Oleh Wawa Najwa

Jika sebelum ini Exists mengadakan konsert secara akustik di Dewan Filharmonik, kali ini mereka akan mengadakan persembahan bersama dengan pemuzik orkestra pula.

Exists yang sudah 32 tahun dalam bidang seni ini pernah bermain di pentas funfair, festival-festival muzik dan terbaharu Exists disambut baik oleh peminat Indonesia sewaktu kemunculan mereka di Festival 90’s yang diadakan di Kemayoran, Jakarta, Ogos lalu.

Untuk penutup tahun ini, Exists akan menjayakan ‘Konsert Exists X Orkestra’ yang akan diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.

Anggota Exists sibuk menjalani latihan dengan pemuzik orkestra.

Penganjur ‘Konsert Exists X Orkestra’ iaitu Persatuan Global Malaysia mahu mencipta sejarah peribadi buat Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad sepanjang pembabitan mereka sebagai pemuzik yang bergerak atas nama Exists.

“Sudah tentu konsert Exists pada kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilihat dan dipersembahankan mereka sebelum ini.

“Jika sebelum ini Exists bermain sebagai sebuah kugiran tetapi untuk konsert ini, buat pertama kalinya penonton akan menjadi sebahagian daripada sejarah kerana Exists akan bergabung dengan kumpulan orkestra.

“Kami selaku penganjur harus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Exists dan Orkestra kerana menyambut baik proposal kami lalu menjadikan ia sebuah kenyataan,” ujar Pengarah Program Persatuan Global Malaysia, Mohd Roslan Mohd Rafi.

Pertama kali Exists menjayakan konsert bersama orkestra.

Buat Exists pula, bergabung ‘permainan’ dengan para pemuzik orkestra sudah lama menjadi impian. Apapun mereka hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menghasilkan sebuah persembahan kolaborasi dengan kumpulan pemuzik orkestra.

“Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian tentang dunia kami ini adalah mengadakan persembahan konsert dan bergabung dengan 30 pemuzik orkestra.

Temui Exists di Mega Star Arena pada 22 Disember ini.

“Sebelum ini kami sudah banyak kali muncul dengan persembahan skala kecil kepada skala besar, sesuai dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah peribadi ini buat setiap anggota yang sudah berkelana sangat jauh dari usia remaja sehingga sekarang.

“Apapun ribuan terima kasih kami ucapkan kepada para peminat kerana tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” ujar Along.

Mamat akan menyampaikan lagu Rahsia Pohon Cemara dengan versi baharu.

Tambah Along, di konsert itu nanti lagu “Rahsia Pohon Cemara” ciptaan sepenuhnya oleh LY pada tahun 1991 daripada album pertama mereka akan diperdengarkan dalam versi berbeza.

“Pada konsert itu nanti, Exists buat pertama kali menghasilkan ‘Rahsia Pohon Cemara’ dalam versi yang berbeza. Lagu itu mempunyai nilai sentimental buat Exists kerana ia adalah lagu pertama yang kami rakamkan dan diabadikan dalam album sulung kami. Pada Exists X Orkestra, ‘Rahsia Pohon Cemara’ dipersembahkan dengan sangat istimewa,” katanya.

Exists bakal cipta sejarah peribadi untuk kerjaya seni mereka.

Untuk ‘Konsert Exists X Orkestra,’ tiket-tiket dijual pada harga serendah
RM168, RM268, RM368,
RM468 dan RM568
yang boleh dibeli menerusi di www.myticket.asia atau tiket fizikal boleh hubungi Unie PRGM +60 11-3359 1889.

Previous articleCara hilangkan batuk berterusan
Next articleKasut tumit tinggi? Cantik tapi derita…(Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here