah dalam Tuhfah al-Habib dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tiyalisah: “Dan disebabkan pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan.

Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bid’ah-bid’ah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”

Daripada sudut sejarah, pemakaian tiyalisah atau kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi dan Nasrani. Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa dan diijazahkan pemakaiannya. Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

snowman, town, urban
Photo by VinnyCiro on Pixabay

Keputusan Majlis Fatwa

Berdasarkan pendapat ulama, maka Mufti Wilayah Persekutuan melihat bahawa pemakaian topi Santa Claus dan meletakkan pokok krismas adalah tidak dibenarkan jika tiada keperluan. Ini kerana ianya merupakan lambang atau simbol yang sinonim dengan perayaan Hari Krismas. Apatah lagi jika di pejabat atau tempat itu mempunyai jumlah orang Islam yang lebih ramai.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara.

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak: “Bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam. Contohnya:
    • *Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya; Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
    • Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
    • Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam
    • Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
  2. Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam. Contohnya:
    • Memakai pakaian berwarna merah seperti Santa Claus atau pakaian lain yang melambangkan agama.
    • Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya.
    • Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa.
    • Mengadakan acara berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya

Tidak dapat dinafikan bahawa Allah SWT menciptakan manusia dengan pelbagai bangsa dan agama agar manusia boleh saling mengenali dan memahami. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Hujrat: 13. Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut,”Iaitu untuk saling mengenali, bukannya untuk saling memungkiri. Celaan, ejekan dan umpatan boleh membawa kepada perpecahan.”

Inilah asas fiqh Ta’ayush (fiqh co-existence) iaitu fiqh berkenaan kewujudan bersama. Lebih-lebih lagi kita hidup bersama penganut agama yang lain. Namun begitu, asas ini hanya terhad kepada hubungan kemanusiaan agar saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Seorang Muslim tidak boleh sama sekali atas nama Fiqh Ta’ayush melibatkan diri apatah lagi mengiktiraf apa-apa perkara yang melibatkan akidah agama lain. Ini berdasarkan prinsip yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Al-Kafirun : 6. Maksudnya, “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Previous articleAll-4-One di Genting 25 Disember ini!
Next articleShiha Zikir sebak ‘Kalam’ masuk AJL38

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here