Allahyarham seniwati legenda Datin Umi Kalthum yang sentiasa dirindui oleh peminat filem Melayu.

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi Syed Wafa

BAGI para peminat filem Melayu klasik, mungkin nama Seniwati Umi Kalthum lekat di hati anda disebabkan rasa marah dan benci kerana wataknya sebagai ‘Putih’ dalam filem “Bawang Putih, Bawah Merah,” dan Tengku Halijah, ibu tiri yang kejam dalam “Raden Mas.” Kedua-dua filem ini terbitan Cathay Keris Film pada tahun 1959.

Walaupun Allahyarham Seniwati Datin Umi Kalthum ‘dimarah’ dan ‘dibenci’ kerana watak tersebut tetapi realitinya itulah yang membuatkan nama dan bakatnya semakin menyerlah dalam dunia filem Melayu ketika itu.

KECANTIKAN asli yang dimiliki Umi Kalthum membuatkan Ho Ah Loke mengambilnya menjadi seniwati Cathay Keris.
KEJELITAAN Umi Kalthum amat menyerlah.

Beliau yang menceburi bidang lakonan selama tiga dekad dan telah membintangi lebih 30 filem dengan filem pertamanya, “Buluh Perindu” (1953), “Tangisan Ibu” (1954), “Kipas Hikmat” (1955),”Dosa Wanita” (1967), “Menanti Hari Esok” (1977), “Abang” (1981), “Sumpahan Mahsuri” (1989) dengan filem terakhirnya “Syukur 21” (2000).

Bagaimanapun filem “Sumpahan Mahsuri” meninggalkan kenangan manis dan abadi buat Umi Kalthum kerana itulah filem terakhir lakonan beliau bersama suami tercinta, Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor.

UMI Kalthum dengan ketinggian 1.65 meter membuatkan beliau kelihatan anggun bergaya dengan apa juga fesyen yang dipakai.
SIFAT jahat dan irihatinya yang suka menganiaya ‘Merah’ lakonan Allahyarham Latifah Omar membuatkan Umi Kalthum sebagai ‘Putih’ dalam filem “Bawang Putih Bawang Merah” dibenci para peminat filem Melayu klasik.

S. Roomai Noor meninggal dunia pada usia 73 tahun, di Hospital Makkah, Arab Saudi kerana paru-paru berair ketika menunaikan umrah bersama Umi Kalthum sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 16 Mac 1996 bersamaan 25 Syawal 1416 Hijrah.

Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahaudin kehilangan ayahnya kerana sakit usus ketika beliau berusia tujuh tahun. Beliau pernah mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Melaka pada usia 16 tahun tetapi terpaksa melupakan peluang itu kerana ibunya menganggap sepandai mana pun seorang wanita akhirnya akan ‘berkerja’ di dapur!

UMI Kalthum sebagai Tengku Halijah dalam filem “Raden Mas.”
RATU watak jahat filem klasik…Umi Kalthum.

Umi Kalthum anak tunggal kepada pasangan suami isteri, Inspektor Kesihatan, Allahyarham Bahaudin Baginda Mohd. Aris dan Allahyarham Rokian Sutan Mohd. Zain, menceburi bidang lakonan setelah bercuti ke Singapura bersama kawan baiknya, Siti pada tahun 1951.

Kebetulan bapa saudara Siti, berkawan baik dengan pemilik Cathay Keris, Mendiang Ho Ah Loke yang telah terpandang wajah Umi Kalthum dan mempelawa beliau menjadi pelakon. Tetapi ketika itu, Umi Kalthum menganggap pelawaan itu hanya ‘ajak-ajak ayam.’

SENIWATI kesayangan ramai…Fatimah Ahmad, Umi Kalthum, Roseyatimah dan Rahmah Ali.
BINTANG dari Cathay Keris.
Dari kanan: Umi Kalthum, Rahmah Ali, Loke Wan Tho, Allahyarham Roseyatimah dan Allahyarham Fatimah Ahmad di Festival Filem Asia di Taipei, Taiwan pada tahun 1964.
Gambar ini dirakamkan sebelum Loke Wan Tho dan isterinya, Mavis Chew terbunuh dalam nahas kapalterbang terhempas pada 20 Jun 1964.

Bagaimanapun seminggu setelah kembali ke Malaya, beliau mendapat tawaran berlakon melalui telegram kiriman Ho Ah Loke.

Ho Ah Loke adalah kawan baik kepada S. Roomai Noor dan bersandarkan persahabatan dan persefahaman itu, mereka menubuhkan Keris Film yang kemudiannya berjaya dan dikenali Cathay Keris.

UMI Kalthum turut berlakon dalam filem “Lela Satria.”
KECANTIKAN asli wanita Melayu jelas terpancar di wajah Umi Kalthum

Walaupun pada awalnya mendapat tentangan daripada ibunya, tetapi akhirnya Umi Kalthum ke Singapura dengan ditemani ibunya. Mereka bukan sahaja menerima layanan baik daripada keluarga Ho Ah Loke malah tinggal di rumah penerbit filem itu selama setahun.

Sejak itu, Umi Kalthum berkawan rapat dengan S. Roomai Noor dan setelah bercerai dengan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak pada tahun 1953 dan mempunyai seorang anak, Ithnaini yang lebih dikenali Anita Sarawak, S. Roomai mengahwini Umi Kalthum pada tahun 1955.

UMI Kalthum memegang majalah Cinema HERALD terbitan tahun 1961 yang mengabadikan beliau sebagai ‘cover girl’ walaupun telah mempunyai empat orang namun tetap kelihatan anggun bergaya dengan baju kebaya dan berselendang.

Perkahwinan bahagia ini telah dikurniakan enam orang anak iaitu Noor Salasawati, Noor Kumalasari, Sonadi Noor, Noor Latiff, Noor Jumaaton dan Nurul Mukmin.

Sejak menjadi pelakon tetap Cathay Keris, satu demi satu filem dilakonkannya tetapi tidak pernah beliau menduga setelah mempunyai empat orang anak iaitu dua daripada perkahwinan pertama, Noraini dan Muhammad Jaafar dan dua bersama S. Roomai Noor iaitu Noor Salasawati dan Noor Kumalasari.

KEJELITAANNYA amat terserlah dengan raut wajah bujur sirih, kulit putih gebu tidak salah apabila dua majalah antarabangsa iaitu Life dan Cinema HERALD menamakannya sebagai ‘The Most Beautiful Woman of Malaya.
UMI Kalthum…gaya seorang seniwati popular filem Melayu era 1950-an dan 1960-an

Paling dibanggakan seniwati jelita ini pernah dua kali beliau diiktiraf sebagai ‘The Most Beautiful Woman’ di Singapura dan Malaya pada tahun 1956 dan 1961!

Dengan ketinggiannya 1.65 meter (5 kaki 6 inci), wajah bujur sirih dan berkulit putih gebu, Umi Kathum telah menarik perhatian Phillipe Halsman, jurugambar majalah fesyen antarabangsa, Life untuk mengabadikan beliau dalam majalah berkenaan dengan headingnya ‘The Most Beautiful Woman’ di Singapura dan Malaya.

PASANGAN sejoli…S. Roomai Noor dan Umi Kalthum.

Pada tahun 1961 sekali lagi, Umi Kalthum menjadi penghias muka depan (cover girl) majalah antarabangsa iaitu Cinema HERALD dengan heading yang hampir sama ‘The Most BEAUTIFUL WOMAN OF MALAYA.’

Walaupun ada yang menganggap betapa bertuahnya Umi Kalthum apabila dua kali dipilih dan diiktiraf oleh majalah antarabangsa sebagai Wanita Tercantik di Singapura dan Malaya tetapi rambut sama hitam hati berbeza.

NOOR Kumalasari bersama ibunya, Umi Kalthum ketika menghadiri majlis perkahwinan pada tahun 1960-an.
UMI Kalthum dan S. Roomai Noor bersama tiga daripada enam orang anak mereka.

Disebabkan beliau terpilih menjadi Wanita Tercantik timbul cakap-cakap yang kurang sedap didengar apabila bukan sahaja peminat malah di kalangan pelakon mempertikaikan beliau berkemban dalam majalah fesyen, Life.

Cakap-cakap itu diterima dengan hati terbuka oleh Umi Kalthum yang turut mengenakan kebaya pendek dan kain batik, sedangkan sebelum ini bukan sahaja beliau malah pelakon lain juga pernah berkemban dalam filem ketika itu!

Apabila menyingkap perjalanan seni Umi Kalthum sebagai seniwati pasti ramai peminatnya yang tertanya-tanya kenapa beliau sering diberikan watak ibu tiri, perempuan jahat dan batu api?

UMI Kalthum bersama Abdul Qayyum, anak sulung Noor Kumalasari.
PERTEMUAN terakhir ‘Putih’ dan ‘Merah.’
Pelakon utama filem “Bawang Putih Bawang Merah” bertemu sebelum Latifah Omar meninggal dunia pada 9 Jun 2013 dan Umi Kalthum meninggal pada 24 Julai 2013

Sebenarnya di sebalik keberkesanan beliau menghayati setiap watak jahat yang diberikan, Umi Kalthum mempunyai kelemahan sendiri.

Rahsia ini terbongkar apabila saya berbual dengan beliau yang sering diundang ke majlis Seniman dan Seniwati Veteran yang diadakan di Saloma Bistro, Ampang (kini sudah tidak beroperasi) pada tahun 1990-an.

Tanpa berselindung dan penuh keikhlasan, Umi Kalthum yang lebih mesra disapa ‘Aunty Umi’ berkata;

NOOR Kumalasari…mewarisi bakat lakonan ayahnya, S. Roomai Noor dan ibunya, Umi Kalthum.
Noor adalah anak kedua daripada enam beradik.

“Sebenarnya aunty malu berlakon babak romantik. Jadi untuk mengelak babak berpeluk-peluk aunty lebih suka jadi jahat. Watak jahat ni mencabar tetapi ia memberi kepuasan kepada aunty.

“Bukan itu sahaja, malah dengan ketinggian aunty 1.65 meter (5 kaki 6 inci) susah nak cari pasangan yang sesuai.”

Kenangan saya bersama seniwati legenda ini tidak akan dapat saya lupakan kerana beliau selalu memanggil saya anaknda jika kami bertemu dan tutur katanya yang sungguh lembut buat saya sentiasa rindu.

Kenangan indah Syed Wafa (Penulis)bersama seniwati legenda Umi Kalthum.

Umi Kalthum meninggal dunia dalam tidur pada usia 81 tahun pada 24 Julai 2013 bersamaan 15 Ramadan 1434 Hijrah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Catatan Umi Kalthum buat Syed Wafa (Penulis)
Previous articleRahsia Restoran Puteri Pencala masih bertahan walaupun banyak dugaan!
Next articleJangan Riak!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here